KLCC Kecoh Bila Beg Pakaian Disangka Bom


Pengunjung Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur ataupun lebih dikenali sebagai KLCC pada Sabtu, gempar dengan penemuan tiga beg hitam yang dipercayai mengandungi bom.


KLCC Kecoh Bila Beg Pakaian Disangka Bom

Beg tersebut yang diletakkan di ruang pintu masuk utama bangunan pusat beli-belah terkenal di ibu negara itu dilaporkan dijumpai kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Susulan itu, sepasukan polis bersama Unit Pemusnah Bom (UPB) dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat daripada pihak pengurusan KLCC.

Anggota UPB yang lengkap berpakaian kalis letupan dilihat memeriksa beg berkenaan serta melakukan prosedur membabit tekanan bunyi kuat seperti letupan.

Pasukan khas itu bagaimanapun dilihat beredar keluar meninggalkan kawasan tersebut dengan membawa beg berkenaan kira-kira pukul 2.30 petang Sabtu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad mengesahkan objek yang ditemui di beg hitam itu hanyalah berisi pakaian.

“Bagaimanapun, selepas membuat pemeriksaan, kami mendapati beg berkenaan hanya berisi pakaian yang mungkin ditinggalkan.

“Kawasan sekitarnya juga sudah diperiksa dan kini selamat untuk digunakan dan dilalui orang awam,” katanya seperti yang dipetik di Harian Metro.

KLCC pernah digemparkan dengan panggilan bom pada 12 September 2001 yang menyebabkan kesemua petugas di menara itu diarahkan keluar sebelum kemudian disahkan palsu.

Insiden yang turut mendapat liputan luas media antarabangsa itu berlaku sehari selepas peristiwa serangan pengganas ke atas Amerika Syarikat.-mynewshub

Filled Under: