Nilai mahal perceraian


Ikatan perkahwinan terjalin dengan adanya cinta, persefahaman dan kepercayaan di antara dua insan. Hari-hari yang dilalui terasa indah, malah kasih sayang semakin subur dengan adanya zuriat.


Nilai mahal perceraian

Namun bukan semua perkahwinan diulit bahagia, malah ada antaranya berakhir dengan perceraian andai kemelut yang melanda tiada jalan penyelesaian.

Selebriti terkenal Hollywood juga tidak terkecuali berdepan dugaan ini. Sudah semestinya kisah perceraian mereka mendapat perhatian masyarakat dunia, apatah lagi jika ia membabitkan ganti rugi ratusan juta ringgit.

Berikut 10 perceraian termahal dalam sejarah selebriti Hollywood.

1. Kenny Rogers & Marianne

Penyanyi country, Kenny Rogers sudah lima kali mendirikan rumah tangga. Ketika berpisah dengan isteri keempat, Marianne Gordon, Rogers mengejutkan peminatnya apabila membayar ganti rugi sebanyak RM243 juta.

Rogers dan Marianne berkahwin pada 1977 dan bercerai pada 1993.

2. Tiger Woods & Elin Nordegren

Nama Tiger Woods pernah terpalit pelbagai kontroversi dan skandal dengan ramai wanita. Selepas hampir enam tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua cahaya mata, Woods bercerai dengan isterinya, Elin Nordegren.

Menurut laporan media antarabangsa, perceraian pasangan ini bernilai RM3 bilion.

3. Jennifer Lopez & Cris Judd

Selepas melantik Cris sebagai pengarah klip video lagu popularnya, Love Don’t Cost a Thing, Jennifer Lopez mengahwini jejaka itu pada September 2001. Pun begitu, tidak sampai setahun mendirikan rumah tangga, penyanyi itu memfailkan perceraian dan prosesnya mencecah RM57 juta.

4. Mel & Robyn Gibson

Jumlah yang disebut ini mungkin akan membuatkan ramai terkedu. Mana tidaknya, perceraian pasangan yang berkahwin selama 28 tahun ini mencecah RM3 bilion. Pasangan ini dikurniakan tujuh cahaya mata dan mengambil masa selama dua tahun untuk berbincang secara baik sebelum bercerai secara sah.

5. Madonna & Guy Ritchie

Selepas tujuh tahun bersama, akhirnya Madonna dan Guy Ritchie bercerai pada 2008. Tiada angka yang tepat untuk penceraian mereka, namun menurut beberapa maklumat yang dibocorkan sumber terdekat pasangan itu, ia mencecah RM291 juta hingga RM372 juta.

6. Paul McCartney & Heather Mills

Paul McCartney dan Heather Mills mengikat hubungan sebagai suami isteri pada 2002 namun bercerai empat tahun kemudian. Selepas penceraian mereka disahkan pada 2008, Heather menerima wang bernilai RM197 juta daripada McCartney. Setiap bulan, Heather menerima wang nafkah RM283,006 untuk menyara anak mereka, Beatrice.

7. Donald Trump & Ivana Trump

Trump dan Ivana berkahwin pada 1977 dan sepakat berpisah pada 1992. Ivana dikatakan kecewa apabila Trump menjalin hubungan sulit dengan bekas Ratu Cantik Amerika Syarikat, Marla Maples. Sebagai tanda terima kasih melahirkan tiga zuriat, Trump membayar RM81 juta kepada bekas isterinya itu.

8. Lionel & Diane Ritchie

Pasangan ini berpisah pada 2003 selepas tujuh tahun hidup bersama dan dikurniakan dua cahaya mata. Alasan mereka bercerai kerana tidak lagi sehaluan.

Nilai perceraian mereka sebanyak RM81 juta, namun Diane menuntut elaun bulanan RM60,644 untuk pakaian dan RM80,859 setahun untuk perbelanjaan pembedahan plastik.

9. Michael & Juanita Jordan

Selepas 17 tahun menyulam kasih, bintang bola keranjang dunia, Michael Jordan dan isterinya, Juanita sah bercerai pada 2006. Pasangan ini berkahwin pada 1989 dan dikurniakan tiga cahaya mata. Kos perceraian mereka mencecah RM679 juta.

10. Harrison Ford & Melissa Mathison

Harrison Ford dan Melissa Mathison berpisah secara rasmi pada 2004 selepas dua dekad berkongsi suka duka. Hasil perkahwinan itu, pasangan ini memilki dua zuriat. Melissa dilaporkan menerima wang RM47 juta daripada Harrison.-hmetro

Filled Under: