Klopp Lakar Kemenangan Pertama Aksi Liga Di Anfield

Jaringan James Milner menerusi sepakan penalti pada babak kedua perlawanan ketika bertemu Swansea City memberi kemenangan 1-0 di Anfield pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Isnin.

Klopp Lakar Kemenangan Pertama Aksi Liga Di Anfield

Milner menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62 sekaligus memberi kemenangan pertama Liverpool di Anfield dalam aksi EPL selepas 26 September lalu (menang 3-2 ke atas Aston Villa).

Malah ia juga menjadi kemenangan pertama Jurgen Klopp dalam aksi liga perdana di laman sendiri selaku pengurus baharu The Reds sejak mengambil alih tugas itu daripada Brendan Rodgers pada 8 Oktober lalu.

"Suasana berangin membuat corak permainan sentiasa berubah dan menyukarkan kedua-dua pasukan.

"Angin adalah 'musuh terbesar' dalam bola sepak, tetapi kami dapat melaluinya dengan baik.

"Kebiasaanya pemain-pemain lebih mudah ketika melakukan hantaran, namun sebaliknya berlaku.

"Bagaimanapun kami dapat mengatasi pihak lawan yang mempamerkan permainan lebih teratur," jelas Klopp.

Menurut Klopp, permainan kali ini lebih menyakinkan dengan kembalinya kapten pasukan Jordan Henderson yang berehat panjang sejak Ogos lalu kerana kecederaan, serta Danial Sturridge yang membuat penampilan pertama selepas 4 Oktober lalu.

"Berita baik untuk keluarga besar Liverpool. Dua pemain penting sudah kembali selepas berehat panjang," jelasnya.-mstar

Bengang Jadi Pemain Simpanan, Costa Baling Bib Ke Arah Mourinho

Penyerang Chelsea, Diego Costa enggan membuat latihan pemanas badan sebelum aksi seri 0-0 bertemu Tottenham Hotspur, malah turut membaling bib yang dipakai ke arah Jose Mourinho selepas namanya berada dalam barisan pemain simpanan.

Bengang Jadi Pemain Simpanan, Costa Baling Bib Ke Arah Mourinho

Nama Costa digugurkan pada aksi di White Hart Lane berikutan aksi hambar musim ini yang hanya menjaringkan satu gol dalam 10 perlawanan.

Kemarahan Costa lebih terserlah selepas tidak hadir pada sesi latihan bersama rakan sepasukan sebelum perlawanan.

Mourinho mengarahkan Costa melakukan latihan pemanas badan bersama rakan sepasukannya ketika perlawanan sedang berlangsung, namun pengurus itu memasukkan Ruben Loftus-Cheek sekaligus menambahkan lagi 'bengang' pemain kebangsaan Brazil itu.

Ketika menuju ke bangku simpanan, Costa membuka bib dan membaling ke arah belakangnya yang nyaris terkena kepada Mourinho.

"Jika dia ingin mencederakan saya, bukan dengan bib. Saya mempunyai hubungan baik dengannya, tiada masalah," jelas Mourinho.

Malah Mourinho mengulas tindakan tidak memasukkan Costa kerana sikap pemain itu sendiri.

"Dia bersedia untuk bermain apabila dia menjalani latihan pemanas badan. Apabila saya mengambil keputusan tidak memasukkannya, dia terus berlalu. Dan kemungkinan juga dia makan di dalam bas ketika menunggu kami," jelasnya.

Selain itu, Mourinho turut menjelaskan bahawa Costa merupakan pemain penting dan dia adalah orang terakhir berada di bangku simpanan.

"Dia ada kelebihan kerana menjadi pemain terakhir berada di bangku simpanan kerana semua pemain lain sudah merasainya: kapten, Branislav Ivanovic, Gary Cahill, Cesc Fabregas, Pedro, Eden Hazard, Oscar dan lain-lain lagi," katanya.-mstar


Sultan Johor Haram Vape, Arah Tutup Premis Mulai 1 Januari 2016

Sultan Johor mengharamkan penggunaan vape di seluruh negeri itu dan memberi tempoh sebulan kepada pengusaha premis peranti berkenaan untuk menamatkan operasi.


Sultan Johor Haram Vape, Arah Tutup Premis Mulai 1 Januari 2016



"Saya mahu premis vap ditutup pada 1 Januari 2016 dan saya tidak mahu dengar sebarang alasan.

"Ia ada kaitan dengan isu kesihatan dan kesannya kepada golongan muda, bukan melibatkan perniagaan atau perkauman.

"Saya benar-benar kecewa apabila ada pihak menimbulkan isu ancaman perkauman dan politik melibatkan vape," titah baginda menerusi temubual khas baru-baru ini.

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskkandar bertitah, negeri mempunyai hak untuk menguatkuasa undang-undang mengikut peruntukan kerajaan tempatan bagi menutup perniagaan pengusaha vape.

Baginda juga mengarahkan supaya kerajaan negeri bersidang minggu depan untuk merangka perancangan untuk memudahkan proses itu.

Titah baginda lagi, ahli politik juga seharusnya berhenti memenuhi kehendak ahli perniagaan yang terlibat dalam industri vape ini.

"Kenapa ada ahli politik yang mengalah terhadap ancaman ini? Saya mahu tahu jika ahli perniagaan ini membenarkan anak-anak mereka untuk menggunakan vape jika ia benar-benar selamat dan tidak mengganggu kesihatan seperti yang didakwa.

"Apakah kamu mahu melihat anak-anak terus menggunakannya.

"Ia perniagaan baharu tetapi apa pula bentuk perniagaan yang mereka lakukan sebelum ini? Berpatah balik kepada pekerjaan anda sebelum ini," katanya.

Awal bulan ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Industri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Kementerian Kesihatan menguatkuasakan penjualan vape yang perisannya mengandungi nikotin boleh membunuh industri yang dikuasai peniaga Melayu.

Menteri berkenaan juga memberi maklumbalas berkenaan susulan laporan polis yang dibuat sekumpulan peniaga Bumiputera mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap industri vape boleh mengakibatkan sokongan terhadap Barisan Nasional menurun pada pilihan raya umum akan datang.

Sultan Johor Haram Vape, Arah Tutup Premis Mulai 1 Januari 2016

Sultan Johor bertitah, kesan jangka panjang kesihatan kerana penggunaan vape di mana pembayar cukai perlu menanggung untuk membiayai rawatan.

Beliau bertitah lagi, pengharaman vape di negeri itu meliputi penjualan produk berkaitan peranti itu.

"Adalah jelas mengikut undang-undang, premis vape tidak boleh menjual nikotin, jadi kenapa perlu menutup sebelah mata dan mengetepikan undang-undang?

"Jika kita biarkan ia berlaku, akan ada golongan muda yang ketagih untuk menggunakannya," titah baginda.

Sultan Johor juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang pada 1 Januari depan akan dikenakan tindakan.-mstar

Larikan Superbike Selepas Konon Mahu Pandu Uji

Seorang lelaki berjaya melarikan sebuah motosikal berkuasa tinggi yang baharu dipandu ujinya di sebuah pusat jualan di Taman Jawi Jaya, Sungai Jawi, di sini pada Jumaat.


Larikan Superbike Selepas Konon Mahu Pandu Uji

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikatakan melarikan motosikal jenis Honda CBR 1000RR berwarna putih berkenaan selepas dia membawa keluar dari kedai berkenaan kira-kira jam 4.30 petang.

Pemilik syarikat itu yang hanya mahu dikenali sebagai Tong, 52 tahun; berkata pada mulanya tidak membenarkan motosikal bernilai hampir RM100,000 itu dipandu uji memandangkan hujan lebat ketika itu.

“Lelaki tersebut mendakwa kononnya memang mahu membeli motosikal berkenaan tetapi berpura-pura mahu memandu uji terlebih dahulu.

“Saya percayakan lelaki itu kerana dia beritahu hanya mahu pandu uji di sekitar kawasan berhampiran kedai dan berjanji untuk menunggang sekitar Taman Jawi Jaya sahaja,” katanya.

Tong berkata, seorang pekerjanya kemudian dimintanya untuk mengekori motosikal yang dipandu uji itu kerana berasa risau ia mungkin akan kehabisan minyak.

“Selepas beberapa minit, pekerja saya kembali memaklumkan motosikal itu sudah tidak kelihatan lagi. Saya terkejut dan terus membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Wan Hassan Wan Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang menyiasat. – BERNAMA

Manchester City Umpan Messi RM5.12 Juta Seminggu

Impian Manchester City untuk memancing Lionel Messi semakin terserlah apabila pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris itu dikatakan sanggup membayar 800,000 pound (RM5.12 juta) seminggu kepada  bintang penyerang Argentina itu supaya berpindah ke Etihad.


Manchester City Umpan Messi RM5.12 Juta Seminggu

Media Britain, The Sun melaporkan, ejen pemain berusia 28 tahun itu sudah mengadakan rundingan awal dengan Man City mengenai potensi perpindahannya ke Liga Perdana.

Jika persetujuan dicapai, Messi akan menikmati gaji 40 juta pound (RM256 juta) setahun.

Messi kini menerima gaji mingguan 500,000 pound (RM3.12 juta) di Barcelona dan kontraknya akan berakhir dua tahun lagi.

Sebelum ini, khabarnya Messi tidak berpuas hati dengan tindakan kelab Catalan itu yang memberi keutamaan kepada pembaharuan kontrak Neymar berbanding dirinya.

Dengan perjanjian baharu bersama stesen televisyen dijangka meningkat pada musim depan, yang dikhabarkan bernilai 150 juta pound (RM962 juta) semusim untuk pemenang Liga Perdana Inggeris, pemilik City berkemampuan menawarkan perjanjian mega.

The Sun turut melaporkan kejayaan menandatangani Messi akan mencerahkan peluang pasukan itu membawa Pep Guardiola ke City sebagai pengurus.

Warga Sepanyol itu kini bersama Bayern Munich, tetapi kontrak baharunya masih belum ditandatangani. Bayern dijangka mengumumkan keputusan itu sebelum Krismas.-mstar

Hamilton "Balas Dendam" Di Litar Abu Dhabi

Juara dunia tiga kali, Lewis Hamilton membalas kritikan terhadap kehidupan sosialnya dengan menandingi rakan sepasukan Mercedes, Nico Rosberg pada sesi latihan bebas untuk perlumbaan terakhir musim ini di Grand Prix Abu Dhabi pada Ahad ini.


Hamilton "Balas Dendam" Di Litar Abu Dhabi

Sebelum ini, bekas majikan pelumba berusia 30 tahun itu ketika bersama McLaren, Ron Dennis dikritik kerana dikatakan melakukan ‘perkara yang tidak dibenarkan di bawah rejimnya'.

Pada sesi itu, Hamilton mencatat masa pusingan terbaik iaitu satu minit 43.754 saat mengatasi Rosberg 1:43.895 ketika pelumba Jerman itu bertekad memburu petak pertama kali keenam berturut-turut bagi mengatasi pesaingnya untuk melengkapkan hatrik kemenangan.

Pelumba Finland Kimi Raikkonen ketiga untuk Ferrari apabila mendahului pelumba Russia Daniil Kvayt dari Red Bull, diikuti juara empat kali dari Jerman yang memandu Ferrari serta rakan senegara Nico Hulkenberg dari Force India.

Hamilton mencatat masa terpantas walaupun merungut sepanjang sesi itu mengenai prestasi kereta Mercedes terutama mengenai posisi tempat duduk.

Pada akhir sesi perlumbaan dia berkata: “Keadaan kereta ini tidak begitu baik.”-mstar

Man City Sedia Jadikan Pep Guardiola Kekal Pengurus Paling Mahal

Manchester City bersedia untuk menjadikan Pep Guardiola sebagai pengurus yang mendapat bayaran paling mahal di dunia sekiranya beliau bersetuju untuk menyertai kelab itu pada musim depan.


Man City Sedia Jadikan Pep Guardiola Kekal Pengurus Paling Mahal

Mail Online melaporkan kelab bola sepak di Stadium Etihad itu bersedia membayar pengurus Bayen Munich itu sebanyak £13.2 juta  (RM84.69 juta) yang diperoleh Jose Mourinho di Chelsea setahun.

Ketika ini, Guardiola menduduki tangga teratas sebagai pengurus dengan bayaran paling mahal diikuti Mourinho.

Bayaran itu termasuk bonus dan tawaran penajaan sebagai rancangan jangka panjang kelab berkenaan.

Masa depan Guardiola di Bavaria menjadi perhatian sejak sehari lalu berikutan laporan mengenai pengurus tersebut telah pun memutuskan untuk meninggalkan Bayern Munich bagi menyertai Manchester City pada musim depan.

Bayern Munich tidak mengharapkan Guardiola yang akan melanjutkan kontraknya yang bakal berakhir menerusi rundingan berhubung tawaran baharu yang dijangka dibuka bulan depan.

Malah, timbul cakap-cakap bahawa perkhabaran mengenai peralihan Guardiola ke Manchester City merupakan medium tawar-menawar dalam rundingan kontrak tersebut.

Jika pengurus kelahiran Sepanyol itu meninggalkan Bayern Munich untuk Manchester City, bayaran yang bakal diperolehinya pastinya cukup tinggi.

Ini termasuk tajaan secara peribadi Guardiola yang dilaporkan sebanyak £11.2 juta (RM71.85 juta) setahun di Allianz Arena.

Bagaimanapun, Guardiola akan memastikan pendapatannya akan naik mendadak sekiranya beliau bersetuju untuk menggantikan pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini pada musim panas depan.-mstar

Khairuddin Sokong Kempen Bebaskan Anwar Ibrahim

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap kempen pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan kes liwat keduanya.


Khairuddin Sokong Kempen Bebaskan Anwar Ibrahim

Beliau yang sebelum ini ditahan bersama peguamnya, Matthias Chang mendakwa, pembebasan Anwar daripada Penjara Sungai Buloh itu penting kerana beliau dapat berperanan sebagai ketua pembangkang yang efektif untuk negara.

"Kita perlukan pembangkang yang efektif dan rasional untuk sama-sama memainkan peranan ke arah pertumbuhan negara tanpa sebarang agenda politik.

"Oleh itu, wajar untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar bagi menyemarakkan landskap serta senario politik negara.

"Apa yang harus kita gusarkan sekiranya mentadbir negara ini secara amanah," soalnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Suami kepada aktres Datin Seri Umie Aida itu juga menambah, ketika negara diambang kejatuhan dari perspektif politik dan ekonomi, oleh itu sudah tiba masanya semua pihak bersatu.

"Jangan buat retorik politik lagi, tetapi harus ikhlas untuk membangunkan semula negara," katanya yang dibebaskan dengan jaminan RM10,000 baru-baru ini.

Pada masa sama, Khairuddin juga menggesa ahli Umno supaya berani menegur kepimpinan untuk menjamin kelangsungan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Beliau mendakwa penyokong BN terlalu kuat mengampu dan tidak berani membuat teguran membina ke atas kepimpinan parti itu.-mstar

Remaja diarah bayar pampasan RM3.55 juta

Sebuah mahkamah di sini semalam mengarahkan keluarga remaja perempuan yang terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan sembilan orang maut dan empat lagi cedera membayar pampasan berjumlah 30 juta baht (RM3.55 juta) kepada mangsa.


Remaja diarah bayar pampasan RM3.55 juta

Remaja itu, Orachorn Thephasadin Ayudhya yang memandu sebuah kereta Honda Civic melanggar belakang sebuah van penumpang di atas jejambat di lebuh raya Din Daeng-Don Muang pada 27 Disember 2010.

Remaja diarah bayar pampasan RM3.55 juta

Ketika kejadian Orachorn berusia 16 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu.

Kemalangan itu menyebabkan van berkenaan terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum terhumban ke bawah jejambat.

Remaja diarah bayar pampasan RM3.55 juta

Pada 2011, Orachorn didakwa memandu tanpa lesen, memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Mahkamah semalam turut mengarahkan keluarga Orachorn membayar pampasan berkenaan kerana ibu bapanya gagal memantau anak mereka itu.

Seramai 28 plaintif terdiri daripada keluarga mangsa yang maut dan mangsa yang cedera memfailkan saman bagi menuntut pampasan dari Orachorn.

Mahkamah mengarahkan bayaran pampasan dari 4,000 baht (RM473) hingga 1.8 juta baht (RM212,859) termasuk faedah untuk setiap mangsa terbabit. – Agensi

Bapa Noh Hujan Tinggal Nota Sinis Kepada Perompak?

Rumah famili Noh Salleh yang terletak di Miri, Sarawak telah pun dimasuki perompak. Noh Salleh yang juga vokalis kumpulan Hujan memberitahu perkhabaran itu menerusi Instagram miliknya.


Bapa Noh Hujan Tinggal Nota Sinis Kepada Perompak?

Ketika kejadian, ibunya tidak berada di rumah kerana berada di suatu tempat yang lain iaitu di Bintulu.

Keselamatan ahli keluarganya jauh lebih penting berbanding dengan beberapa barangan berharga yang telah berjaya di bawa lari.


Bapa Noh Hujan Tinggal Nota Sinis Kepada Perompak?

Namun, bapanya agak berang dan geram dengan sikap biadap perompak itu. Lantas bapanya telah memuat naik nota sinis di laman sosial yang berbunyi:

‘kepada pencuri yang mulia! Lain kali kalau habis selongkar itu kabinet baju, sebelum pulang itu kain/baju kasih lipat balek. Sekian terima kasih’

Nota ini juga telah dikongsi menerusi laman instagram Noh dan menerima pelbagai reaksi yang positif daripada peminatnya.

Diharapkan kepada semua, berhati-hati di mana jua anda berada kerana malang itu tidak berbau. Kepada ahli keluarga Noh Salleh, setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya.-murai