Lanun Menyamar Polis Marin Dikesan Peras Ugut Nelayan


Kumpulan lanun dipercayai menyamar sebagai pegawai polis marin negara jiran dan memeras ugut nelayan tempatan antara RM10,000 hingga RM100,000, termasuk barangan berharga di sekitar perairan daerah ini.


Lanun Menyamar Polis Marin Dikesan Peras Ugut Nelayan

Timbalan Komander Polis Marin Wilayah Selatan, Superintendan Mohd Salehuddin Mat Zaman berkata, tindakan itu dilakukan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, lanun terlibat kebiasaannya menyasarkan bot nelayan pukat tunda untuk kegiatan jenayah itu.

"Kami turut memaklumkan agensi marin di Indonesia berhubung perkara ini, selain membuat aduan di Bukit Aman dan Wisma Putra untuk mengeluarkan nota diplomatik kepada negara jiran.

"Laporan kepada pihak berkuasa Indonesia diharap dapat membantu menahan pihak tidak bertanggungjawab itu," katanya kepada pemberita pada sesi dialog program kepolisian komuniti antara pihaknya dengan nelayan di Lembaga Pembangunan Ikan Malaysia di Pontian Besar, Rabu.

Beliau berkata, kumpulan lanun itu dilihat memakai uniform polis marin Indonesia ketika kejadian antara tengah malam hingga 4 pagi itu.

"Nelayan tempatan terdedah kepada kegiatan seperti ini melibatkan lanun asing kerana kedudukan kita yang hanya 20 batu nautika dari perairan Indonesia," katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis marin akan meningkatkan kawalan keselamatan terutama kekerapan rondaan bagi melindungi 1,225 nelayan tempatan.

"Sepanjang tempoh rondaan, kira-kira 10 pegawai bersama dua bot dari bahagian Taktikal Polis Marin Wilayah Selatan akan memantau dan mengawal sekitar 30 batu nautika antara Tanjung Piai dan Pulau Pisang.

"Antara November dan Disember lalu, empat aduan diterima melibatkan kegiatan memeras ugut nelayan tempatan," katanya.-mstar

Filled Under: