Jabatan Perikanan Sabah masih menguatkuasakan amaran air merah atau Red Tide yang melanda di sekitar perairan Tuaran, ekoran keadaan cuaca panas yang memungkin kepada faktor kejadian itu.
Sehubungan itu, Pengarah Perikanan negeri, Datuk Rayner Stuel Galid berkata, orang ramai terus dinasihatkan agar tidak memakan dan menjual kerang-kerangan. “Kejadian Laut Merah yang dikesan di perairan Tuaran itu dijangka merebak ke daerah-daerah lain di Sabah,” katanya kepada SayangSabah, di sini hari ini.
Menurutnya, amaran tersebut terus dilanjutkan sekiranya keadaan cuaca panas ini berterusan, namun amaran itu bergantung dengan keadaan cuaca panas sekarang. Sebelum ini, jabatan berkenaan telah mengesahkan amaran kejadian air merah (Cochlodinnium polykrikoides) pada awal bulan Februari.
Kejadian Air merah itu dikesan di perairan sekitar Tanjung Badak, Trayong dan Karambunai. Kejadian laut merah itu berlaku disebabkan oleh pengeluaran racun daripada plankton yang beracun. – oleh Dewiana Tinggolongon / SayangSabah