Sada Borneo kian gah


Program realiti Asia’s Got Talent (AGT) musim pertama menaikkan nama kumpulan ini. Siapa sangka Sada Borneo kini menjadi ikutan seluruh dunia.

Sada Borneo kian gah

Bukan pertandingan biasa, AGT adalah francais program popular America’s Got Talent dan Britain’s Got Talent. Berikutan penerimaan luar biasa, berjuta pengikutnya turut menonton edisi Asia yang disertai Sada Borneo.

Meskipun gagal ke final, program itu mengangkat nama kumpulan itu yang kini tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan.

Sada Borneo dianggoti enam anak muda kelahiran Sabah dan Sarawak iaitu Bob Harris Norbert (Bob), Nick Fardriel John (Nick), Julian Frederick (Julian), Hallan Hashim (Hallan), Alvin Yong Shee Meng (Alvin), Wilker Vilan Libin (Wilker), serta seorang anak jati Kedah, Mohd Hilmi Mohd Isa (Hilmi).

Hallan berkata, pe­nyertaan mereka dalam AGT tidak sia-sia apabila ia menjadi pembuka jalan meraih pelbagai peluang yang tidak disangka-sangka.

“Sebelum ini kami hanya mengadakan persembahan di pentas kecil seperti di universiti, tetapi kini berpeluang menjayakan acara berskala besar termasuklah Smiles In The Park Music Festival di Sarawak, Konsert Gegar, Paint The World The Concert dan Hari Koperasi Negara 2015.

“Paling membanggakan, kualiti muzik kami semakin meningkat apabila dapat menimba ilmu daripada golongan profesional di AGT. Bahkan, kami sentiasa mendapat bantuan dan tunjuk ajar daripada pemuzik berpengalaman serta profesional.

“Saya sangat gembira apabila ada pemain sape tidak lokek memberi panduan bagi memantapkan lagi mainan alat muzik itu. Ia buat kami semakin bersemangat memperbaiki mutu persembahan,” katanya.

Idam pentas antarabangsa

Dalam pada berseronok dengan tawaran yang tidak putus, kumpulan itu berharap dapat beraksi di pentas antarabangsa.

Apatah lagi niat mereka mahu memartabatkan muzik tradisional tanah air ke persada global.

“Itulah antara impian terbesar kami. Sekarang masa terbaik untuk bawa produk Malaysia ke luar dan menarik perhatian pencinta muzik luar,” kata Hilmi.

Majoriti masih menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) dan ada yang menetap di berlainan negeri, namun ia bukan penghalang untuk mereka berkumpul.

Menurut Alvin, mereka ada formula bagi memastikan semua anggota sentiasa bersedia sebelum menjayakan sesuatu persemabahan.

“Bukan senang sebenarnya kerana masing-masing sibuk dengan pengajian dan bukan semua masih menuntut di USM. Saya sendiri ada masanya terpaksa berkejar-kejar dan mencuri masa untuk berlatih.

“Biasanya, kami berhubung menerusi telefon bagi menetapkan lagu yang mahu dimainkan. Beberapa jam sebelum naik pentas pun kami masih berlatih untuk memperkemaskan permainan kami,” katanya.-hmetro

Filled Under: