Mahkamah Rayuan Anugerah Kok RM350,000 Kerana Ditahan Di Bawah ISA


Mahkamah Rayuan pada Selasa membenarkan rayuan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim berhubung penangkapan dan penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008 dan menganugerahkan beliau RM350,000 sebagai ganti rugi.

Mahkamah Rayuan Anugerah Kok RM350,000 Kerana Ditahan Di Bawah ISA

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan bahawa bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dan responden lain telah gagal menunjukkan kepada mahkamah bukti yang andal dan mencukupi bahawa pegawai yang menangkap Kok mempunyai alasan munasabah dan substantif untuk bertindak demikian.

Dua lagi hakim ialah Datuk Varghese George Varughese dan Datuk Zaleha Yusof.

Hakim Varghese yang membacakan penghakiman 36-muka surat itu berkata peruntukan dalam undang-undang tidak harus digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengganggu atau mengugut mana-mana orang tetapi hanya untuk tujuan yang sah demi memenuhi matlamat ditetapkan.

"Setelah memberi pertimbangan yang paling serius dan secukupnya kepada perkara yang dibincangkan di atas, dan mengambil kira status dan kedudukan perayu (Kok), kami seterusnya memerintahkan responden membayar kepada perayu ganti rugi berikut," katanya.

Panel memerintahkan bayaran kepada Kok RM200,000 sebagai ganti rugi am, RM150,000 ganti rugi teruk dan teladan, dan sejumlah RM70,000 sebagai kos.

Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak saman Kok terhadap Syed Hamid, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, DSP E Kim Tien dan kerajaan Malaysia.

Pada 13 Mac, 2009, Kok memfail saman terhadap empat pihak itu dengan mendakwa beliau telah ditangkap dan ditahan secara salah di bawah ISA.

Dalam kenyataan tuntutan, Kok berkata beliau telah ditangkap oleh defendan di pintu masuk ke kediamannya di Pearl Tower, OG Heights pada 11.15 malam 12 Sept, 2008, dan ditahan selama dua jam tanpa dibenarkan menghubungi saudara terdekat atau peguamnya.

Kok berkata pada 2 pagi 13 September 2008, di balai polis Wangsa Maju beliau diberitahu oleh tiga defendan itu bahawa beliau ditahan di bawah seksyen 73(1) ISA atas alasan menyertai aktiviti yang boleh menyebabkan ketegangan dan pergaduhan kaum.

Beliau mendakwa tangkapan dan penahanannya dilakukan tanpa asas.

Kok mendakwa kerana kecuaian, sikap arbitrari dan sembrono dalam melakukan penangkapan dan penahanannya, beliau mengalami tekanan mental, kesakitan dan derita akibat keracunan makanan dan penafian haknya dari segi perlembagaan.-mstar

Filled Under: