Bung Mokhtar Cadang Tembak Penagih, Pengedar Dadah


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata cadangan menembak penagih dan pengedar dadah tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

 Bung Mokhtar Cadang Tembak Penagih, Pengedar Dadah

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan yang diutarakan oleh Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin ketika membahaskan Rang Undang-undang Antidadah Kebangsaan 2016 di Dewan Rakyat pada Isnin.

"Kita tidak boleh emosi dalam memberi apa-apa pandangan ataupun mengambil apa-apa tindakan.

"Tindakan itu tidak sesuai kerana ia tidak mengikut undang-undang dan tidak boleh dilaksanakan di negara ini," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Dalam majlis itu, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman menggantikan Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim yang akan bersara wajib sebagai Pengarah KDNKA, esok.

Sementara itu, Khalid memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap penjawat awam termasuk anggota polis yang terlibat dalam sebarang aktiviti penyeludupan manusia.

"Operasi akan diteruskan dan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak mahupun sindiket terlibat," katanya.

Amaran itu dikeluarkan beliau ketika diminta mengulas mengenai kejayaan polis menumpaskan sindiket pemalsuan Pasport Malaysia pada 6 Mei lepas yang menyaksikan seramai 19 individu termasuk dua pegawai Jabatan Imigresen ditahan.

Siasatan polis mendapati sindiket itu cuba menyeludup warga Sri Lanka ke Geneva, Switzerland dengan bayaran RM60,000 seorang.-mstar

Filled Under: