Ramai Lagi Mahu Bersara Daripada Skuad Kebangsaan


Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang membuat keputusan untuk bersara daripada mewakili skuad kebangsaan berdasarkan kehendak mereka sendiri.

Ramai Lagi Mahu Bersara Daripada Skuad Kebangsaan

Titah baginda, pemain terbabit membuat keputusan itu bukan kerana tidak suka dan sayang kepada Malaysia, tetapi sudah letih menyertai kem latihan yang tidak memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.

Malah, titah baginda, terdapat ramai lagi pemain kebangsaan yang mahu mengambil tindakan yang sama seperti pemain JDT lakukan tetapi terlalu takut dengan pengurusan mereka.

“Kelab kami telah mengadakan mesyuarat untuk menyuarakan kebimbangan kami mengenai kelemahan tugas dan pentadbiran dalam FAM. Sejurus selepas mesyuarat, beberapa pemain datang dan memberitahu hasrat mereka untuk bersara (daripada skuad kebangsaan)

“Saya memberi pendapat saya akan menyokong keputusan mereka. Sebahagian daripada mereka meminta saya membantu mengumumkannya melalui laman rasmi JDT. Mereka tidak mahu mengumumkannya melalui media dan akaun media sosial sendiri kerana terdapat ramai peminat bola sepak tidak bertanggungjawab sentiasa akan menyalahkan mereka. Saya bersetuju dan mengarahkan pegawai di kelab kami mengendalikannya,” titah baginda dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab JDT menyeru supaya peminat bola sepak di seluruh negara terutama penyokong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggunakan otak masing-masing untuk memahami keputusan empat pemain terbabit.

Titah baginda, pemain terbabit terpaksa bermain untuk sebuah organisasi yang tidak pernah mengambil hal ehwal kebajikan mereka dan tidak berbuat apa-apa apabila rakan-rakan mereka tidak menerima gaji dari kelab masing-masing.

Baginda bertitah, mereka juga terpaksa bermain untuk seorang pemimpin yang tidak pernah menghadiri sebarang latihan atau pun mesyuarat dan tidak mengetahui nama serta kewujudan mereka.

“Mereka terpaksa juga bermain untuk sebuah organisasi yang tidak ambil kisah apabila mereka mengalami kecederaan. Mudah bagi anda untuk memberi komen dan mengkritik. Tetapi jika anda berada di tempat mereka, saya rasa anda juga akan melakukan perkara yang sama,” titah baginda lagi.

Tunku Ismail bertitah, pemain terbabit telah mencuba pelbagai cara yang profesional untuk mengendalikan perkara itu seperti merujuk kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) dan juga menyuarakan masalah mereka kepada jurulatih serta pegawai FAM tetapi diabaikan oleh FAM.

“Seperkara terakhir, mereka sebelum ini menuduh saya membunuh bola sepak Malaysia. Jawapan saya kepada mereka adalah, “jika semua perubahan positif ini dianggap membunuh, saya akan terus membunuhnya”.

“Bagaimanapun, satu dunia tahu saya tidak membunuh bola sepak Malaysia dan memberi pengiktirafan yang saya telah menaikkan nama bola sepak Malaysia dengan pencapaian JDT dan prasarana JDT,” titah baginda.

Justeru, baginda memberi jaminan akan melakukan apa sahaja untuk membunuh korupsi dalam FAM dan mereka-mereka yang terlibat kerana Malaysia memerlukan `orang bola sepak’ dan jurulatih profesional, bukan ahli perniagaan.

Mynewshub.cc hari ini melaporkan dua lagi pemain bola sepak negara daripada pasukan JDT iaitu Amirul Hadi Zainal dan S.Kunanlan mengumumkan bersara daripada skuad kebangsaan.

Pemain JDT, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abdul Abdul Radzak sebelum ini turut membuat pengumuman yang sama.-MYNEWSHUB

Filled Under: