Penduduk Kampung Teluk Likas di sini, dikejutkan dengan penemuan seekor ikan lumba-lumba terapung di tebing Pantai Teluk Likas, pagi tadi. Berikutan itu, penduduk telah menghubungi Jabatan hidupan Liar Sabah (JHLS) bagi membantu menyelamatkan haiwan berkenaan. Pengarah JHLS, William Baya berkata, operasi menyelamat spesies mamalia berukuran tiga meter panjang itu serta merta dilakukan sejurus selepas pihaknya dimaklumkan oleh penduduk kampung berkenaan, kira-kira pukul 9 pagi.
“Ikan lumba-lumba tersebut kini dirawat dan dijaga rapi di tempat khas dan kemungkinan akan dipindahkan ke BMRI (Institut Penyelidikan Marin Borneo Universiti Malaysia Sabah) untuk rawatan dan penjagaan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini. William berkata, pihaknya menghantar Unit Penyelamat Hidupan Liar ke kawasan itu termasuk pegawai veteriner dengan kerjasama pasukan dari BMRI UMS.
Sementara itu, Timbalan Pengarah merangkap Veteriner Hidupan Liar JHLS, Dr. Sen Nathan berkata, ia merupakan ikan lumba-lumba itu jenis Risso Dolphin dan keadaannya haiwan tersebut sangat lemah kerana tidak makan dan terdapat luka pada bahagian badannya. “Pasukan veteriner kami yang diketuai oleh Dr. Sandy Ling bersama pakar BMRI UMS sedang mencuba untuk menyelamatkan dan merawatnya. Lebih 90 peratus ikan lumba-lumba yang mengalami nasib seperti ini jarang dapat diselamatkan meskipun mendapat penjagaan rapi,” ujarnya. – oleh Sitti Nor Aizzah Talata / SayangSabah