Muhammad Daniel Raih 10A+ Dalam SPM Di Sekolah Aliran Cina


Belajar di sekolah aliran Cina di sini tidak menghalang Muhammad Daniel Idrus untuk muncul sebagai salah seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 dengan meraih 10A+.



Anak sulung dari enam beradik berusia 18 tahun itu berkata sebaliknya keadaan tersebut menjadi motivasi kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Cina Melaka itu mengambil 12 mata pelajaran dalam SPM lepas, dan keputusan 10 A+ itu adalah bagi subjek Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Tasawwur Islam dan Kesusasteraan Cina.

Bagi dua mata pelajaran selebihnya, Muhammad Daniel meraih A dan B masing-masing untuk Bahasa Melayu dan Bahasa Cina.

“Saya tidak berasa terasing walaupun berada dalam kelompok minoriti (pelajar Melayu), sebaliknya ia menjadi kekuatan buat saya untuk berjaya lebih lebih lagi kehadiran saya di sekolah ini diterima baik oleh guru dan rakan-rakan.

“Yang penting adalah kesungguhan untuk menimba ilmu dan tidak malu bertanya serta dapat menyesuaikan diri,” kata pengawas perpustakaan sekolah itu yang bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang perkapalan.

Muhammad Daniel berkata dia tidak menghadapi kesukaran dalam pembelajarannya, kerana guru-gurunya bersedia mengajar dalam dwi bahasa bagi memudahkannya memahami maksud dan penggunaan ayat serta perkataan yang dipelajari terutama subjek Bahasa Cina dan Kesusasteraan Cina.

Pelajar itu berkata pergaulan dengan rakan kaum Cina di sekolah membantunya meningkatkan pemahaman dan komunikasi dalam bahasa tersebut.

“Saya berasa amat bertuah kerana bukan sahaja mendapat keputusan cemerlang tetapi juga dapat mempelajari satu lagi bahasa yang amat penting sekarang,” katanya.

Ia berkata, tumpuan penuh amat penting ketika di dalam kelas terutama kepadanya yang tidak mengambil tuisyen untuk semua subjek yang didudukinya dalam SPM.

Bapanya, Idrus Md Zin, 42, berkata keputusan menghantar Muhammad Daniel serta tiga lagi anak lelakinya ke sekolah Cina juga bertujuan membantu mereka meningkatkan komunikasi dalam bahasa ketiga, selain Bahasa Melayu dan Inggeris.

“Bahasa Cina antara bahasa yang amat penting terutama ekonomi kita sekarang dikuasai kaum Cina dan ia satu kelebihan kepada Daniel pada masa hadapan,” kata Idrus, seorang peniaga.

Beliau menjalankan perniagaan penghantaran makanan ke rumah yang diusahakan bersama isteri, Suhani Maarof, 42. – BERNAMA

Filled Under: