Larikan Superbike Selepas Konon Mahu Pandu Uji


Seorang lelaki berjaya melarikan sebuah motosikal berkuasa tinggi yang baharu dipandu ujinya di sebuah pusat jualan di Taman Jawi Jaya, Sungai Jawi, di sini pada Jumaat.


Larikan Superbike Selepas Konon Mahu Pandu Uji

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikatakan melarikan motosikal jenis Honda CBR 1000RR berwarna putih berkenaan selepas dia membawa keluar dari kedai berkenaan kira-kira jam 4.30 petang.

Pemilik syarikat itu yang hanya mahu dikenali sebagai Tong, 52 tahun; berkata pada mulanya tidak membenarkan motosikal bernilai hampir RM100,000 itu dipandu uji memandangkan hujan lebat ketika itu.

“Lelaki tersebut mendakwa kononnya memang mahu membeli motosikal berkenaan tetapi berpura-pura mahu memandu uji terlebih dahulu.

“Saya percayakan lelaki itu kerana dia beritahu hanya mahu pandu uji di sekitar kawasan berhampiran kedai dan berjanji untuk menunggang sekitar Taman Jawi Jaya sahaja,” katanya.

Tong berkata, seorang pekerjanya kemudian dimintanya untuk mengekori motosikal yang dipandu uji itu kerana berasa risau ia mungkin akan kehabisan minyak.

“Selepas beberapa minit, pekerja saya kembali memaklumkan motosikal itu sudah tidak kelihatan lagi. Saya terkejut dan terus membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Wan Hassan Wan Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang menyiasat. – BERNAMA

Filled Under: