Pengedar Dadah Maut Rempuh Pokok Sawit


Seorang lelaki yang dipercayai pengedar mati dalam kemalangan akibat merempuh pokok kelapa sawit manakala seorang lagi cedera parah ketika cuba melarikan diri dari polis peronda.


Pengedar Dadah Maut Rempuh Pokok Sawit, info, terkini, berita, nahas jalan raya, kemalangan jalan raya,

Suspek maut di tempat kejadian selepas dipercayai tercampak dari kereta yang dipandu rakannya manakala rakannya tersepit ketika cuba melepaskan diri dari polis peronda.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Fatimah Ghazali berkata, suspek yang mati berusia 27 tahun dan beralamat di ibu negara.

Beliau berkata, ketika kejadian, suspek bersama rakannya cuba mengelakkan diri dari pemeriksaan kereta peronda dengan memecut menghala ke Plaza tol gambang dan memasuki laluan motosikal secara melawan arus sebelum membelok masuk ke Jalan Ladang Felda Lepar Hilir 1 dekat Gambang.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian kereta jenis Mitsubishi yang dinaiki mereka melanggar sebatang pokok kelapa sawit mengakibatkan suspek tercampak beberapa meter dari kenderaan.

“Suspek yang cedera parah berasal dari Kuantan dan berusia 24 tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) serta masih dalam pemantauan polis,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan, polis menjumpai beberapa paket yang berisi tiga jenis dadah dan kesemuanya dianggarkan bernilai RM199,000.

Katanya, dadah terbabit ialah 785.20 gram heroin dengan nilai RM24,000 manakala 503.54 gram syabu dan 3800 pil WY, masing-masing bernilai RM80,000 dan RM95,000.

Dalam sidang media sama, Fatimah turut memaklumkan polis berjaya mematahkan taktik seorang lelaki berusia 42 tahun yang disyaki pengedar dadah.

Katanya, lelaki yang mempunyai empat rekod lampau itu ditahan di kawasan getah Kampung Paya Bungor, Gambang dekat sini.

Fatimah berkata, hasil pemeriksaan ke atas beg berwarna hijau yang dibawa lelaki terbabit mengandungi senapang angin dan polis juga menjumpai beberapa ketulan dan serbuk disyaki dadah dalam satu beg hitam.

Beliau berkata, dadah yang dirampas ialah heroin dan syabu, masing-masing bernilai RM9,000 dan RM280 dan pil WY bernilai RM60.

- Sinar Harian Online

Filled Under: