Nazmi Mungkin Dihantar Pulang Walau Mohon Maaf


Ketua Jurulatih Skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee masih mempertimbangkan untuk menghantar Mohd Nazmi Faiz Mansor pulang jika didapati bersalah walaupun sudah memohon maaf.


info, terkini, berita, sukan, bola sepak, Nazmi faiz

Pemain tengah skuad kebangsaan itu bertindak meludah pemain Timor Leste Filipe Oliviera pada perlawanan pembukaan bagi kumpulan B di Sukan SEA, Sabtu lalu. Malaysia menang tipis 1-0.

Kim Swee yang berang dengan insiden kad merah melibatkan Nazmi Faiz itu berkata, dia akan menunggu keputusan daripada jawatankuasa tatatertib bola sepak Sukan SEA sebelum membuat keputusan untuk menghantar Nazmi pulang ke Malaysia.

"Ia perbuatan yang memalukan untuk melakukan perkara seperti itu dan saya telah memberitahu Nazmi bahawa perkara ini masih belum selesai.

"Kami perlu menunggu keputusan daripada jawatankuasa tatatertib untuk menentukan hukuman yang akan dijatuhkan ke atasnya dalam masa beberapa hari lagi.

"Saya menjelaskan kepadanya bahawa saya mungkin akan menghantarnya pulang atau mendenda Nazmi dan saya juga memberitahunya supaya bersedia dengan apa-apa tindakan yang akan dikenakan," kata Kim Swee selepas sesi latihan pasukannya di Stadium Bukit Gombak.

Akibat kad merah yang diterima, Nazmi kini digantung dua perlawanan.

Walau bagaimanapun dia tetap menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukannya seperti biasa pada Ahad.

"Saya akan menunggu keputusan daripada jurulatih serta jawatankuasa tatatertib dan saya akan menerima apa-apa tindakan yang akan dibuat akibat perbuatan saya itu," kata Nazmi lagi.

Sementara itu, pemain berusia 20 tahun itu berkata, tindakan yang membuatkan dia dibuang padang itu merupakan reaksi spontan selepas menerima terjahan Filipe.

"Saya akan meludah ke mukanya sekiranya saya benar-benar mahu melakukannya tetapi saya tidak buat sedemikian kerana itu bukanlah niat saya.

"Insiden ini akan menjadi pengajaran buat saya dan saya berharap akan menjadi pemain yang lebih baik selepas ini.

"Saya juga ingin memohon maaf kepada rakan sepasukan kerana mereka terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 orang," kata pemain Selangor itu.- mstar

Filled Under: