Messi Umum Bersara, Malu Kalah Kepada Chile


Bintang sensasi kelab elit Sepanyol, Barcelona iaitu Lionel Messi pada 27 Jun membuat pengumuman secara mengejut bahawa beliau akan bersara daripada aksi sukan bola sepak antarabangsa yang diceburinya.


Messi Umum Bersara, Malu Kalah Kepada Chile

Messi mengumumkan persaraannya itu setelah berasa malu Argentina yang dianggap antara kuasa bole sepak di Amerika Latin boleh tewas di tangan pasukan kerdil, Chile dalam perlawanan akhir kejohanan Copa America.

Pemain itu patah hati setelah Chile merampas kemenangan menerusi tendangan penalti 4-2 iaitu kekalahan keempat berturut-turut Messi dalam perlawanan akhir bagi kejohanan utama ketika menyarung jersi Argentina.

“Bagi saya, penglibatan dengan pasukan negara sudah berakhir,” kata bintang bola sepak yang kecewa itu kepada para wartawan sukan antarabangsa selepas berakhir perlawanan di Stadium MetLife, East Rutherford dekat sini.

“Saya sudah lakukan semua yang saya mampu, saya sudah bermain dalam empat perlawanan akhir dan hakikat bahawa saya tidak muncul sebagai juara amat menyedihkan saya,” kata Messi yang kini berusia 29 tahun.

“Ia satu detik sukar bagi saya dan pasukan ini, dan sukar untuk saya katakan, tapi cukuplah sampai di sini dengan Argentina,” ujarnya yang memulakan karier pada usia tujuh tahun dengan Club Atlético Newell’s Old Boys.
Messi Umum Bersara, Malu Kalah Kepada Chile

Pengumuman dramatik Messi itu dilakukan susulan kekalahan ketiga Argentina dalam sesebuah perlawanan akhir utama sejak 2014. Pasukan itu pernah tumbang 0-1 kepada Jerman dalam perlawanan akhir Piala Dunia pada 2014.

Lebih memalukan, Argentina kalah dengan penentuan tendangan penalti 1-4, juga di tangan Chile yang menjadi tuan rumah dalam perlawanan akhir Copa America ke-44 pada 2015 lalu di Estadio Nacional, Santiago.

Messi juga kalah ketika mewakili Argentina dalam perlawanan akhir Copa America ke-42 pada 2007 di Maracaibo, Venezuela apabila negaranya tunduk kepada Brazil 0-3 untuk muncul sebagai juara kejohanan buat kali kelapan.

Meskipun mencatat kerjaya yang gilang gemilang sehingga dinobat sebagai Pemain Bola Sepak FIFA Terbaik di Dunia sebanyak lima kali, Messi kerap dilemparkan dengan pelbagai kritikan oleh para penyokong Argentina.

Biarpun dianggap di seluruh dunia sebagai antara pemain bola sepak paling hebat dalam sejarah, beliau kerap dikritik kerana masih lagi tetap gagal meraih kejuaraan untuk skuad negara tanah tumpahnya sendiri.

Kegagalan Argentina untuk menandingi pencapaian pasukan yang dianggotai oleh Diego Maradona, yang memimpin pasukan itu sebagai kapten semasa menjulang Piala Dunia FIFA pada 1986, sering dijadikan isu.

Maradona sendiri pernah melemparkan kritikan terhadap Messi, dan pada hari sebelum berlangsungnya satu perlawanan persahabatan baru-baru ini, beliau mendakwa Messi sebagai ‘tidak mempunyai personaliti’.

“Beliau seorang yang baik hati, namun beliau tidak ada personaliti,” kata Maradona di Paris, Perancis tidak lama sebelum Euro 2016 bermula. “Beliau tidak mempunyai perwatakan untuk menjadi pemimpin,” tambahnya.

Keputusan Messi yang mengejutkan itu diumumkan susulan musim bola sepak yang mencabar untuk dirinya, yang terganggu akibat kecederaan dialaminya sendiri sepanjang tahun lalu. –Mynewshub

Filled Under: