Mahkamah Persekutuan Brazil Beku Harta Neymar

Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan pada Rabu yang Mahkamah Persekutuan Sao Paulo telah membeku kesemua harta penyerang sensasi Barcelona Neymar di negara itu berkuatkuasa serta merta.


Mahkamah Persekutuan Brazil Beku Harta Neymar

Waran berhubung perintah tersebut telah pun dikeluarkan untuk membeku sekurang-kurangnya harta benda dan aset Neymar bernilai AS$50 juta.

Antaranya termasuklah sebuah kapal layar mewah, jet peribadi dan harta benda lain.

Neymar, 23, yang juga merupakan pemain antarabangsa Brazil berhadapan dengan dakwaan cuba mengelak cukai antara 2011 hingga 2013 dan kini berhadapan dengan prosiding undang-undang.

Pemain ketiga terbaik dunia itu menafikan kesemua dakwaan tersebut.

Pihak pendakwaraya di dalam prosiding mereka berkata, Neymar telah membentuk beberapa buah syarikat atas nama ahli keluarganya untuk menyalurkan wang miliknya sebagai langkah mengelak cukai.

Pihak berkuasa kini turut membekukan harta milik syarikat-syarikat yang didakwa hanya menjadi proksi kepadanya.

Kerajaan menganggarkan Neymar berhutang cukai sebanyak AS$16 juta iaitu jumlah aset-aset yang tidak diisytiharkan.

Pembekuan tersebut hanya akan ditarik balik sekiranya pemain bolasepak itu bersedia melangsaikan hutang-hutangnya.-mstar

Jersi Lengkap Faiz Bakal Dilelong Minggu Depan

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (PFA) mahu melelong set jersi termasuk stokin dan but milik Mohd Faiz Subri  yang dipakai ketika menjaringkan gol unik pada aksi Liga Super Selasa malam.


Jersi Lengkap Faiz Bakal Dilelong Minggu Depan

Sepakan percuma yang dilakukan Faiz menjadi viral di seluruh dunia dengan lencongan bola ke arah gol ketika aksi menang 4-1 ke atas Pahang di Stadium Bandaraya.

“Set lengkap jersi yang dipakai Faiz itu akan dilelongkan di laman rasmi FAP kemungkinan minggu depan,” jelas Bendahari PFA Datuk M Murly.

“Harga permulaan sebanyak RM100,000. Setakat ini maklum balas dari sektor swasta dalam membantu persatuan bola sepak negeri belum memberangsangkan. Kami mahu melihat sejauh mana peminat bola sepak dan sektor swasta di negara ini sanggup tampil memberi sokongan terhadap fenomena gol seperti ini (Faiz) ketika lelongan nanti,”  katanya.


Lelongan itu bertujuan mengumpul dana yang akan digunakan bagi program pembangunan bola sepak bawah 16 tahun dan pencarian bakat muda bola sepak di negeri ini.

“Kami mahu melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat di Pulau Pinang.

“Kami mahu ramai pemain seperti Faiz, yang telah menaikkan nama bola sepak Pulau Pinang dengan jaringan menarik.”-mstar


UCL : Cavani Bantu PSG Menang 2-1 Ke Atas Chelsea

Pemain gantian Paris Saint-Germain (PSG) Edinson Cavani membantu kelabnya meraih kemenangan 2-1 ke atas Chelsea pada aksi pusingan pertama 16 pasukan Liga Juara-Juara Eropah yang berlangsung di Parc des Princes, awal pagi Rabu.


UCL : Cavani Bantu PSG Menang 2-1 Ke Atas Chelsea

Pada perlawanan tersebut, Zlatan Ibrahimovic membuka jaringan awal pada minit ke-39 sebelum pemain Chelsea, John Obi Mikel menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama perlawanan.

Namun separuh masa kedua permainan semakin rancak dengan percubaan kedua-dua pasukan sehinggalah Cavani berjaya memecah kebuntuan dengan jaringan kedua pada minit ke-78 sekaligus mencatat kemenangan kepada kelabnya.

Pemain antarabangsa Uruguay yang bernilai £55 juta ( RM331 juta) itu merupakan pemain termahal dalam sejarah bola sepak Perancis.-mstar

Bayern Munich Sekat Guardiola Bawa Pemain Ke Man City

Pep Guardiola bakal menggantikan Manuel Pellegrini di Manchester City pada Jun ini selepas kedua-dua pihak mengakui mengenai pemindahan yang bakal berlaku itu.


Bayern Munich Sekat Guardiola Bawa Pemain Ke Man City

Guardiola bersetuju untuk membimbing kelab Liga Perdana Inggeris pertama dalam kariernya selepas ditawar gaji sebanyak £15 juta setahun dan dana tanpa had untuk mendapatkan pemain.

Bagaimanapun dalam perkembangan terbaru, Guardiola yang juga bekas pengendali Barcelona tidak dibenar membawa Thomas Muller dan Robert Lewandowski bersamanya ke Manchester City.

Difahamkan, Bayern Munich telah mendapatkan persetujuan daripada Guardiola mengenai larangan itu.

Persefahaman antara Bayern dan jurulatih tersebut terpaksa dibuat selepas Guardiola dikatakan mahu menggandingkan Lewandowski dengan Sergio Aguero di City.

Selain itu antara nama lain yang dikata akan menyertai Man City ialah Mario Gotze, Arturo Vidal, Arjen Robben dan Thiago Alcantara.-mstar

Pemain Tembak Pengadil Kerana Kad Merah

Satu perlawanan bola sepak di Argentina berakhir dengan tragedi apabila pengadil perlawanan ditembak sehingga mati di atas padang.


Pemain Tembak Pengadil Kerana Kad Merah

Kejadian yang menimpa mangsa, Cesar Flores, 48, berlaku di Cordoba apabila suspek tidak dapat menerima keputusan dilayangkan kad merah.

Suspek yang juga pemain remaja dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan merbahaya terhadap lawan.

Akibat tidak dapat menerima hukuman berkenaan, pemain itu keluar dari padang untuk mendapatkan sepucuk pistol sebelum menembak kepala, tengkuk dan dada pengadil.

Selain itu, suspek turut menembak seorang pemain lawan iaitu Walter Zarate, 25, sehingga mengalami kecederaan parah.

Polis mengesahkan masih memburu suspek yang melarikan diri selepas melakukan pembunuhan tersebut.

Suspek yang masih belum dikenali itu dilapor membawa senjata berkenaan di dalam begnya.-mstar

Empat Sahabat Dilaporkan Hilang Ditemui Mati Lemas

Empat remaja lelaki dilaporkan hilang  sejak Rabu lepas ditemui mati lemas selepas kereta yang dinaiki terbabas ke dalam sungai.


Empat Sahabat Dilaporkan Hilang Ditemui Mati Lemas

Awal pagi Rabu, kesemua mangsa yang berusia 21 tahun iaitu Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa ditemui terperangkap bersama dalam kereta yang terbabas ke sungai di Tenggaroh, berhampiran Mersing.

Difahamkan orang awam telah melihat sebuah kereta di dalam sungai di KM50 di Jalan Kota Tinggi-Mersing dan telah memaklumkan kepada pihak bomba.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Mersing telah menarik keluar kereta itu dan kesemua mayat dibawa ke Hospital Mersing.

Timbalan Superintendan Polis Daerah Mersing S.M. Kumar berkata, pengecaman mayat telah dibuat oleh  keluarga masing-masing.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd dijangka akan mengadakan sidang media mengenai kes ini.

Keempat-empat remaja itu meninggalkan rumah mereka di Seri Alam dengan menaiki Honda Accord lebih kurang pukul 9.30 malam Rabu menuju ke Terengganu untuk bercuti.

Namun mereka gagal dihubungi oleh ahli keluarga masing-masing sebelum membuat laporan orang hilang pada 10 Februari.-mstar

Gol Cantik Faiz Subri Cipta Fenomena Seluruh Dunia Bola Sepak

Pemain skuad Pulau Pinang, Faiz Subri mencuri tumpuan dunia apabila sepakan percuma yang diambil olehnya melencong dengan unik sebelum menerjah pintu gol pasukan Pahang dalam perlawanan malam tadi.


Gol Cantik Faiz Subri Cipta Fenomena Seluruh Dunia Bola Sepak

Laporan dari thesportbibile menyifatkan sepakan tersebut 'mungkin' telah memenangi anugerah puskas; satu anugerah untuk gol cantik; dengan mudahnya.

Lebih menarik, laporan tersebut turut dimuatnaik di laman Facebooknya dan menerima lebih 10,000 'likes' dan lebih 2,000 perkongsian serta lebih 3,000 komen.

Selain itu, gol tersebut juga turut di portal sukan eurosport.co.uk yang menyifatkan gol tersebut sebagai luar biasa.

"Sepakan percuma itu, yang disertakan dengan lencongan dan bisa yang mana akan dibanggakan (jika diambil oleh) Roberto Carlos, kelihatan seolah-olah ingin ke arah satu penjuru sebelum pergi ke arah yang lain", tulis portal tersebut

Selain itu, gol tersebut juga turut mendapat perhatian beberapa portal bahasa inggeris yang lain.

Gol Faiz Subri itu juga turut mendapat liputan dari portal-portal sukan negara Bosnia dan juga Sepanyol.

Sumber: Siakapkeli

Jom saksikan gol tersebut.-pilihan-anda

Polis Siasat Video Viral Suami Pukul Isteri Tepi Jalan

Polis sedang menyiasat kes seorang lelaki memukul wanita menggunakan kasut yang didakwa berlaku di tepi jalan berhampiran pintu masuk Plaza Tol Ayer Hitam, dekat sini, petang Jumaat yang rakaman videonya tersebar di media sosial.


Polis Siasat Video Viral Suami Pukul Isteri Tepi Jalan

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, lelaki terbabit yang dipercayai suami kepada wanita berkenaan bukan sahaja bertindak memukul isterinya itu di bahagian badan menggunakan kasut, malah menendang wanita malang itu.

Dalam video berdurasi satu minit itu, lelaki berkenaan turut memukul seorang remaja perempuan yang dipercayai anak pasangan berkenaan sambil wanita itu memeluk erat mangsa bagi melindunginya daripada turut dipukul.

Perbuatan kejam lelaki berkenaan berjaya dirakam pengguna jalan raya dan rakaman berkenaan kini tersebar di media sosial dengan kebanyakan pengguna Internet mengecam keras perbuatan kejam lelaki itu.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan tindakannya memukul wanita dan remaja perempuan berkenaan bukan saja tidak berhati perut, malah seolah-olah mahu mengaibkan mangsa kerana dilakukan di khalayak ramai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata pihaknya masih belum menerima laporan daripada mana-mana individu berhubung kes berkenaan dan meminta saksi kejadian tampil membuat laporan.

“Kita meminta orang ramai yang kebetulan turut berada di lokasi kejadian tersebut dan menyaksikan sendiri insiden berkenaan supaya tampil bagi membantu siasatan polis,” katanya. – BHarian Online

Menantu Abdul Hadi Mualaf Cina

PAS Pusat pada Khamis mendedahkan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebenarnya mempunyai seorang menantu yang berbangsa Cina.


Menantu Abdul Hadi Mualaf Cina

Pendedahan tersebut bagi menyangkal dakwaan jahat oleh penyokong DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) bahawa Abdul Hadi anti-Cina.

“Ramai pihak menuduh Tuan Guru Abdul Hadi anti-Cina, rasis dan sebagainya.

“Namun ramai tidak tahu Tuan Guru ada menantu berbangsa Cina iaitu Aisyah Lim isteri kepada Ustaz Yusuf Abdul Hadi,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan seperti disiarkan di laman Facebook PAS.

Nasrudin turut menyiarkan gambar Yusuf dan isterinya, Aisyah ketika menziarahi keluarganya sempena sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Abdul Hadi ketika ini sedang diserang hebat oleh ramai penyokong Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan PAN selepas pembubaran Pakatan Rakyat tahun lalu.

Pelbagai tohmahan jahat dilemparkan ke atas ulama PAS itu disebabkan pendekatan baharunya yang lebih mesra dengan pimpinan tertinggi UMNO.

Serangan penyokong Pakatan Harapan semakin hebat apabila Abdul Hadi menyertai Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 pada akhir tahun lalu.

Abdul Hadi turut dituduh anti-Cina kerana didakwa mengeluarkan kenyataan DAP tidak membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana ia menguntungkan kaum berkenaan. – Mynewshub.cc

Al-Shabaab Dakwa Bertanggungjawab Serangan Bom Pesawat Somalia

Kumpulan militan al-Shabaab mendakwa bertanggungjawab terhadap insiden serangan bom dalam pesawat Somalia baru-baru ini, sehingga mengakibatkan badan pesawat itu berlubang.


Al-Shabaab Dakwa Bertanggungjawab Serangan Bom Pesawat Somalia

Menurut al-Jazeera yang memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan dikaitkan al-Qaeda itu, ia mengisytiharkan bahawa serangan itu bertujuan untuk menyasarkan 'pegawai kanan Barat' yang menaiki penerbangan itu.

Ia turut mendakwa serangan tersebut merupakan 'pembalasan bagi jenayah yang dilakukan oleh pasukan tentera salib dan agensi perisikan mereka.'

Serangan itu berlaku apabila bom yang disembunyikan di dalam sebuah komputer riba diletupkan.

Pengebom yang mati itu disedut keluar dari pesawat Somalia dalam penerbangan dari Mogadishu ke Djibouti.

Ketua pegawai eksekutif pesawat Daallo Airlines kemudiannya mengesahkan pengebom itu sepatutnya menaiki pesawat Turkish Airlines.

Letupan itu mengakibatkan badan pesawat berlubang dan terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Mogadishu untuk membuat pendaratan cemas.

Suspek utama dipercayai merupakan warga Somalia yang dikenali pasti sebagai Abdullahi Abdisalam Borleh. Mail Online