Puntung rokok terbuang jadi batu bata


Puntung sampah bagi kebanyakan orang, tetapi penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memanfaatkannya sebagai bahan bagi penghasilan batu bata lebih ringan serta menjimatkan.


Puntung rokok terbuang jadi batu bata, info, terkini, berita, teknologi,

  Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam dan AlamSekitar UTHM, Prof Madya Dr Aeslina Abdul Kadir, berkata komposisi serat mikro, yang terkandung dalam puntung  rokok mempunyai ciri penebat haba yang baik dan mengukuhkan daya ikatan tanah.

  Katanya, ciri itu membantu mengurangkan penggunaan tenaga dalam penghasilan batu bata serta mengelak ia mudah retak sebelum proses pembakaran.

  "Kajian di Amerika Syarikat mendapati, pembuangan puntung rokok dijangka meningkat sebanyak 50 peratus pada tahun 2025, sejajar peningkatan  populasi secara global.


Puntung rokok terbuang jadi batu bata, info, terkini, berita, teknologi,

"Daripada terus membiarkan bahan kimia toksik dalam bahan buangan ini menjejaskan alam sekitar, kami manfaatkan komposisi serat mikro pada puntung rokok untuk menghasilkan batu bata pada kos lebih rendah.

  "Batu bata dengan campuran puntung rokok sebagai bahan asas turut melepasi ujian piawaian termasuk aspek daya tahan struktur, haba dan air, sekali gus membuktikan ia selamat untuk digunakan dalam industri pembinaan," katanya.

  Antara lain, hasil kajian menunjukkan hasil larut lesap logam berat daripada batu-bata itu adalah mematuhi piawaian United States Environmental Protection Agency (USEPA) dan Environmental Protection Agency Victoria (EPAV).

  Ujian makmal turut mengesahkan ia mematuhi Kod Amalan Industri bagi Kualiti Udara Dalaman (ICOP-IAQ) Malaysia.

Puntung rokok terbuang jadi batu bata, info, terkini, berita, teknologi,

  Aeslina berkata, proses penghasilannya adalah sama dengan batu bata berasaskan tanah liat iaitu membabitkan adunan dalam mesin pembancuh, pengeringan dan pembakaran.

  Bagaimanapun, katanya, langkah tambahan perlu dilaksanakan pada peringkat permulaan iaitu proses pembasmian kuman puntung rokok sebelum ia dicampur dengan tanah liat.

  Beliau berkata, batu bata itu berpotensi digunakan untuk pembinaan rumah kos rendah dan landskap sebagai alternatif lestari kepada penggunaan batu bata konvensional.

  "Inovasi ini berpotensi dimanfaatkan di dalam dan luar negara, malah beberapa syarikat menunjukkan minat mengkomersialkannya, malangnya tiada sistem yang sistematik untuk pengumpulan sisa puntung rokok di negara ini.

  "Beberapa negara luar terutama Australia lebih mudah mendapatkan bahan bagi pengeluaran batu bata ini kerana ia dibuang ke dalam bekas khas yang disediakan berbanding di negara ini yang kebanyakannya membuang puntung rokok merata-rata," katanya.


Puntung rokok terbuang jadi batu bata, info, terkini, berita, teknologi,

Aeslina menjalankan penyelidikan itu semasa mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) Australia, di bawah penyeliaan Dr Abbas Mohajerani.

  Selain memanfaat kemudahan penyelidikan RMIT, beliau turut mendapat kerjasama ButtOut Australia Pty Ltd dan Boral Bricks Pty Ltd yang membekal puntung rokok serta tanah liat untuk projek kajiannya.

  Projek penyelidikan itu kini dilanjutkan oleh pelajar sarjana seliaannya, Noor Amira Sarani.

  Skop kajian diperluas merangkumi penghasilan batu bata menggunakan sisa buangan lain termasuk enap cemar mozek, enap cemar besi, polisterina, kaca, abu terbang, abu dasar, sisa kopi, sisa tebu, sekam padi dan sisa kelapa sawit.

Puntung rokok terbuang jadi batu bata, info, terkini, berita, teknologi,

INFO

Ciri unik batu bata berasaskan campuran puntung rokok

- Lebih ringan berbanding batu bata berasaskan tanah liat saja.

- Menjimatkan penggunaan tenaga dalam proses penghasilan kerana mengandungi serat mikro yang berfungsi sebagai penebat haba yang baik.

- Tidak mudah retak selepas proses pembakaran kerana mengandungi serat mikro yang mengukuhkan daya ikatan bahan tanah.


Puntung rokok terbuang jadi batu bata, info, terkini, berita, teknologi,

Sumber : bharian

Filled Under: