Ballon d'Or 2015: Messi, Ronaldo Dan Neymar Bakal Bukti Siapa Terbaik


Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar disenarai pendek bagi pencalonan Anugerah Ballon d’Or 2015.

Ballon d'Or 2015: Messi, Ronaldo Dan Neymar Bakal Bukti Siapa Terbaik

Sebelum itu, seramai 23 orang pemain dicalonkan bagi bagi merebut anugerah yang dianjurkan oleh badan bola sepak dunia, FIFA dan majalah bola sepak Perancis, namun hanya tiga nama sahaja yang menjadi pilihan terakhir sebelum diumumkan sebagai pemenang.

Messi dan Ronaldo mencatat rekod lapan tahun berturut-turut disenarai pendek bagi anugerah pemain terbaik dunia yang akan diumumkan di Zurich pada 11 Januari ini.

Rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid, Gareth Bale menjadi pemain tunggal British yang tersenarai dalam 23 pencalonan ini.

Sementara itu, tiada wakil pemain dari Liga Perdana Inggeris yang berjaya berada dalam kelompok tiga terakhir walaupun Sergio Aguero, Kevin De Bruyne, Yaya Toure, Eden Hazard dan Alexis Sanchez berada dalam senarai penuh pencalonan.

Selain itu, Messi menjadi pemain pilihan untuk merangkul gelaran ini buat kali kelima selepas membantu Barcelona mencatat gelaran treble dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara, La Liga dan Copa del Rey.

Messi merangkul anugerah pemain terbaik ini bermula tahun 2009, 2010, 2011 dan 2012.

“Secara jujurnya, saya yakin Messi akan memenangi anugerah ini kerana ia berdasarkan kepada undian,” jelas Ronaldo sebelum ini.

“Kamu menang pertandingan, kamu menjuarai Liga Juara-Juara, menang liga berdasarkan kemahiran individual.

“Saya telah melakukan yang terbaik sepanjang musim, dan saya adalah penjaring terbanyak (Eropah), namun ia terpulang kepada undian.

“Ia sangat sukar dan secara jujurnya tidak terlalu bimbang dengan situasi itu kerana seperti yang pernah dikatakan sebelum ini, saya tidak pernah terfikir untuk menang anugerah ini sebanyak tiga kali”.

Ronaldo merangkul trofi terbaik sebanyak tiga kali termasuk dua kali berturut-turut 2014, 2013 dan 2008, namun dilihat agak sukar untuk mencatat gelaran ketiga berturut-turut selepas menamatkan musim lalu tanpa sebarang trofi.

Bagaimanapun Ronaldo merupakan penjaring terbanyak dalam semua perlawanan di Eropah  tahun ini, malah turut menjaringkan gol untuk Real Madrid dalam empat aksi terakhir Liga Juara-Juara.

Secara keseluruhannya, Ronaldo mencatat 48 gol dalam 51 perlawanan musim lalu, namun kelabnya gagal menjulang sebarang trofi.

Dalam pada itu, Neymar dianggap sebagai kunci kejayaan Barcelona malah merupakan penjaring terbanyak dalam aksi La Liga dengan 11 gol.

“Saya yakin layak berada dalam senarai tiga terakhir pencalonan berdasarkan aksi saya,” jelasnya ringkas.

Selain itu, pengurus Barcelona Luis Enrique dicalonkan untuk gelaran jurulatih terbaik bersama Pep Guardiola selaku pengendali Bayern Munich serta jurulatih Chile, Jorge Sampaoli yang membawa negaranya merangkul juara Copa Amerika buat kali pertama dengan menewaskan Argentina melalui penentuan sepakan penalti pada Julai lalu.-mstar

Filled Under: