Tiga Suspek Termasuk Wanita Tikam Pekerja Astro


Polis memburu tiga suspek, termasuk seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kes seorang petugas stesen televisyen swasta cedera parah ditikam di sebuah pangsapuri di Jalan Usahawan, Setapak, Jumaat lepas.


Tiga Suspek Termasuk Wanita Tikam Pekerja Astro

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata semua suspek yang telah dikenal pasti itu berusia 20 hingga 23 tahun.

"Tiga suspek yang dikenal pasti merupakan seorang suspek utama termasuk teman wanitanya serta rakan kepada suspek utama," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mohamad Roy berkata sebelum ini, polis telah menahan dua suspek lelaki pada Sabtu lepas yang kini direman sehingga Rabu ini.

Mengenai keadaan mangsa yang ditikam, Mohamad Roy berkata Ahmad Hawari Zakaria, 32, masih lemah dan kemungkinan polis hanya dapat mengambil keterangannya dalam dua atau tiga hari lagi.

Terdahulu, beliau hadir pada majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Pada majlis serah terima tugas itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Kuala Lumpur Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dilantik sebagai Komander Pasukan Keselamatan PDRM, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang akan memulakan tugasnya pada Rabu ini.

Jawatan lama beliau pula dipangku oleh Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain.-mstar

Filled Under: