Rozaimi Mahu Balas Kepercayaan OKS


Penyerang Harimau Muda, Rozaimi Abdul Rahman mahu membalas kepercayaan yang diberikan Datuk Ong Kim Swee kepada beliau dengan segera kembali kepada prestasi asalnya untuk membantu skuad muda negara. Walaupun sebelum ini dilanda kecederaan panjang dan jarang beraksi, nama penyerang berusia 23 tahun itu antara 29 pemain yang disenaraikan dalam skuad Harimau Muda. 


Rozaimi Mahu Balas Kepercayaan OKS, info, terkini, sukan, bola sepak, Rozaimi, Ong Kim Swee

Malah, Kim Swee sebelum ini menyifatkan Rozaimi sebagai watak utama dalam Harimau Muda yang mampu mengetuai cabaran pasukan ke Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun depan. “Saya berterima kasih kepada Datuk Ong (Kim Swee) kerana memberi saya kepercayaan, saya janji akan lakukan yang terbaik dan berusaha keras untuk membantu pasukan negara,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. 

Rozaimi berkata, kecederaan yang dialaminya hampir pulih sepenuhnya dan hanya memerlukan sedikit waktu lagi untuk cergas kembali kepada prestasi asal. “Keadaan saya bertambah baik selepas mengikuti program pemulihan dengan FAM dan saya mula berasa selesa apabila beraksi di padang,” katanya. Rozaimi kini kembali ke Kota Kinabalu untuk berlatih bersama skuad Sabah yang akan melayan kunjungan PKNS di Stadium Likas, malam esok. 

Pernah dinobat antara 10 pemain terbaik Asia oleh ESPN pada tahun 2012, Rozaimi merupakan antara nama yang disebut-sebut mampu membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi dalam arena bola sepak. Dalam perkembangan lain, Rozaimi kemungkinan besar akan berada di bangku simpanan skuad Badak apabila pasukan berkenaan melayan kunjungan PKNS, malam esok. 

Ketua Jurulatih, Mike Mulvey berkata, kehadiran pemain berbakat itu sesuatu yang positif buat pasukan, namun tidak mahu tergesa-gesa untuk menurunkan beliau pada perlawanan esok. “Dia (Rozaimi) tidak bersama pasukan agak lama, dia juga menghabiskan tiga minggu untuk berlatih bersama Harimau Muda dan ianya bagus untuk kita. 

“Bagaimanapun, Rozaimi kembali menyertai kita sejak Isnin lalu dan sebelum ini dia juga ada bermain selama 45 minit bersama skuad muda negara, kita juga menerima laporan yang sangat ‘kuat’ daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)…dia mungkin akan berada dalam bangku simpanan sekiranya melengkapkan latihan minggu ini,” katanya. 

Sumber : sayangsabah

Filled Under: