Harga Petrol, Diesel Turun

Bermula jam 12.01 malam semalam, harga petrol RON95 dan RON97 akan diturunkan sebanyak 10 sen manakala harga Diesel akan diturunkan sebanyak 15 sen.


Harga Petrol, Diesel Turun


Berikut adalah senarai terbaru petrol & diesel yang bermulai tengah malam tadi.
 
Harga runcit petrol RON95 dan RON97 turun 10 sen, mulai 1 September.

Harga baru bagi RON95 turun kepada RM1.95 seliter, berbanding RM2.05 pada Ogos.

Harga bagi RON97 pula berkurangan daripada RM2.45 kepada RM2.35, mulai tengah malam ini.

Harga bagi diesel juga mengalami penurunan 15 sen, daripada RM1.95 pada Ogos, kepada RM1.80. – BHarian Online

Bono (U2) Bintang Pop Terkaya Di Dunia

Vokalis kumpulan U2, Bono nampaknya menjadi bintang pop terkaya di dunia apabila meraih pendapat berbilion pound menerusi saham yang dibeli dalam syarikat Facebook.


Bono (U2) Bintang Pop Terkaya Di Dunia

Menurut laporan mirror.co.uk, penyanyi dan komposer lagu itu telah membeli 2.3 peratus saham media sosial berkenaan dengan melabur 56juta pound (RM360juta) menerusi syarikat Evelation Partners pada tahun 2009.

Selepas enam tahun membuat pelaburan berkenaan, dengan penggunaan Facebook yang semakin meluas di dunia, Bono meraih keuntungan sehingga 940juta pound (RM6bilion).

Difahamkan, wang yang diperoleh sepanjang enam tahun pelaburan itu lebih tinggi berbanding pendapatannya sepangjang bergelar pemuzik.-mstar

Pemain United Adnan Januzaj Dipinjamkan Ke Borussia Dortmund

Manchester United berpisah dengan seorang lagi pemainnya, kali ini Adnan Januzaj yang dipinjamkan kepada kelab Jerman, Borussia Dortmund selama semusim. Perpindahan itu dilengkapkan pada lewat Isnin.


Pemain United Adnan Januzaj Dipinjamkan Ke Borussia Dortmund

United sebelum ini menjual pemain pertahanannya Jonny Evans kepada West Bromwich Albion dan pada Isnin turut menjual penyerangnya, Javier Hernandez kepada sebuah lagi kelab Jerman, Bayer Leverkusen.

Pada awal musim, mereka menjual penyerang antarabangsa Belanda, Robin van Persie kepada kelab Turki, Fernabache dan tidak melanjutkan kontrak pinjaman penyerang Colombia, Radamel Falcao yang kini menyertai Chelsea.

Januzaj, 20, menyertai United dari Anderlecht pada 2011 tetapi hanya berjaya membuat penampilan untuk skuad utama pada tahun 2013. Dia telah bermain sebanyak 62 kali untuk United dan menjaringkan lima gol.

Pengurus United Louis van Gaal ingin menukar pemain tengah ini sebagai penyerang kedua di belakang Wayne Rooney. Januzaj berjaya menjaringkan gol pertamanya musim ini ketika menentang Aston Villa.

Bagaimanapun keputusan van Gaal untuk melepaskannya pergi ke Jerman mengejutkan banyak pihak memandangkan United kekurangan penyerang selepas mereka menjual Robin van Persie, tidak melanjutkan kontrak pinjaman Radamel Falcao dan yang terbaru turut menjual Javier Hernandez kepada sebuah lagi kelab Jerman, Bayer Leverkusen.-mstar

Manchester United Buat Kejutan Tawar £36 Juta Untuk Anthony Martial

Manchester United membuat kejutan dengan menawarkan £36 juta kepada Monaco untuk penyerang sensasi mereka berusia 19 tahun, Anthony Martial.


Manchester United Buat Kejutan Tawar £36 Juta Untuk Anthony Martial

Tawaran itu dibuat selepas penyerang United selama enam tahun, Javier Hernandez menyertai kelab Jerman, Bayer Leverkusen pada harga £12 juta sebentar tadi.

Monaco belum lagi memberi kata putus berhubung tawaran United itu tetapi Luis Campos, penasihat khas kepada kelab itu mengesahkan mengenai rundingan yang sedang berlangsung sekarang.

Pemain muda itu sering di bandingkan dengan legenda Perancis, Thierry Henry. Sebelum ini, sebuah lagi kelab Inggeris, Tottenham menawarkan £19 juta kepada Monaco untuk pemain itu tetapi ditolak.

United tewas buat pertama kali dalam perlawanan liga musim ini kepada Swansea City 1-2 pada Ahad iaitu yang ketiga berturut-turut di tangan kelab kerdil dari Wales itu sejak musim lalu.

Prestasi United mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk bekas pemain United sendiri seperti Gary Neville yang menegaskan Louis van Gaal perlu mencari penjaga gol baru, bek tengah yang kukuh dan juga penyerang yang kuat sebelum pintu perpindahan ditutup.

Malangnya United hanya mempunyai tempoh tidak sampai 24 jam sahaja lagi jika mereka berhasrat berbuat demikian sebelum ditutup menjelang Selasa.

Tetapi Van Gaal dalam reaksi segeranya tidak menyalahkan penjaga gol Romero di atas kekalahan itu sebaliknya meletakkan kesalahan itu ke atas pergerakan pantas Swansea dalam tempoh lima minit.

Sergio Romero dipilih sebagai penjaga gol United berbanding pemain regular mereka David de Gea kerana isu perpindahannya ke Real Madrid masih belum diselesaikan.

Walaupun Romero adalah penjaga gol utama Argentina tetapi dia jarang diturunkan di peringkat kelab ketika bersama kelab Itali sebelum ini.

Pergerakan dan tendangannya tidak sepantas de Gea walaupun gerak hatinya bagus.

Di bahagian hadapan United kekurangan ketajaman selepas mereka melepaskan Robin van Persie kepada Fenerbahce dan tidak menyambung kontrak pinjaman untuk Radamel Falcao yang kini menyertai Chelsea.

Anthony Martial yang baru sahaja disenaraikan dalam skuad kebangsaan Perancis untuk menentang Portugal dan Serbia pada 4 dan 7 September ini bermain sebanyak 48 kali untuk Monaco musim lalu dan menjaringkan 12 gol.

Dia memulakan kariernya bersama Lyon pada 2012 ketika berusia 17 tahun.-mstar

Mourinho Tahan Sabar

Kesabaran Jose Mourinho dikatakan semakin menipis dan mula mengatur perancangan untuk menyingkirkan pemain  yang gagal mempamerkan aksi mantap.


Mourinho Tahan Sabar

Pada Sabtu, Chelsea sekali lagi mengalami kekalahan pada awal musim apabila ditewaskan Crystal Palace 2-1 pada perlawanan ke-100 Mourinho dalam Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge.

Mourinho dikhabarkan telah mengenal pasti tiga pemain Blues yang dirasakannya tidak beraksi di tahap sebenar, bagaimanapun enggan menyebut nama mereka.

“Jika pemain tidak beraksi di tahap sebenar, terdapat dua cara untuk mengatasinya.

“Yang pertama, saya mempercayai pemain berkenaan, jadi saya akan menunggu peningkatannya. Anda tunggu, tunggu dan tunggu, mungkin peningkatan akan berlaku ataupun tidak.

“Atau, walaupun anda mempercayai detik perubahan itu akan tiba juga, tetapi saya tetap berasakan perubahan perlu dibuat. Saya boleh menggunakan kedua-dua cara itu," katanya.

Mourinho dikatakan tidak gembira dengan prestasi yang ditunjukkan skuadnya kerana gagal mempamerkan aksi secara berpasukan.

“Untuk bermain secara kolektif, anda perlu mempamerkan aksi individu. Apabila anda mengharungi perlawanan di tahap ini, anda memerlukan pemain beraksi dengan baik.

“Saya tidak boleh berkata, saya mahukan kesemua 11 pemain mempamerkan prestasi yang sama. Dua atau tiga pemain gagal beraksi di tahap sebenar. Saya menyalahkan diri saya sendiri kerana tidak menukar salah seorang daripada mereka," akuinya lagi.

Ketika ditanya identiti pemain itu, Mourinho membalas: “Itu merupakan perkara terakhir yang saya akan maklumkan kepada anda.”-mstar

Manchester City Umum Ketibaan Pemain Terbaik Bundesliga Kevin De Bruyne

Calon popular juara Liga Perdana Inggeris musim ini, Manchester City mengumumkan ketibaan pemain terbaik liga Jerman, Kevin De Bruyne dari Wolfsburg yang dibeli pada harga £52 juta iaitu rekod baru perpindahan buat kelab berkenaan.
 

Manchester City Umum Ketibaan Pemain Terbaik Bundesliga Kevin De Bruyne

Pemain berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak selama enam tahun dengan City dengan bayaran gaji di sekitar £200,000 seminggu.

De Bruyne pernah bermain selama dua musim dengan Chelsea sebelum berpindah ke Wolfsburg pada tahun 2014. Dia terpilih sebagai pemain terbaik Liga Jerman musim lalu - sekaligus menaikkan sahamnya di pasaran Eropah.

Dan kini pemain yang berasal dari Belgium itu menyertai nama-nama terkenal lain seperti Raheem Sterling, Nicolas Otamendi dan Fabian Delph sebagai pemain baru Manchester City.

Dia memulakan kariernya dengan kelab Belgium, Genk selama empat tahun sebelum Chelsea menyambarnya pada 2012.

Dua tahun sebelum itu, dia sudah pun mencipta nama sebagai pemain regular skuad kebangsaan Belgium.

Ketika De Bruyne menyertai Chelsea pada Januari 2012, kelab itu di bawah Andre Villas-Boas. Chelsea membayar £7 juta untuk mendapatkannya.

Selepas Villas-Boas dipecat dan digantikan dengan Roberto Di Matteo, De Bruyne bergelut untuk menempatkan diri sebagai pilihan utama.

Dia dipinjamkan kepada kelab Jerman, Werder Bremen pada Ogos 2012. Di liga inilah dia menyerlah sebagai seorang pemain berbakat.

Sekembalinya dia ke London, Jose Mourinho telah mengambil alih pengurusan Chelsea.

Mourinho tidak dapat memberi jaminan kepada De Bruyne yang dia akan menjadi pilihan utama setiap minggu yang sekaligus mendorongnya untuk memohon berpindah ke kelab lain dan Mourinho tidak langsung menghalang.

Lima bulan selepas musim 2013-14 bermula dia meninggalkan Chelsea untuk kembali ke Bundesliga tapi kali ini dengan Wolfsburg.

Kelab Jerman itu membayar sebanyak £18 juta untuk mendapatkan khidmatnya.

Musim lalu, dia menjaringkan 16 gol dan muncul pemain terbaik liga.-mstar

Kekasih Dedah Tasha Shila Mabuk Semasa Serang Hans

Hans Wong (bekas kekasih pelakon Tasha Shilla) yang telah membuat laporan polis diserang oleh pelakon itu di Zouk, Kuala Lumpur.


Kekasih Dedah Tasha Shila Mabuk Semasa Serang Hans

Apa yang sebenarnya berlaku menjadi lebih jelas melalui laporan yang dimuat naik oleh Carmen Emirda di akaun Instagramnya.

Menurut Hans, pada mulanya dia datang ke kelab tersebut dan terserempak dengan Tasha. Dia cuba bersalaman dengan bekas kekasihnya itu tetapi tidak diendahkan. Hans seterusnya duduk di sebuah meja.


Kekasih Dedah Tasha Shila Mabuk Semasa Serang Hans

Secara tiba-tiba, Tasha Shila yang berada dalam keadaan mabuk telah menampar dan menendang kaki Hans. Orang ramai yang berada dalam kelab telah menarik Tasha dan menyimbahnya dengan air akibat serangan itu. Beberapa orang pengawal kelab kemudiannya membawa Tasha keluar.

Hans bagaimanapun tidak mempedulikan Tasha. Ketika hendak pulang, Hans berjalan di tempat letak kereta bersama rakannya namun diserang kira-kira 30-40 orang lelaki berbangsa Melayu. Kunci keretanya pula dirampas oleh bapa Tasha.

Apa yang berlaku selepas itu tidak diketahui. Melihatkan keadaan Hans yang okay sahaja, mungkin jaguh tomoi itu berjaya mempertahankan dirinya dari serangan. Macam filem aksi pula jalan ceritanya.

Apa pun, kes ini telah menjadi kes polis. Begitu pun, masih belum ada sebarang penjelasan dari pihak Tasha mengenai perkara ini.


Kekasih Dedah Tasha Shila Mabuk Semasa Serang Hans

Kekasih Dedah Tasha Shila Mabuk Semasa Serang Hans

Seperti biasa, kita serahkan saja pada pihak polis untuk menyiasat perkara sebenar. Seingat kami, Tasha pernah mengatakan dia ke kelab malam untuk menenangkan fikiran, tetapi bila jadi perkara begini, bukannya tenang kot Tasha, tetapi makin bercelaru dibuatnya.

Mengapakah Tasha berbuat demikian jika benar? Bersama kita nantikan hasil siasatan polis.-taikotai

Umno Sungai Besar Lulus Usul Minta Muhyiddin Lepas Jawatan

Umno Bahagian Sungai Besar pada Ahad meluluskan usul meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatanTimbalan Presiden parti secara terhormat.


Umno Sungai Besar Lulus Usul Minta Muhyiddin Lepas Jawatan

Usul itu dicadangkan oleh ketua bahagian berkenaan, Datuk Jamal Md Yunos dalam persidangan perwakilan Umno bahagian Sungai Besar sebelum ia dibahas dan diluluskan dengan sejumlah 274 perwakilan menyokong manakala 171 membantah.

Usul tersebut antara lain berpandangan bahawa Muhyiddin perlu memberi peluang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meneruskan usaha mengukuhkan parti untuk berdepan pilihan raya umum akan datang.

Jamal dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu berakhir, berkata usul itu dibangkitkan setelah pihaknya berpendapat Umno tidak boleh mempunyai dua nakhoda, apatah lagi di saat parti sedang diasak dengan pelbagai isu yang memerlukan kesepakatan semua anggotanya.

"Usul ini menerima sokongan lebih dua pertiga perwakilan yang hadir. Kita merasakan Najib perlu mempunyai pembantu yang setia, iaitu Ahmad Zahid. Masa sudah terlalu suntuk, fokus perlu diberikan untuk menentang pihak lawan.

"Jika Muhyiddin terus kekal sebagai Timbalan Presiden, Najib nanti tidak ada kerja lain kerana asyik perlu menjawab persoalan yang ditimbulkan Muhyiddin," katanya.

Jamal berkata cadangan usul itu juga bagi menjaga kerahsiaan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti.-mstar

Tun Dr Mahathir Sertai Bersih 4.0

Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di ibu negara. Beliau tiba di Pasar Seni kira-kira pukul 4.15 petang ditemani bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim. Turut sama ialah isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.


Tun Dr Mahathir Sertai Bersih 4.0

Kehadiran Dr Mahathir ke perhimpunan Bersih 4.0 hari ini adalah yang kedua selepa pertama kali mengejutkan perserta perhimpunan tersebut pada kira-kira pukul 7.25 malam Sabtu.

Ketika bercakap kepada media di hadapan pintu masuk utama Pasar Seni, Dr Mahathir sekali lagi mengulangi dakwaannya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan derma politik berjumlah RM2.6 bilioan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga menggesa Najib supaya meletak jawatan.

"Kita tak patut benarkan beliau menyalahguna kuasanya sebagai perdana menteri.

"Patut diadakan undi tidak percaya di Parlimen," katanya.

Mengulas mengenai kehadirannya di perhimpunan Bersih 4.0, Dr Mahathir berkata: "Kita di sini kerana tidak boleh menerima pentadbiran Datuk Seri Najib."-mstar


Bersih 4.0 Lengkapkan Demo 34 Jam

Menjelang kemuncak perhimpunan Bersih 4.0 di perkarangan Dataran Merdeka, ribuan peserta terus membanjiri hampir keseluruhan jalan dan lorong di kawasan sekitar di sini.


Bersih 4.0 Lengkapkan Demo 34 Jam

Sejak pukul 9.30 malam Ahad, jumlah peserta perhimpunan gergasi itu semakin bertambah dari masa ke masa bagi menantikan sambutan ambang merdeka anjuran Bersih 4.0.

Jumlahnya dilihat begitu luar biasa dengan 'mood' peserta masih dalam keadaan bersemangat menanti detik 12 tengah malam.

Tepat pukul 12 tengah malam, peserta Bersih 4.0 melaungkan laungan 'merdeka' diikuti dengan nyanyian Negaraku dengan penuh bersemangat.

Lebih mengujakan apabila kumpulan 'orang kuning' itu akhirnya mencatat rekod mengadakan perhimpunan jalanan paling lama iaitu selama 34 jam bermula pukul 2 petang Sabtu.

Keseluruhan jalan disepanjang jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak serta persimpangan jalan Raja, Jalan Parlimen dan Jalan Raja Laut dipenuhi lautan manusia.

Tinjauan di hadapan Masjid Jamek juga didapati begitu sesak dengan kehadiran peserta Bersih 4.0.

Bagaikan karnival jalanan, peserta yang hadir bersorak, menyanyi, melaungkan kata-kata semangat berselang-seli dengan tiupan vuvuzela hingga mencetuskan bunyi bising.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, beliau berpuas hati dan menyifatkan perhimpunan Bersih 4.0 bagi edisi 2015 berlangsung dengan jayanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan yang memberi kerjasama penuh bagi membantu menjayakan perhimpunan aman tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata perhimpunan tersebut berakhir tanpa sebarang insiden kekecohan.

Beliau turut berpuas hati dengan kerjasama peserta Bersih 4.0 yang sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang perhimpunan tersebut.

"Anggota kami sentiasa memantau dengan dekat perkembangan perhimpunan bagi memastikan ianya berlangsung denga baik dan aman

"Walaupun terdapat beberapa insiden kecil, namun polis berjaya menanganinya dengan baik untuk kepentingan semua pihak," katanya ketika dihubungi.-mstar