Tajaan: Syarikat Terkemuka Thailand 'Risik' JDT


Juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan sedang 'dirisik' sebuah syarikat terkemuka dari Thailand yang mahu menjadi penaja skuad Harimau Selatan itu.


Tajaan: Syarikat Terkemuka Thailand 'Risik' JDT

Khabar gembira itu dimaklumkan menerusi akaun rasmi Facebook Johor Southern Tigers pada Ahad.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim berkata, maklumat tersebut diperolehi sewaktu JDT berada di Thailand bagi perlawanan pra musim kelab tersebut.

JDT akan menentang Chonburi FC pada Ahad manakala Big Bang Chulalongkorn University FC, Selasa depan.

Dua aksi persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad JDT bagi menghadapi kelayakan Juara-Juara Liga Asia (ACL) dan Liga Malaysia musim 2016.

"Kita ada maklumat yang baik untuk dikongsikan iaitu ketika ini sewaktu JDT berada di Thailand, ada syarikat yang besar di sana ingin menaja kelab kita.

"Syarikat tersebut turut menaja beberapa kelab bolasepak di Europa.

"Jadi secara tidak langsung ini menyatakan bahawa kita sudah berada di tahap antarabangsa," katanya.

Ismail berkata rundingan antara JDT dan syarikat tersebut sedang dilakukan.

Malah, katanya apa jua keputusan yang dicapai akan dimaklumkan kepada semua penyokong setia JDT selepas ini.

"Buat masa ini, rundingan sedang dilakukan dan kami akan memaklumkan kepada anda semua keputusannya nanti," katanya.

Sementara itu, Ismail turut menyifatkan JDT kini sebagai sebuah jenama global apabila pelancaran jersi terbaharu kelab itu pada Ahad mencatat sejarah tersendiri selepas video yang dimuatnaik mendapat empat juta 'reached'.

Katanya, video tersebut mendapat tontonan lebih sejuta penonton berdasarkan statistik yang dilakukan laman sosial itu.

"Untuk makluman penyokong, ini jelas menunjukkan betapa populariti JDT kini berada di tahap jauh lebih tinggi berbanding pesaing yang lain," katanya.-mstar

Filled Under: