Radamel Falcao beri bayangan tinggalkan MU


Penyerang Manchester United, Radamel Falcao memberi bayangan dia mungkin meninggalkan kelab gergasi Inggeris itu penghujung musim ini untuk mencari lebih peluang beraksi di atas padang.


Radamel Falcao beri bayangan tinggalkan MU, info sukan, bola sepak, radamel falcao, Manchester united

Begitupun, pemain yang dipinjam dari kelab Monaco itu berkata, dia masih komited bersama skuad bimbingan Louis van Gaal itu.

Peledak utama Colombia itu terlepas aksi Piala Dunia di Brazil, tahun lepas akibat kecederaan lutut dan kehadirannya ke Old Trafford dilihat tidak membantu meningkatkan kariernya selepas banyak menghabiskan masa di bangku simpanan.

"Saya fikir semua pemain bola sepak perlu bermain dan gembira untuk bermain. Saya komited 100 peratus dengan kelab, masih ada lapan perlawanan yang perlu diharungi (Liga Perdana Inggeris) dan apa saja boleh berlaku," kata Falcao kepada stesen radio Colombia, Radio Caracol.


"Jadi selepas kejuaraan berakhir, saya pasti akan menilai kembali, melakukan analisis dan memutuskan apa yang terbaik buat saya," kata pemain berusia 29 tahun itu yang cukup prolifik ketika beraksi bersama Porto, Atletico Madrid dan Monaco sebelum berdepan kecederaan ligamen lutut 14 bulan lalu.

"Jelas saya perlu mencari tempat di mana saya berpeluang terus bermain dan boleh bermain."

Falcao ketika ini berada di Bahrain bagi mengharungi perlawanan persahabatan menjelang Copa America.

Selain itu, Colombia juga dijadual menentang Kuwait pada Isnin.

Falcao dalam pada itu berkata dia menghormati penuh keputusan Van Gaal dan masih memiliki 'kepercayaan dan harapan' segala-galanya akan berubah buatnya di United sebelum musim ini berakhir.

Begitupun katanya, beberapa kelab gergasi lain sudah pun menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya.

"Panggilan datang setiap hari, jadi dengan itu saya perlu kekal bertenang, namun saya kekal berhubung dengan mereka, orang yang sentiasa berurusan dengan situasi ini," katanya mengenai laporan media yang mengaitkannya dengan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris lain.

"Saya berhutang kepada Manchester United ketika ini, saya masih percaya dan berharap kerana banyak perkara boleh berlaku dalam baki perlawanan selepas ini," kata Falcao yang mengakui sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan sejak menjalani pembedahan lutut, Januari tahun lepas.

"Saya akan terus bertarung sehingga penamat di Manchester United," katanya. - Reuters


Sumber : bharian

Filled Under: