Polis menahan penganjur perhimpunan 'baju merah', Datuk Jamal Md
Yunos di bawah Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah pada malam Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad mengesahkan penahanan itu.
"Kita tahan beliau di bawah Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah untuk
mengelakkan jenayah daripada berlaku berhubung kenyataan yang didakwanya
bahawa rusuhan akan berlaku di Petaling Street," katanya kepada The Star Online.
Difahamkan, Jamal yang merupakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar ditahan pada pukul 9 malam Jumaat. Beliau kini ditahan di balai polis Dang Wangi.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Noor Rashid Ibrahim
berkata, polis akan memanggil Jamal untuk merekodkan kenyataannya
berhubung perhimpunan di Petaling Street pada Sabtu.
Noor Rashid dilaporkan berkata, pihak polis tidak akan berkompromi
dengan mana-mana pihak yang cuba untuk menganjurkan perhimpunan dan
tindakan tegas akan diambil.
Polis memberi amaran kepada Jamal bahawa beliau akan ditahan
sekiranya didapati bersalah membuat hasutan bagi mencetuskan huru-hara.
Pada Rabu lalu, Jamal memberitahu pemberita bahawa satu perhimpunan
boleh berlaku pada Sabtu sekiranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) gagal untuk bertindak ke atas
peniaga haram.
Jamal kemudiannya bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai
asebarang kaitan dengan penganjuran perhimpunan di Petaling Street pada
Sabtu.
"Saya tidak terlibat dan saya tidak akan berada di Petaling Street," katanya.
Ditanya adakah beliau mempunyai maklumat mengenai penunjuk perasaan
akan berhimpun di Petaling Street pada Sabtu, Jamal berkata, beliau
tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.
"Saya ulangi, saya tidak terlibat dalam perhimpunan ini, jadi saya tidak tahu sekiranya ada perhimpunan esok," tambahnya.
Jamal berkata, kehadirannya di Petaling Street pada 16 September lalu atas permintaan polis sebagai "orang tengah".
"Pihak polis minta saya bantu untuk menyuraikan penunjuk perasaan
yang berkumpul di sana," katanya sambil menambah bahawa beliau tidak
menganjurkan perhimpunan 16 September lalu atau yang bakal diadadakan
pada Sabtu.
Beliau mendakwa media telah memutar belit kan kenyataannya berhubung perhimpunan itu.-mstar