Pekin Ibrahim Enggan Kongsi Projek Baharu


Pelakon Pekin Ibrahim memberitahu dia kini lebih berhati-hati untuk bercerita tentang projek baharu berkaitan ideanya dengan mana-mana pihak sebelum karya itu didaftarkan.


Pekin Ibrahim Enggan Kongsi Projek Baharu

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 34, berkata, perkara tersebut terpaksa dilakukan kerana dia tidak mahu apa yang diusahakannya itu ditiru oleh pihak lain yang tidak bertanggungjawab.

"Saya ada projek filem baru dan sudah siap skrip, ia akan diarahkan oleh pengarah Bade Haji Azmi. Namun saya tidak boleh berkongsi tentang projek ini.

"Saya takut kalau saya beritahu nanti ada pula pihak yang declare ia filem mereka pula," ujarnya kepada mStar Online.

Pekin berkata konflik filem Mat Motor antara dia dan penerbit Ahmad Idham menjadi pengajaran buatnya agar lebih berhati-hati.

Ahmad Idham sebelum ini pernah meluahkan rasa terkilan terhadap Pekin kerana mengkhianatinya berhubung usaha sama tersebut.

Ahmad Idham

Sementara itu, Pekin berkata, Ahmad Idham tidak memberi respons mengenai perancangan seterusnya filem itu selepas lima bulan ia dibincangkan.

Dalam pada itu, Pekin yang meneruskan filem tersebut bawah terbitan Viper Studios & Skop Productions memberitahu karya berkenaan akan ditayangkan pada 14 Januari depan.

Tambah Pekin, dia yakin filem tersebut mempunyai kekuatan tersendiri biarpun filem yang bertajuk sama iaitu Mat Motor arahan Ahmad Idham ditayangkan sebulan lebih awal iaitu pada Disember.

"Saya tidak akan tukar tajuk karya saya walau pun mereka keluar lebih awal, namun saya yakin kami ada kekuatan tersendiri untuk menarik penonton datang.

"Ini merupakan pertama kali filem bertajuk yang sama ditayangkan di pawagam, biarlah penonton sendiri menilai mana satu filem yang lebih baik dan mempunyai jalan cerita yang asli," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang pertikaian tersebut, Pekin berkata, dia cuba menyelesaikan masalah itu dengan menghubungi sendiri Ahmad Idham, namun tidak dilayan.

"Saya sudah cuba hantar mesej pada dia untuk selesaikan perkara ini, namun sampai sekarang tidak dijawab. Bagi saya dia tidak profesional," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Pekin berkata, dia bakal keluar dengan filem terbaharu berjudul Juvana 2 pada 29 Oktober ini.

Filem tersebut turut membariskan pelakon seperti Zahiril Adzim, Johan As'ari, Adam Shah, Nad Zainal, Shera Ayob dan Hasnol Rahmat.-mstar

Filled Under: