Insiden ngeri membabitkan kemalangan eskalator bukan lagi perkara baharu malah merupakan isu hangat yang sering dijadikan topik hadapan di dada-dada akhbar.
Terbaharu, seorang lelaki yang ditugaskan untuk menyelenggara sebuah eskalator di Chongqing, China cedera teruk setelah ‘dimakan’ oleh mesin tangga bergerak tersebut.
Menurut portal Shanghaiist, insiden malang itu berlaku awal pagi ini di luar sebuah pasar raya yang terletak berdekatan dengan kampus di Universiti Southwest.
Difahamkan, lelaki berkenaan ditelan oleh mesin tersebut akibat dia terlupa untuk mematikan dahulu kuasa elektrik yang masih ada, sebelum memulakan kerja.
Lelaki terbabit terlekat di eskalator tersebut sehinggalah pihak bomba tiba di lokasi kejadian. Dia dilaporkan mengalami kecederaan agak teruk namun berada dalam keadaan stabil. – MYNEWSHUB