Langgar lari, seorang remaja maut


Selepas hampir 11 jam bertarung nyawa, seorang remaja tempatan akhirnya menghembuskan nafas terakhir di wad kecemasan Hospital Likas, di sini kira-kira jam 8.27 pagi Isnin. Remaja berumur 20 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan, setelah terbabit dalam kemalangan di Jalan Bantayan, Inanam di sini pada jam 10.00 malam Ahad lepas. 


Langgar lari, seorang remaja maut, info, terkini, berita, sensasi, kes langgar lari, kota kinabalu, nahas jalan raya

Remaja yang maut itu dikenali sebagai Raindear Jinonis dan alamat terakhir di Kampung Pingasan, Inanam. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner M.Chandra berkata, siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati mangsa yang menungggang motorsikal bersendirian dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda. “Polis percaya ketika kejadian mangsa yang menunggang motorsikal Yamaha dari arah Inanam menuju ke Penampang itu dilanggar oleh kenderaan jenis pacuan empat roda berdasarkan penemuan cermin sisi kenderaan tersebut,” katanya di sini hari ini. 

Katanya, akibat pelanggaran itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, muka dan bahagian anggota badan lain. Manakala, suspek yang melanggar mangsa dipercayai bertindak melarikan diri. “Mangsa kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk diberikan rawatan kecemasan, namun meninggal dunia jam 8.27 pagi Isnin,” katanya. Menurutnya, polis sedang giat mengesan pemandu dan kenderaan yang disyaki terlibat dalam kemalangan itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai terutama saksi kejadian itu supaya tampil di balai polis berhampiran untuk memberikan maklumat bagi membantu siasatan polis. - Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

Filled Under: