Pemain Olympiakos Selamat Selepas Jadi Mangsa Culik


Pemain bola sepak dari Mexico, Alan Pulido selamat selepas polis berjaya melepaskannya daripada kumpulan penculik yang menculiknya di timur laut Mexico.


Pemain Olympiakos Selamat Selepas Jadi Mangsa Culik

Pulido, 25, diculik pada malam Sabtu di bandar kelahirannya, Ciudad Victoria, Tamaulipas.

Penyerang yang bermain untuk pasukan Greek, Olympiakos, itu sempat menelefon polis tanpa disedari orang yang menangkapnya, menurut pegawai.

Seorang lelaki berusia 38 tahun telah ditangkap. Pegawai-pegawai berkata dia mengaku menjadi salah seorang anggota kumpulan jenayah tempatan.

Polis sedang mencari tiga lelaki lain yang dipercayai terlibat dalam penculikan itu.

Kereta Pulido telah dikelilingi oleh beberapa kenderaan ketika dia meninggalkan sebuah parti bersama teman wanitanya pada malam Sabtu.

Lelaki bertopeng telah menculiknya, meninggalkan teman wanitanya tanpa dicederakan, dalam kejadian yang berlaku di sebuah tempat letak kereta.

Keluarga Pulido menerima panggilan telefon pada Ahad menuntut bayaran wang tebusan, kata pendakwa negeri Ismael Quintanilla kepada wartawan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada keluarga itu merancang untuk memenuhi permintaan penculik atau berapa besar permintaan wang tebusan itu.

Quintanilla berkata pasukan keselamatan tidak dapat mengesan Pulido, tetapi Pulido berjaya menelefon pihak polis.

Katanya, tiada kesan tembakan ditemui dan Pulido hanya mengalami kecederaan ringan.

Sambil salah satu tangannya dibalut, Pulido berkata kepada pemberita awal pagi semalam, "Saya baik, syukur kepada Tuhan."

Tamaulipas adalah salah satu negeri yang paling ganas di Mexico.

Mexico baru-baru ini mengerahkan lebih banyak pasukan keselamatan untuk menangani kartel yang beroperasi di kawasan itu.

Negara itu mempunyai kadar penculikan tertinggi di dunia, dengan kira-kira 1,000 orang diculik setiap tahun.

Angka itu bagaimanapun dipertikaikan kerana ia didakwa boleh menjadi hampir 10 kali ganda lebih tinggi.-mstar

Filled Under: