Pesawat Bawa Pegawai Presiden Filipina Terbabas Di Tacloban


Sebuah pesawat yang membawa pegawai-pegawai khas Presiden Filipina Benigno Aquino terbabas di landasan di Lapangan Terbang Tacloban City ketika cuaca buruk hari ini.

berita, info, Pesawat Bawa Pegawai Presiden Filipina Terbabas Di Tacloban, terkini,

Kejadian berlaku hanya beberapa ketika selepas Pope Francis berlepas dengan menggunakan pesawat berbeza dari lapangan terbang yang sama, memetik laporan AFP.

Menurut seorang Wakil Kanan Kerajaan Francis Tolentino, bahagian muncung pesawat itu terbenam di dalam lumpur bagaimanapun tiada penumpang yang cedera dalam insiden itu.

“Saya melihat ia bergerak di atas landasan sebelum kemudian ia terbabas,” kata Tolentino menurut laporan stesen radio DZMM.

Setiausaha Eksekutif Aquino, Paquito Ochoa dan Jurucakap Aquino, Herminio Coloma adalah antara penumpang pesawat khas berkenaan.

Mereka merupakan antara wakil kanan kerajaan Filipina yang mengiringi lawatan Francis ketika Pemimpin Kristian Katolik itu melawat mangsa yang terselamat dalam taufan Haiyan yang melanda Tacloban pada 2013.

Francis juga terpaksa memendekkan lawatannya ke kawasan itu kerana hujan lebat dan angin kencang akibat ribut tropika Mekkhala yang ketika itu di lokasi kira-kira 150km sahaja dari Tacloban.

Pesawat yang membawa Francis berlepas dari Tacloban kira-kira pukul 1 tengahari (waktu tempatan) dan selamat tiba semula di Manila.

Sumber : mynewshub.cc

Filled Under: