Tarif Elektrik Turun, Tambang Pengangkutan Awam Dikaji


Tarif elektrik untuk pengguna di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bakal dikurangkan antara 3.3 peratus hingga 5.9 peratus mulai Januari tahun depan.


Tarif Elektrik Turun, Tambang Pengangkutan Awam Dikaji

Berita gembira penurunan kadar tarif elektrik itu dijangka membabitkan pengguna industri dan isi rumah dalam usaha kerajaan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat yang kurang berkemampuan.

Tarif baharu elektrik tersebut dijangka berkuat kuasa selama enam bulan memandangkan pihak kerajaan turut perlu mengkaji semula kadar bil utiliti tersebut pada setiap setengah tahun

Portal berita tempatan AgendaDaily yang memetik satu sumber memberitahu, pengurangan tarif mungkin boleh dilakukan melalui konsep rebat Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

Selain itu, kejatuhan harga minyak dunia turut telah memberi kesan kepada harga semasa gas asli yang sering digunakan sebagai bahan untuk stesen penjanaan tenaga elektrik tempatan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili dijangka mengadakan sidang akhbar pengumuman mengenai tarif elektrik baharu di kementeriannya di Putrajaya.

Sementara itu, mesyuarat Menteri pada Jumaat lalu juga bersetuju supaya kenaikan harga tiket untuk Komuter, transit aliran ringan (LRT), Monorel dan Express Rail Link (ERL) dinilai semula.

Difahamkan sebahagian besar daripada anggota Kabinet telah menyuarakan bantahan mereka mengenai kenaikan tinggi harga tiket pengangkutan awam rel tersebut baru-baru ini.

“Jemaah menteri kemudian mengarahkan pihak terlibat agar mengkaji semula kenaikan harga tersebut dan menyerahkan laporan dalam mesyuarat yang seterusnya pula.

“Keputusan selanjutnya akan dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang akan datang,” kata sumber itu dipetik oleh AgendaDaily. – Agensi/Mynewshub

Filled Under: