1 Suspek Geng Mamak Ditembak Mati, 3 Ditangkap


Seorang penjenayah dipercayai anggota Geng Mamak ditembak mati malam tadi manakala tiga lagi diberkas dalam dua operasi berasingan baru-baru ini.


1 Suspek Geng Mamak Ditembak Mati, 3 Ditangkap, info, terkini, sensasi, berita, geng mamak, penjenayah
Sudah banyak kali buat onar, ini adalah gambar fail seorang anggota Geng Mamak yang berjaya ditembak mati polis, 25 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata suspek bernama Muhammad Asharaf Jamaluddin, 24, ditembak mati di sebuah rumah di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar ketika berbalas tembakan dengan polis pada pukul 9.30 malam.

“Polis ditembak bertalu-talu oleh suspek sewaktu serbuan di rumah tersebut. Suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu kes samun di Kamunting dan dia dipercayai pemandu kenderaan penjenayah yang merempuh dan menyebabkan kematian anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Bagan Serai pada Mei lepas,” katanya di Ipoh hari ini.

Beliau berkata di rumah tersebut, polis turut merampas antaranya sepucuk pistol Colt .45 semi automatik, beberapa butir peluru, pelbagai plat nombor pendaftaran kenderaan, parang, golok, empat jaket berlambang polis, empat lencana integriti Jabatan Kastam, 72 telefon bimbit dan sejumlah kunci kenderaan mewah.

Seorang lagi suspek geng itu yang berusia 37 tahun dan berasal dari Kampung Stesen, Kuala Kangsar ditangkap ketika Ops Cantas Khas di Lenggong pada pukul 11.30 pagi pada 14 Disember lepas apabila polis mengesan sebuah kenderaan yang disyaki.

Mohd Dzuraidi berkata lelaki yang didapati positif dadah itu mempunyai 20 rekod jenayah lampau antaranya samun, pecah rumah dan curi kenderaan selain mempunyai lapan rekod yang dikehendaki di Perak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah kereta jenis Subaru Impreza, 1 vest polis, sejumlah kunci kenderaan mewah dan pemotong besi.

Selain itu seorang lelaki berusia 50 tahun juga berasal dari Kampung Stesen yang dipercayai anggota Geng Mamak masih direman sehingga Jumaat ini bersama-sama teman wanitanya yang berusia 33 tahun, katanya.

Beliau berkata pasangan itu ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Desa, Kampung Tawas di sini pada pukul 6.20 petang 6 Disember lepas dan polis turut merampas dua buah kereta iaitu jenis Proton Perdana dan Honda Civic, 1 vest polis dan peralatan pecah rumah.

“Suspek lelaki yang positif dadah itu mempunyai 25 rekod jenayah lampau seperti samun, pecah rumah, serta rekod dikehendaki di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka manakala wanita yang berasal dari Sungai Siput itu juga positif dadah,” katanya.

Mohd Dzuraidi berkata tahanan reman kedua-duanya dilanjutkan lagi daripada 14 Disember sehingga 19 Disember ini bagi membolehkan siasatan dilakukan dengan lebih mendalam.

Beliau berkata polis kini sedang mencari Mohd Sharif Abu Bakar, 52, dan Nazrulhizam Mohamad Ramli, 35, bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan menghubungi polis.

Mohd Dzuraidi berkata sejak tiga bulan kebelakangan ini, Geng Mamak dikesan melakukan pelbagai jenayah terancang seperti samun, pecah rumah dan curi kenderaan mewah.

“Masih terdapat Geng Mamak, kita akan terus memburu mereka. Geng ini dikesan menyamar sebagai polis dan anggota kastam. Kita percaya Geng Mamak sedang merekrut anggota mereka yang baharu,” katanya.

Beliau berkata bagi tahun 2014 sehingga Disember, sebanyak 24 kes dipercayai dilakukan kumpulan tersebut di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kelantan.

“Pihak JSJ Perak menubuhkan pasukan petugas untuk memburu dan menumpaskan kumpulan ini. Setakat ini hasil daripada maklumat awam dan siasatan, kita menangkap beberapa suspek yang kesemuanya merupakan anggota Geng Mamak yang aktif,” katanya. – Bernama

Filled Under: