Pemuda Umno Buat Laporan Polis Terhadap Zeti, Abu Kassim, Gani Patail

Pemuda Umno pada Selasa membuat laporan polis terhadap bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Pemuda Umno Buat Laporan Polis Terhadap Zeti, Abu Kassim, Gani Patail

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun selepas membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi, mendakwa tiga individu tersebut dipercayai terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia.

Menurut laporan itu, mereka didakwa telah memberi maklumat sulit kepada agensi-agensi luar termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Khairul mendakwa, dokumen-dokumen palsu telah dikemukakan dan maklumat telah dimanipulasi untuk memenuhi agenda mereka.

Berikutan itu, beliau menggesa pihak polis untuk menyiasat perkara itu dengan teliti.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainol Samah mengesahkan menerima laporan itu.

"Kes telah telah diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.-mstar

Mahkamah Rayuan Anugerah Kok RM350,000 Kerana Ditahan Di Bawah ISA

Mahkamah Rayuan pada Selasa membenarkan rayuan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim berhubung penangkapan dan penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008 dan menganugerahkan beliau RM350,000 sebagai ganti rugi.

Mahkamah Rayuan Anugerah Kok RM350,000 Kerana Ditahan Di Bawah ISA

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan bahawa bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dan responden lain telah gagal menunjukkan kepada mahkamah bukti yang andal dan mencukupi bahawa pegawai yang menangkap Kok mempunyai alasan munasabah dan substantif untuk bertindak demikian.

Dua lagi hakim ialah Datuk Varghese George Varughese dan Datuk Zaleha Yusof.

Hakim Varghese yang membacakan penghakiman 36-muka surat itu berkata peruntukan dalam undang-undang tidak harus digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengganggu atau mengugut mana-mana orang tetapi hanya untuk tujuan yang sah demi memenuhi matlamat ditetapkan.

"Setelah memberi pertimbangan yang paling serius dan secukupnya kepada perkara yang dibincangkan di atas, dan mengambil kira status dan kedudukan perayu (Kok), kami seterusnya memerintahkan responden membayar kepada perayu ganti rugi berikut," katanya.

Panel memerintahkan bayaran kepada Kok RM200,000 sebagai ganti rugi am, RM150,000 ganti rugi teruk dan teladan, dan sejumlah RM70,000 sebagai kos.

Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak saman Kok terhadap Syed Hamid, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, DSP E Kim Tien dan kerajaan Malaysia.

Pada 13 Mac, 2009, Kok memfail saman terhadap empat pihak itu dengan mendakwa beliau telah ditangkap dan ditahan secara salah di bawah ISA.

Dalam kenyataan tuntutan, Kok berkata beliau telah ditangkap oleh defendan di pintu masuk ke kediamannya di Pearl Tower, OG Heights pada 11.15 malam 12 Sept, 2008, dan ditahan selama dua jam tanpa dibenarkan menghubungi saudara terdekat atau peguamnya.

Kok berkata pada 2 pagi 13 September 2008, di balai polis Wangsa Maju beliau diberitahu oleh tiga defendan itu bahawa beliau ditahan di bawah seksyen 73(1) ISA atas alasan menyertai aktiviti yang boleh menyebabkan ketegangan dan pergaduhan kaum.

Beliau mendakwa tangkapan dan penahanannya dilakukan tanpa asas.

Kok mendakwa kerana kecuaian, sikap arbitrari dan sembrono dalam melakukan penangkapan dan penahanannya, beliau mengalami tekanan mental, kesakitan dan derita akibat keracunan makanan dan penafian haknya dari segi perlembagaan.-mstar

Raysha Rizrose Tidak Terkilan DIbayangi Populariti Kakak

Hadir di dalam dunia seni selepas kejayaan Uqasha dan Nelydia menempa nama dan populariti terlebih dahulu, bekas Dewi Remaja 2014/2015, Raysha Rizrose menyatakan bahawa dia tidak terkilan dengan sesetengah pihak yang mendakwa dia dibayangi populariti kakaknya.

Raysha Rizrose Tidak Terkilan DIbayangi Populariti Kakak

“Orang boleh kata apa sahaja mengenai diri saya. Tapi itu bukanlah satu masalah buat diri saya dan saya tak terkilan pun akan hal itu. Sebab saya tahu langkah saya dalam industri bermula dari bawah sewaktu mula-mula saya menyertai Dewi Remaja di peringkat ujibakat sehinggalah saya memenangi pertandingan tersebut,” katanya kepada Rotikaya.

Melihatkan kerjaya Raysha yang kurang menyerlah berbanding rakan-rakan seperjuangannya di pertandingan Dewi Remaja lepas. Raysha optimis kerana percaya akan rezeki dan perjalanan yang masih jauh dalam industri.

“Sejujurnya rasa tak terkilan sebab pihak pengurusan saya iaitu, Astro sendiri menitik beratkan kualiti dan eksklusitiviti. Saya ada diberi penerangan dan juga bercakap sendiri dengan pihak pengurusan tentang apa yang saya mahukan dalam kerjaya saya dalam industri ini”

“Perjalanan saya dalam industri masih jauh lagi dan saya akan pilih projek-projek yang boleh keluarkan mutu dan kualiti. Saya juga percaya pada rezeki,” jelasnya.-rotikaya

Video: Lepas Gelek, Ira Menyanyi Pulak

Baru-baru ini nama Ira Kaza menjadi sebutan dan trending di kalangan netizen dengan penyebaran sebuah video gelekan maut yang dimuat naiknya sendiri di laman mikro Twitter.

Video: Lepas Gelek, Ira Menyanyi Pulak

Tidak menjangka video gelekannya itu menjadi viral, Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin, 21, berkata video itu dibuat secara suka-suka memandangkan dia suka menari.

Tapi anda jangan tak tahu, Ira ni bukan sahaja berkebolehan menari gelek, sebaliknya dia juga mempunyai bakat terpendam dalam bidang seni suara.

Ira mendedahkan namanya kini sudah berada di penilaian terakhir untuk menjadi peserta sebuah program realiti tv nyanyian popular yang bakal memulakan siarannya dalam masa terdekat ini.

Sekiranya namanya terpilih, Ira mengakui dia sudah bersedia untuk menghadapi asam garam dalam menjalani kehidupan sebagai seorang selebriti seperti bapanya.

Jom kita layan dulu video Ira menyanyikan lagu Flashlight dan Terukir Di Bintang, boleh tahan sedap juga kan suara Ira ni? –mynewshub

Kane Bakal Timang Cahaya Mata

Penyerang Tottenham Hotspur Harry Kane dan kekasihnya, Kate Goodland mengumumkan mereka bakal menimang cahaya mata.

Kane Bakal Timang Cahaya Mata

Kane, 22, mendedahkan berita gembira itu menerusi laman Twitternya.

Menurut pemain kebangsaan England itu, dia akan bergelar bapa pada Januari tahun depan.

"Amat gembira, saya dan @Kate Goodlandx akan menimang cahaya mata pertama kami!Tidak sabar menunggu kelahiran ini!".

Kane menjaringkan 25 gol dalam aksi Liga Perdana Inggeris musim lalu tetapi gagal menyerlah pada Euro 2016 selepas England tewas kepada Iceland dalam kelompok 16 pasukan terakhir.

Beliau merupakan pemain England kedua yang berkongsi berita gembira itu dengan penyokong.

Terdahulu, penyerang Leicester, Jamie Vardy mengumumkan akan menimang anak kedua bersama isterinya, Rebekah.

Kedua-dua pemain itu mengucapkan terima kasih kepada penyokong di atas ucapan mereka.

"Terima kasih di atas mesej yang menyenangkan hati. Jamie dan saya amat gembira. Setiap orang berhak menikmati kebahagiaan."-mstar

Punca Aksi United-City Di China Batal

Pertembungan pra musim yang dinanti-nanti antara Manchester United dan Manchester City pada siri jelajah di China terpaksa dibatalkan berikutan cuaca buruk dan keadaan padang yang membahayakan pemain.

Punca Aksi United-City Di China Batal

Ia merupakan pertemuan pertama antara Jose Mourinho dan Pep Guardiola dalam tempoh tiga tahun selepas kedua-duanya masing-masing mengambil alih United dan City pada musim panas ini.

"Akibat cuaca buruk, penganjur kejohanan dan kelab terlibat memutuskan untuk membatalkan perlawanan Piala Juara Antarabangsa malam ini," tulis United di laman Twitter kelab itu.

Terdahulu Mourinho menegaskan kedua-dua pasukan itu tidak sepatutnya bertemu pada aksi persabahatan, sebaliknya perlu berentap di Old Trafford atau Etihad atau aksi final di Wembley.

"Saya rasa Beijing tidak bernasib baik kerana keadaan padang yang teruk. Keadaan pemain saya lebih penting berbanding keputusan jelajah pra musim. Saya hanya ada satu impian iaitu pemain pulang dalam keadaan selamat," katanya.

Kini, kedua-dua pasukan hanya mempunyai satu lagi perlawanan pra musim yang perlu diharungi.

City akan bertemu Borussia Dortmund pada aksi final Piala Juara Antarabangsa di Stadium Shanzhen pada Khamis manakala United pula terbang ke Gothenburg, Sweden untuk menentang Galatasaray pada Ahad.

Anak buah Guardiola akan berkunjung ke Sunderland pada aksi sepak mula Liga Perdana Inggeris, 13 Ogos depan.

United pula akan menentang Bournemouth pada keesokan harinya.-mstar

Pertemuan Pogba-Raiola Hangatkan Rundingan Man United

Paul Pogba dikatakan semakin hampir dengan perpindahannya ke Manchester United menerusi perjanjian £110 juta (RM588.75 juta).

Pertemuan Pogba-Raiola Hangatkan Rundingan Man United

Pemain tengah Perancis itu dilihat menikmati percutian di Miami bersama ejennya, Mino Raiola.

Pogba terus membuatkan semua pihak berteka-teki selepas memuat naik gambar percutian di akaun Instagramnya dengan kapsyen yang samar-samar yang mungkin dikaitkan dengan masa depannya.

Juventus hanya mahu melepaskan pemain yang berhijrah dari Manchester United pada 2012 dengan tawaran £110 juta.

Kelab Itali itu terus bertegas dengan tawaran berkenaan dan sama sekali tidak akan mengubah pendirian mereka. - Mail Online

Selena Gomez Pilih Pakaian Hormati Budaya Malaysia

Berbaju lengan panjang dan berseluar panjang warna hitam menjadi pilihan bintang pop Amerika, Selena Gomez bagi menghormati budaya dan agama di Malaysia.

Selena Gomez Pilih Pakaian Hormati Budaya Malaysia

"Pakaian baharu bagi menghormati budaya dan agama di Malaysia," menurut 'tweet' di Selena Gomez News @SelenaHQ yang dimuat naik pada Isnin malam semasa bintang itu menghiburkan ribuan peminatnya di konsert di Stadium Tertutup Melawati, Shah Alam.

Gomez yang julung kali mengadakan persembahan di Malaysia, menyampaikan beberapa lagu popularnya seperti Good For You, Hands To Myself and Same Old Love, as well as old favourites, Who Says dan Love You Like A Love Song.

Konsert Gomez pada Isnin malam merupakan lokasi kedua progam jelajah di Asia 'Revival World Tour' bagi mempromosikan album terbaharu.

Penganjuran konsert itu mendapat bantahan daripada PAS, dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, sebelum ini meminta semua masjid dan surau di Selangor mengadakan solat hajat bagi memohon konsert Selena Gomez dibatalkan.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pemuda PAS, Hafez Sabri sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap penganjuran konsert penyanyi itu yang dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal.

Hafez dalam satu kenyataan juga dilaporkan berkata, kedatangan Selena Gomez dianggap menghidupkan budaya hedonisme dalam kalangan generasi muda di negara ini.-mstar

Lindsay Lohan Dedah Sikap Curang Teman Lelaki Di Twitter

Pelakon Lindsay Lohan secara terbuka mendedahkan perbuatan teman lelakinya, Egor Tarabasov selepas berjaya menangkap lelaki bersikap curang terhadapnya.

Lindsay Lohan Dedah Sikap Curang Teman Lelaki Di Twitter

Mirror melaporkan Lindsay menyerang lelaki berkenaan menerusi Twitter dengan mendedahkan gambar dan video Egor, 23, sedang berfoya-foya bersama seorang wanita yang juga kenalannya dikenali sebagai Dasha Pashevkina di sebuah kelab baru-baru ini.

Dalam salah satu status yang ditulis pelakon Mean Girls itu, dia turut mendedahkan Egor adalah tunangnya.

"Terima kasih kerana tidak pulang ke rumah malam ini. Kemasyhuran mengubah manusia.

"Rasanya saya pernah melalui usia 23 tahun. Tempoh yang teruk, tapi ia akan berubah apabila anda mencapai usia 26 atau 27," katanya yang turut menggelar Dasha sebagai pelacur.

Ini bukan kali pertama hubungan pasangan itu bermasalah dan Lindsay sebelum ini pernah melempar telefon milik Egor ke dalam laut ketika mereka bercuti di Greece.-mstar

Joe Allen Berhijrah Ke Stoke City

Stoke City melengkapkan perpindahan Joe Allen dari Liverpool menerusi kontrak selama lima tahun. Pemain tengah skuad kebangsaan Wales itu berhijrah dari Liverpool dengan perjanjian bernilai £13.5 juta (RM72.23 juta).

Joe Allen Berhijrah Ke Stoke City

Tawaran Stoke memenuhi penilaian Liverpool terhadap pemain yang masih mempunyai kontrak berbaki kurang 12 bulan.

Empat tahun lalu, Liverpool mendapatkan Allen dengan £15 juta (RM80.28 juta).

Allen memberitahu laman web kelab itu: "Saya begitu teruja sebaik sahaja mendengar hasrat kelab dan ia bukannya mudah untuk saya membuat keputusan. Saya amat terujua mengenai masa depan saya di Stoke City." - Mail Online