Memaparkan catatan dengan label berita terkini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita terkini. Papar semua catatan

Beg Ditinggal Di Pavilion Hanya Berisi Baju, Bukan Bom

Dua beg galas yang ditinggalkan di bawah kerusi di sebuah pusat membeli-belah di sini menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan bom.


Beg Ditinggal Di Pavilion Hanya Berisi Baju, Bukan Bom

Polis bagaimanapun mengesahkan bahawa dua beg galas berkenaan ditinggalkan oleh dua pelancong warga Korea yang mahu membeli-belah di Pavilion Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata, dua pelancong wanita itu meninggalkan dua beg mereka dekat bahagian tengah di aras dua pusat membeli-belah tersebut pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

"Selepas 30 minit menunggu pemilik untuk menuntut beg mereka, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk menghubungi kita demi keselamatan orang awam.

"Unit pemusnah bom segera ke tempat kejadian dan beg berkenaan diperiksa dan apa yang ditemui adalah pakaian," katanya.

Kira-kira tiga jam kemudian, dua wanita berkenaan dalam lingkungan 20-an dan 40-an tampil untuk menuntut beg mereka.

"Mereka dibawa untuk disoal siasat. Mereka beritahu kita bahawa mereka mahu pergi membeli-belah, sebab itu mereka tinggalkan beg mereka di situ.

"Kita berpuas hati dengan jawapan mereka. Mereka telah dilepaskan," katanya.

Pemeriksaan mendapati kedua-dua pelancong itu memasuki Malaysia pada Isnin lalu (11 Januari).-mstar

ATM Sahkan Dua Anggotanya Ditahan Polis Bantu Siasatan Kes Tembak

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Jumaat mengesahkan dua anggotanya kini ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden tembakan yang seorang suspek yang dipercayai terbabit dengan kes penyeludupan.


ATM Sahkan Dua Anggotanya Ditahan Polis Bantu Siasatan Kes Tembak

Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zin berkata selain polis, ATM turut melakukan siasatan terhadap kejadian itu.

"Pihak polis (sedang) membuat siasatan... pihak tentera pun saya telah arahkan untuk buat siasatan atas kejadian yang berlaku. 

"Saya tak dapat komen apa-apa waktu ini. Kita tunggu hasil siasatan polis," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Jumaat.

Difahamkan, dalam kejadian 7.15 malam Khamis, seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an maut selepas terkena tembakan anggota tentera yang bertugas di sebuah pos kawalan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Anggota tentera itu melepaskan tembakan setelah van yang membawa lelaki itu, tidak berhenti di pos kawalan untuk pemeriksaan.

Tembakan itu dikatakan terkena lelaki itu yang duduk di kerusi penumpang hadapan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim ketika dihubungi pada Jumaat enggan mengulas mengenai kejadian itu. - Bernama

Pesawat Terhempas Di Sweden

Pasukan keselamatan Sweden sedang berusaha mencari dua mangsa yang dipercayai maut selepas sebuah pesawat yang membawa mel terhempas di utara negara itu pada Jumaat.


Pesawat Terhempas Di Sweden

Pesawat yang menggunakan model Canadair CRJ-200 itu menghantar panggilan kecemasan dan kemudiannya dikesan di kawasan darat oleh pesawat F-16 milik Norway.

Menurut akhbar harian Sweden, Svenska Dagbladet, pesawat itu dalam penerbangannya dari lapangan terbang utama di Oslo ke Tromso di Norway.

Seorang jurucakap memberitahu stesen radio Sweden bahawa polis sedang menjejaki lokasi nahas di antara bahagian barat laut Tasik Akkajaure dan sempadan Norway.

Tambah jurucakap itu, kawasan berkenaan tidak mempunyai jalan raya dan cuaca begitu sejuk. - Reuters

Tentera Vietnam Siasat Misteri 'Bola Angkasa'

Tentera Vietnam sedang menyiasat misteri tiga bola logam, dipercayai merupakan serpihan dari angkasa yang jatuh di utara negara itu, kata seorang pegawai kanan tentera pada Jumaat.


Tentera Vietnam Siasat Misteri 'Bola Angkasa'

Jurucakap tentera, Leftenan Jeneral Vo Van Tuan memberitahu AFP bahawa dua bola logam ditemui di barat laut wilayah Yen Bai pada 2 Januari lalu.

Tambahnya, sebiji bola lagi bersaiz lebih besar dengan berat kira-kira 45 kilogram jatuh di ladang jagung di wilayah Tuyen Quang.

"Kita masih mengenal pasti  dari mana ia datang," katanya, sambil menambah bahawa pihak tentera telah menentukan bahawa ia tidak mengandungi bahan letupan atau berbahaya.

Beliau berkata, kesemua bola logam itu jatuh dari langit sehingga ia membimbangkan penduduk tempatan.

Saksi memberitahu media tempatan bahawa mereka mendengar bunyi seperti guruh sebelum bola-bola berkenaan jatuh ke bumi.

Kementerian Pertahanan memberi jaminan akan mengumumkan hasil siasatan. - AFP

Spekulasi Isu Bauksit Yang Kian Menjalar

Semua pihak perlu berhenti membuat spekulasi mengenai isu bauksit sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh kerajaan negeri Pahang dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaaafar.


Spekulasi Isu Bauksit Yang Kian Menjalar

"Semua pihak digesa tidak membuat sebarang spekulasi sehingga pengumuman dibuat tidak lama lagi," kata menteri itu menerusi kenyataan pada pagi Ahad.

Dr Wan Junaidi sekali lagi mengulangi bahawa beliau dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob akan mengeluarkan kenyataan berikutan keputusan Kabinet untuk menghentikan sementara perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang.

Pada Sabtu, Adnan berkata kerajaan Pahang dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mengeluarkan kenyataan bersama mengenai isu ini.

Terbaru kegiatan perlombongan mineral itu juga dipercayai telah menjadi antara punca utama air di Sungai Balok dan air laut Pantai Batu Hitam bertukar menjadi merah semasa hujan lebat baru-baru ini.

Sementara itu tinjauan di Jalan Pintasan Kuantan menghala ke Pelabuhan Kuantan mendapati laluan yang sebelum ini sibuk dengan kenderaan berat mengangkut bauksit hampir lengang.

Lori-lori bauksit didapati diletakkan di tepi jalan berhampiran stesen minyak di kawasan perindustrian Gebeng dan Jalan Pintasan Kuantan dipercayai mempunyai kaitan dengan arahan itu.

Perlombongan bauksit telah dalam berita berikutan kebimbangan tentang kesan-kesan kesihatan debu bauksit, selain kebimbangan bahawa kawasan besar yang diterokai untuk perlombongan boleh membawa kepada banjir lumpur dan tanah runtuh.

Minggu lepas, laut di luar Pantai Batu Hitam dan Sungai Balok bertukar menjadi merah. Kejadian itu dipercayai berlaku akibat daripada hujan lebat yang kemudiannya dibawa bauksit dari lombong ke sungai-sungai dan ke dalam laut.-mstar

Panas: Gaji Keluarga Sharizat Yang Di Bayar Guna Wang Rakyat

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin mencabar National Feedlot Corporation (NFC) mendedahkan gaji bulanan yang dibayar kepada pengerusi eksekutifnya Datuk Mohamad Salleh Ismail.

Panas: Gaji Keluarga Sharizat Yang Di Bayar Guna Wang Rakyat


Selain Mohamad Saleh yang juga suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, beliau juga meminta gaji pengarah-pengarah yang lain didedahkan.

“AMK mencabar NFC mendedah jumlah sebenar gaji yang dibayar kepada pengerusi eksekutif danpengarahnya.

 “Rakyat berhak tahu sebab wang yang dibayar untuk mereka itu datangnya dari rakyat selaku pembayar cukai,” katanya dipetik Keadilandaily.com hari ini.

Beberapa maklumat tersebar di internet mendakwa suami Shahrizat memperoleh gaji bulanan sekitar RM100,000 sebulan.

Panas: Gaji Keluarga Sharizat Yang Di Bayar Guna Wang Rakyat


Manakala ketiga tiga anaknya  iaitu Wan Shainur Izmir, 31, (Pengarah Eksekutif) Wan Shahinur Izran, 27 (Ketua pegawai eksekutif)  dan Wan Izzana Fatimah, 25, (pengarah) memperoleh pendapatan RM35,000 hingga RM45,000 sebulan.

Panas: Gaji Keluarga Sharizat Yang Di Bayar Guna Wang Rakyat


Sebelum ini Pakatan Rakyat membuat beberapa pendedahan mendakwa dana rakyat berjumlah RM250 juta yang dianugerahkan kepada NFC telah disalah gunakan.

Dana itu didakwa telah digunakan untuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar berharga RM13.8 juta membeli kereta Mercedes berharga RM534,622, dua bidang tanah berharga RM3,363,507 di Putrajaya dan digunakan untuk melancong ke luar negara.-suarakamibaru

Syarikat Telekomunikasi Akan Beri Rebat Kepada Pelanggan Prabayar Tahun Depan

Syarikat telekomunikasi akan memberi rebat kepada pelanggan prabayar Malaysia mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2016.


Syarikat Telekomunikasi Akan Beri Rebat Kepada Pelanggan Prabayar Tahun Depan

Forum Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata rebat berkenaan, bersamaan dengan jumlah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), akan dikredit secara terus kepada akaun pelanggan prabayar seiring dengan pengumuman kerajaan semasa Bajet 2016 pada Oktober.

"Ini bermakna pelanggan yang menambah nilai RM10 akan pada mulanya mendapat masa bual RM9.43 kerana enam peratus GST akan ditolak daripada tambah nilai itu.

"Pelanggan terlibat akan menerima rebat RM0.57 dalam tempoh 24 jam. GST yang dibayar pelangggan akan dikumpul dan dibayar kepada Jabatan Katam Diraja Malaysia, selaras dengan Undang-Undang GST dan garis panduan untuk semua barangan dan perkhidmatan yang diguna," tambahnya.



CFM berkata, syarikat telekomunikasi telah bekerja keras untuk memastikan transisi lancar agar pengguna mempunyai pengalaman baik apabila menambah nilai.

Syarikat terbabit juga telah melabur secara berterusan bagi memodenkan rangkaian di negara ini agar pengguna mendapat perkhidmatan berkualiti.

CFM ditubuhkan pada Februari 2001 sebagai persatuan yang mewakili pelbagai pihak berkaitan, termasuk pihak 'penawaran dan permintaan' industri komunikasi dan multimedia Malaysia.

Ia ditetapkan oleh Malaysia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pada 2002 untuk melindungi hak-hak pengguna di sektor berkenaan. - Bernama

Operasi Buru Peniaga Vape Di Johor Bermula

Operasi memburu peniaga vape di sini sudah dilancarkan, bermula dengan mereka yang menjual cecair yang mengandungi nikotin menjelang penguatkuasaan larangan terhadap produk itu di negeri ini pada 1 Januari depan.


Operasi Buru Peniaga Vape Di Johor Bermula

Polis yang dibantu agensi negeri dan persekutuan, menyerbu tiga permis perniagaan, dua di Taman Century dan satu di Larkin dengan merampas produk bernilai RM380, 385.

Nikton tersenarai dalam Akta Racun dan produk mengandung bahan terlarang itu hanya boleh dijual oleh ahli farmasi.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata sebanyak 6,924 botol cecari vape dirampas dan dihantar untuk analisis.

Manakala, kira-kira 190 produk dan aksesori vape turut dirampas dalam operasi pada 15 Dismber lalu.

Empat lelaki berusia antara 23 dan 70 tahun yang bekerja di premis perniagaan tersebut ditahan dan kemudiannya dibebaskan selepas kenyataan mereka direkodkan.

"Kami sedang menunggu keputusan pegawai kimia untuk mengesahkan bahawa cecair itu mengandungi nikotin sebelum tindakan lanjut diambil," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua lelaki tersebut turut gagal mempamerkan lesen perniagaan yang sah dan tidak meletakkan papan tanda harga yang betul.

"Ini adalah serbuan pertama kami terhadap peniaga vape dan pastinya ia tidak akan menjadi yang terakhir.

"Saya telah mengarahkan Ketua Jabatan Narkotik untuk menjalankan operasi di seluruh negeri ini," katanya.

Malah, Wan Ahmad turut mengkritik Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah kerana jahil tentang undang-undang.

Beliau berkata kejahilan itu tidak memberi hak untuk menyimpan atau menjual produk yang mengandungi bahan terlarang seperti nikotin.

Menurut laporan, Mohd Ridzuan yang mewakili 50 peniaga vape di Johor mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri dan agensi yang terlibat dalam serbuan itu.

Dalam reaksi balasnya, Wan Ahmad berkata, mereka tidak perlu takut dengan ugutuan itu kerana polis menguatkuasakan undang-undang persekutuan.

"Sekiranya Ikhlas masih mahu menyaman kami berhubung perkara itu, terpulang kepada mereka," katanya.

Johor merupakan negeri pertama yang mengenakan larangan terhadap penjualan dan penggunaan vape kerana bimbang mengenai kesihatan orang ramai.-mstar

Muhyiddin Kongsi Mesej Atas Kertas Tisu Diterimanya Di FB

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin berkongsi mesej yang ditulis penyokong beliau di atas sehelai kertas tisu yang diserahkan kepadanya.


Muhyiddin Kongsi Mesej Atas Kertas Tisu Diterimanya Di FB

Gambar mesej tersebut yang ditulis menggunakan tulisan tangan oleh individu bernama Amy Ho dimuat naik di laman Facebook beliau dan mendapat kira-kira 39,342 likes dalam tempoh lapan jam.

Mesej tersebut berbunyi:"Terima kasih kerana berdiri untuk kami semua apabila tiada siapa yang berani melakukannya. Kami semua menyokong anda dan berdoa agar perjuangan anda tidak sia-sia. Semoga Tuhan memberkati anda dan negara ini."

Muhyiddin yang bakal berdepan tindakan disiplin kerana menentang presiden parti, melahirkan penghargaan kepada wanita tersebut kerana menyerahkan nota berkenaan.

"Mesej yang tulus ikhlas saya terima daripada seorang wanita di sebuah kafe pagi ini. Terima kasih," kata Muhyiddin.

Posting tersebut turut mendapat komen positif di kalangan netizen.

Salah seorang pengguna Facebook, W. K. Chan menulis: “Ya Tan Sri, jangan takut kepada sesiapa melainkan Tuhan. Nama anda akan tertulis dalam sejarah Malaysia kerana menyelamatkan negara ini".

Sean Duddley turut bersetuju dengan komen tersebut dan menyatakan sokongan padu terhadap Muhyiddin di atas kelantangannya dalam bersuara.

Roslan Rashid percaya majoriti rakyat Malaysia berada di belakang Muhyiddin.

"Berjuang untuk kami," tulisnya.

Muhyiddin digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada akhir Julai lalu kerana mengkritik bebanan hutang yang ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kebenaran hanya akan terbukti memandangkan pihak berkuasa berkaitan sedang menyiasat dakwaan terhadap 1MDB dan dana politik RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Buat masa ini tiada undang-undang di Malaysia yang memaksa parti politik dan pemimpinnya untuk mengisytiharkan derma politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Salleh berkata Muhyiddin bukan berniat untuk menjatuhkan perdana menteri atau memecah-belahkan parti.

"Saya boleh memberi jaminan bahawa Tan Sri bukan seorang yang berdendam. Beliau hanya bertanya soalan yang ditanya oleh orang ramai," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Dr Shahruddin yang merupakan bekas setiausaha politik kepada Muhyiddin berkata soalan-soalan yang dibangkitkan tidak patut dilihat sebagai kritikan untuk mencetuskan masalah.

"Kita boleh menilai sentimen rakyat berdasarkan maklum balas di laman media sosial," katanya.-mstar

Dr Ling Fail Saman Balas Terhadap Najib Razak

Bekas menteri Kabinet, Tun Dr Ling Liong Sik memfailkan saman balas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Dr Ling Fail Saman Balas Terhadap Najib Razak


Dr Ling berkata Najib tidak meneruskan sebarang saman fitnah terhadap individu lain termasuk pemimpin Umno yang berulang kali mengkritik tingkah laku dan integiriti beliau.

Dalam dokumen mahkamah, Dr Ling berkata beliau mengalami kerugian dan menuntut ganti rugi, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peguam utama beliau, Ranjit Singh berkata saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun mengesahkan bahawa mereka menerima satu salinan pernyataan pembelaan dengan saman balas pada hari yang sama.

Perdana Menteri memfailkan saman terhadap Dr Ling di atas kenyataan  yang membayangkan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib antara lain memohon perintah supaya Dr Ling menyiarkan kenyataan mohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan oleh plaintif (Najib).

Najib juga memohon injunksi untuk menghalang Dr Ling, atau melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.

Dr Ling bergantung kepada pernyataan pembelaan saksama dan perlindungan bersyarat atas kenyataan beliau.

Beliau menafikan menjejaskan reputasi Najib.

Mahkamah menetapkan 11 Januari depan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.-mstar

TNB Heret LHDN Ke Mahkamah

Syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengheret Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke mahkamah berkaitan pembayaran cukai syarikat tersebut sebanyak RM2.07 juta yang dipertikaikan pada bulan lalu.


 TNB Heret LHDN Ke Mahkamah

TNB memberitahu Bursa Malaysia pada Isnin bahawa ia menerima kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengetepikan notis taksiran tambahan berikutan keputusan LHDN untuk tidak membenarkan tuntutan elaun pelaburan semula.

Menurut TNB, Mahkamah Tinggi turut membenarkan penangguhan sementara terhadap semua prosiding susulan termasuk penguatkuasaan notis sehingga pendengaran kedua-dua pihak berhubung penangguhan tersebut.

Pada 23 November lalu, TNB menerima notis daripada LHDN berhubung taksiran bagi tahun 2013 dan 2014 yang masing-masing dianggarkan bernilai RM985.574 juta dan RM1.083 juta.

Pada Isnin, Ketua Pegawai Kewangan TNB, Fazlur Rahman Zainuddin dalam satu sidang media memberitahu selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu, TNB tidak dapat menentukan lagi bagaimana pembayaran cukai RM2.07 bilion yang dipertikaikan itu akan memberi kesan dalam penyata keuntungan dan kerugian syarikat.

"Ini tertakluk kepada keputusan rayuan dan kita tidak boleh membuat sebarang spekulasi terhadap kedudukan itu.

"Kami sedang meneruskan rayuan dan tidak boleh mendedahkan lebih lanjut," katanya.

Namun, Fazlur berkata perkara itu tidak akan menjejaskan aliran tunai TNB.-mstar

Pakar Tampil Jawab Isu Wanita Dakwa Doktor Jahit Kaki Orang Macam Jahit Guni

Sejak dua hari lepas menjadi viral di laman sosial beberapa keping gambar yang dimuatnaik oleh seorang wanita yang mendakwa doktor di Malaysia yang tidak bertanggungjawab dengan menjahit kaki orang seperti menjahit guni.


Pakar Tampil Jawab Isu Wanita Dakwa Doktor Jahit Kaki Orang Macam Jahit Guni

Selain itu, dia mempertikiakan keikhlasan doktor Malaysia yang membaut kerja selain menyatakan doktor tersebut akan merangkak meminta maaf di akhirat nanti sedangkan dia sendiri tidak tahu apa-apa dalam bidang tersebut.

Pakar Tampil Jawab Isu Wanita Dakwa Doktor Jahit Kaki Orang Macam Jahit Guni

Melihat gambar-gambar tersebut mula dikongsi oleh netizen dan rata-rata netizen menempelak kerja doktor berkenaan tanpa tahu apa-apa mengenai apa yang sebenarnya dilakukan menyebabkan seorang doktor bernama Aznil Hisham tampil membuat kenyataan menjelas.

Menurutnya jahitan berkenaan adalah jahitan yang baik di matanya sebagai seorang doktor dan jahitan ini di namakan sebagai  "Interrupted mattress suture".

"Kalau nak cantik, hantar lah ke butik, bukan hantar ke hospital, di Hospital, kita tidak utamakan jahitan ropol-ropol."

"Kita utamakan kesan komplikasi infeksi pada luka atau lain-lain komplikasi. Kita mahu luka itu sembuh dan bercantum dengan baik. Itu yg kami mahu," katanya.

Beliau juga bertanyakan berapa sen sangat yang dibayar oleh wanita berkenaan untuk membayar gaji mereka doktor-doktor di Malaysia.

"Kami pun bayar cukai dan mungkin lagi banyak dari kakak, jadilah org bersyukur," katanya lagi.

Berikut adalah kenyataan dan penjelasan panjang lebar oleh Dr. Mahyuddin Mohamed yang merupakan doktor Pakar Ortopedik di Sultan Haji Ahmad Shah Hospital, Temerloh, Pahang.

1. Profesi ini memang tak lekang dek kutukan & kritikan. Baru sahaja semalam sahabat saya Dr. Abdul Rahman, Pakar Kecemasan Hospital Melaka menjawab post FB seorang jururawat yang dikatakan tidur di sebuah hospital awam di Johor. Hari ini viral pula post FB (post yang dibuat semalam) mengenai jahitan luka seorang pesakit di Hospital Sungai Buloh yang dikatakan ala menjahit guni. Dan doktor ni dikatakan sangat tak bertanggungjawab dan tak Ikhlas bekerja.

2. Buat saudari yang mengata ni, saya nak bagitahu satu perkara. Jahitan guni yang saudari katakan inilah jahitan yang TERBAIK bagi pesakit ini. Izinkan saya bercerita ringkas, nak fokus pasal jahitan luka sahaja. Tak perlu nak cerita bab lain pun. Bab ni pun saudari Dah silap besar.

3. Buat pengetahuan pembaca sekalian, kulit manusia pada bahagian lutut adalah agak kendur bagi membenarkan pergerakan sendi lutut (seperti juga siku) dan tidak seperti kulit di kepala atau di kawasan muka. Luka pada bahagian lutut perlu dijahit menggunakan teknik "mattress suture" seperti yang telah dilakukan oleh doktor yang melakukan pembedahan ni. Doktor yang dikatakan "tak bertanggungjawab & tak Ikhlas" ni.

4. Doktor ni boleh sahaja memilih untuk menggunakan teknik yang lebih mudah seperti simple interrupted suture atau memakai stapler bedah yang lebih cepat dan mudah. Namun doktor ini telah memilih untuk berdiri lebih lama dan menjahit menggunakan teknik ini kerana beliau tahu ia adalah teknik yang terbaik bagi luka di kawasan ini.

5. Jahitan yang dilakukan kemas dan tidak terlalu ketat. Hujung2 luka dirapatkan dengan sempurna. Jika terlalu ketat, bahagian tepi luka (edge of wound) boleh mati dan menjadi hitam (necrosis). Luka pesakit ini merah dan berdarah menunjukkan bahagian tepi kulit itu hidup.

6. Dalam Perubatan, Ilmu menjahit ni amat luas. Pegawai Perubatan Siswazah yang baru masuk kerja pun tak mampu melakukan jahitan ini. Kaedah jahitan (interrupted versus continuous, simple versus mattress, horizontal, vertical or hiding mattress etc), jenis jarum (curve versus straight, round body versus cutting etc) & jenis benang (absorbable vs non absorbable, synthetic vs non synthetic etc) yang perlu digunakan adalah berbeza bagi jenis luka, kawasan luka dan organ yang perlu dijahit. Bukan macam nak jahit guni yer cik Puan.

7. Nasihat saya buat semua Rakyat Malaysia, kalau ada apa2 kemusykilan, TANYA kami. Kami sedia bercerita dan menjelaskan kemusykilan anda. Bukannya kami ada apa2 yang nak disembunyikan pun. Tugas kami ialah memberi Rawatan dan Perkhidmatan sebaik mungkin buat semua Rakyat Malaysia. Tiada apa yang kami mahu melainkan melihat pesakit kami kembali sembuh dan dapat berjalan seperti sediakala. Masalahnya segelintir Rakyat Malaysia ni berat mulut nak bertanya, lebih suka "assume" dan berprasangka buruk terhadap Perkhidmatan Kesihatan Awam.

8. Melihat kepada keadaan luka lutut dan tulang keting pesakit yang ada besi (tibial pin traction on tibia bone), dan daripada komen2, pesakit yang terlibat dalam kemalangan jalanraya ini telah mengalami luka di lutut dan patah tulang peha beliau. Pesakit ini perlu menjalani Pembedahan lagi bagi membetulkan kepatahan tulang peha beliau. Saya doakan yang terbaik buat beliau. Semoga Pembedahan beliau berjalan lancar. Saudari tak malukah nak berhadapan dengan doktor2 yang masih merawat beliau ni?

9. Buat saudari, saya nasihatkan anda mohon maaf kepada semua doktor di Malaysia terutamanya di hospital sungai Buloh. Takut nanti saudari pula yang merangkak mintak maaf kat akhirat.

10. Buat kakitangan kesihatan, saya nasihatkan kita sama2 protect each other, defend each other dalam masa yang mencabar ni. Begitu ramai di luar sana yang berusaha mencari salah silap kita. Di hospital saya Skrg Dah Ada yang dengan sengaja merakam gambar dan video dengan harapan kita membuat kesilapan. Maklumlah, disaat ekonomi yang mencabar dan kos sara hidup yang meningkat ni, jika dapat menang saman memang lega la hidup kan? Make sure setelah kita explain to patients, document properly. Protect ourselves. And maybe we can go on the offense too, insyaAllah.
Ingat, KOMUNIKASI DAN DOKUMENTASI!

Nampaknya perkara seperti ini sering terjadi melibatka bidang perubatan, ramai pesakit tidak tahu S.O.P dalam bidang ini tetapi sering mempertikaikan, ini kerana pada pengalaman admin sendiri menulis, terlalu banyak isu tidak faham tugas doktor atau jururawat ini tetapi sering diviralkan dn akhir sekali terkena balik ke batang hidung.

Contoh Isu seperti Dipatuk Ular Tetapi Diabaikan Oleh Hospital Kerajaan dan Isu Kenapa Patah Kaki, Bila Hendak Bedah Perlu Bogelkan Pesakit, ternyata ramai tidak tahu prosuder-prosuder ini tetapi ambil keputusan untuk viralkan. - Siakapkeli

Muhyiddin Kecewa Dilarang Berucap, Rayuan Ditolak

Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kecewa apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno membuat keputusan menghalangnya daripada menggunakan platform Perhimpunan Agung Umno 2015 untuk berucap di hadapan perwakilan parti itu.


Muhyiddin Kecewa Dilarang Berucap, Rayuan Ditolak

Menurut Timbalan Presiden Umno itu, rayuannya untuk menyampaikan ucapan penggulungan sebelum sesi penangguhan Sabtu ini ditolak tanpa sebab.

"Saya kecewa, saya dan Datuk Seri Shafie merayu supaya saya diberikan peluang berucap, tapi nampaknya dia (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata tak boleh juga.

"Daripada perbincangan itu (mesyuarat MT) ada yang menghalang. Saya tak tahu kenapa, tapi itulah keputusannya," katanya kepada pemberita di pekarangan Menara Dato' Onn di sini, Rabu malam.

Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat khas MT Umno yang dipengerusikan Najib.

Ditanya sama ada beliau menerima keputusan berkenaan, Muhyiddin berkata: "Saya tak berapa setuju, tapi itulah keputusannya.

"Sepatutnya bagilah ruang dan peluang, itu amalan biasa, tapi Majlis Tertinggi dah buat keputusan, apa yang saya nak kata?" katanya.

Bagaimanapun, bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau akan tetap mengikuti perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno 2015 yang akan bermula pada Khamis.

"Saya akan duduk dalam mesyuarat sampai selesai sebab saya timbalan presiden.

"Akan terus duduk daripada awal sehingga akhir," katanya.-mstar

Tarif Elektrik Turun, Tambang Pengangkutan Awam Dikaji

Tarif elektrik untuk pengguna di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bakal dikurangkan antara 3.3 peratus hingga 5.9 peratus mulai Januari tahun depan.


Tarif Elektrik Turun, Tambang Pengangkutan Awam Dikaji

Berita gembira penurunan kadar tarif elektrik itu dijangka membabitkan pengguna industri dan isi rumah dalam usaha kerajaan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat yang kurang berkemampuan.

Tarif baharu elektrik tersebut dijangka berkuat kuasa selama enam bulan memandangkan pihak kerajaan turut perlu mengkaji semula kadar bil utiliti tersebut pada setiap setengah tahun

Portal berita tempatan AgendaDaily yang memetik satu sumber memberitahu, pengurangan tarif mungkin boleh dilakukan melalui konsep rebat Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

Selain itu, kejatuhan harga minyak dunia turut telah memberi kesan kepada harga semasa gas asli yang sering digunakan sebagai bahan untuk stesen penjanaan tenaga elektrik tempatan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili dijangka mengadakan sidang akhbar pengumuman mengenai tarif elektrik baharu di kementeriannya di Putrajaya.

Sementara itu, mesyuarat Menteri pada Jumaat lalu juga bersetuju supaya kenaikan harga tiket untuk Komuter, transit aliran ringan (LRT), Monorel dan Express Rail Link (ERL) dinilai semula.

Difahamkan sebahagian besar daripada anggota Kabinet telah menyuarakan bantahan mereka mengenai kenaikan tinggi harga tiket pengangkutan awam rel tersebut baru-baru ini.

“Jemaah menteri kemudian mengarahkan pihak terlibat agar mengkaji semula kenaikan harga tersebut dan menyerahkan laporan dalam mesyuarat yang seterusnya pula.

“Keputusan selanjutnya akan dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang akan datang,” kata sumber itu dipetik oleh AgendaDaily. – Agensi/Mynewshub

Sultan Johor Haram Vape, Arah Tutup Premis Mulai 1 Januari 2016

Sultan Johor mengharamkan penggunaan vape di seluruh negeri itu dan memberi tempoh sebulan kepada pengusaha premis peranti berkenaan untuk menamatkan operasi.


Sultan Johor Haram Vape, Arah Tutup Premis Mulai 1 Januari 2016



"Saya mahu premis vap ditutup pada 1 Januari 2016 dan saya tidak mahu dengar sebarang alasan.

"Ia ada kaitan dengan isu kesihatan dan kesannya kepada golongan muda, bukan melibatkan perniagaan atau perkauman.

"Saya benar-benar kecewa apabila ada pihak menimbulkan isu ancaman perkauman dan politik melibatkan vape," titah baginda menerusi temubual khas baru-baru ini.

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskkandar bertitah, negeri mempunyai hak untuk menguatkuasa undang-undang mengikut peruntukan kerajaan tempatan bagi menutup perniagaan pengusaha vape.

Baginda juga mengarahkan supaya kerajaan negeri bersidang minggu depan untuk merangka perancangan untuk memudahkan proses itu.

Titah baginda lagi, ahli politik juga seharusnya berhenti memenuhi kehendak ahli perniagaan yang terlibat dalam industri vape ini.

"Kenapa ada ahli politik yang mengalah terhadap ancaman ini? Saya mahu tahu jika ahli perniagaan ini membenarkan anak-anak mereka untuk menggunakan vape jika ia benar-benar selamat dan tidak mengganggu kesihatan seperti yang didakwa.

"Apakah kamu mahu melihat anak-anak terus menggunakannya.

"Ia perniagaan baharu tetapi apa pula bentuk perniagaan yang mereka lakukan sebelum ini? Berpatah balik kepada pekerjaan anda sebelum ini," katanya.

Awal bulan ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Industri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Kementerian Kesihatan menguatkuasakan penjualan vape yang perisannya mengandungi nikotin boleh membunuh industri yang dikuasai peniaga Melayu.

Menteri berkenaan juga memberi maklumbalas berkenaan susulan laporan polis yang dibuat sekumpulan peniaga Bumiputera mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap industri vape boleh mengakibatkan sokongan terhadap Barisan Nasional menurun pada pilihan raya umum akan datang.

Sultan Johor Haram Vape, Arah Tutup Premis Mulai 1 Januari 2016

Sultan Johor bertitah, kesan jangka panjang kesihatan kerana penggunaan vape di mana pembayar cukai perlu menanggung untuk membiayai rawatan.

Beliau bertitah lagi, pengharaman vape di negeri itu meliputi penjualan produk berkaitan peranti itu.

"Adalah jelas mengikut undang-undang, premis vape tidak boleh menjual nikotin, jadi kenapa perlu menutup sebelah mata dan mengetepikan undang-undang?

"Jika kita biarkan ia berlaku, akan ada golongan muda yang ketagih untuk menggunakannya," titah baginda.

Sultan Johor juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang pada 1 Januari depan akan dikenakan tindakan.-mstar

Khairuddin Sokong Kempen Bebaskan Anwar Ibrahim

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap kempen pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan kes liwat keduanya.


Khairuddin Sokong Kempen Bebaskan Anwar Ibrahim

Beliau yang sebelum ini ditahan bersama peguamnya, Matthias Chang mendakwa, pembebasan Anwar daripada Penjara Sungai Buloh itu penting kerana beliau dapat berperanan sebagai ketua pembangkang yang efektif untuk negara.

"Kita perlukan pembangkang yang efektif dan rasional untuk sama-sama memainkan peranan ke arah pertumbuhan negara tanpa sebarang agenda politik.

"Oleh itu, wajar untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar bagi menyemarakkan landskap serta senario politik negara.

"Apa yang harus kita gusarkan sekiranya mentadbir negara ini secara amanah," soalnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Suami kepada aktres Datin Seri Umie Aida itu juga menambah, ketika negara diambang kejatuhan dari perspektif politik dan ekonomi, oleh itu sudah tiba masanya semua pihak bersatu.

"Jangan buat retorik politik lagi, tetapi harus ikhlas untuk membangunkan semula negara," katanya yang dibebaskan dengan jaminan RM10,000 baru-baru ini.

Pada masa sama, Khairuddin juga menggesa ahli Umno supaya berani menegur kepimpinan untuk menjamin kelangsungan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Beliau mendakwa penyokong BN terlalu kuat mengampu dan tidak berani membuat teguran membina ke atas kepimpinan parti itu.-mstar

Remaja diarah bayar pampasan RM3.55 juta

Sebuah mahkamah di sini semalam mengarahkan keluarga remaja perempuan yang terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan sembilan orang maut dan empat lagi cedera membayar pampasan berjumlah 30 juta baht (RM3.55 juta) kepada mangsa.


Remaja diarah bayar pampasan RM3.55 juta

Remaja itu, Orachorn Thephasadin Ayudhya yang memandu sebuah kereta Honda Civic melanggar belakang sebuah van penumpang di atas jejambat di lebuh raya Din Daeng-Don Muang pada 27 Disember 2010.

Remaja diarah bayar pampasan RM3.55 juta

Ketika kejadian Orachorn berusia 16 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu.

Kemalangan itu menyebabkan van berkenaan terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum terhumban ke bawah jejambat.

Remaja diarah bayar pampasan RM3.55 juta

Pada 2011, Orachorn didakwa memandu tanpa lesen, memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Mahkamah semalam turut mengarahkan keluarga Orachorn membayar pampasan berkenaan kerana ibu bapanya gagal memantau anak mereka itu.

Seramai 28 plaintif terdiri daripada keluarga mangsa yang maut dan mangsa yang cedera memfailkan saman bagi menuntut pampasan dari Orachorn.

Mahkamah mengarahkan bayaran pampasan dari 4,000 baht (RM473) hingga 1.8 juta baht (RM212,859) termasuk faedah untuk setiap mangsa terbabit. – Agensi