Man City Semakin Hampir Dapatkan Penyerang Jerman

Penyerang Schalke berusia 20 tahun dan Manchester City mencapai persetujuan mengenai terma kontrak yang akan membawa pemain tersebut ke Liga Perdana Inggeris.


Man City Semakin Hampir Dapatkan Penyerang Jerman

Akhbar Jerman, Bild melaporkan, City setakat ini belum melakukan bidaan untuk mendapatkan Leroy Sane namun sedia menawarkan sebanyak £46 juta.

Harga tersebut dikatakan mampu memenuhi hasrat Pengarah Schalke, Heidel yang mahukan sekurang-kurangnya £40 juta untuk pemain Jerman berusia 20 tahun itu.

Bagaimanapun jika Schalke mengekalkan pemain berkenaan sehingga musim depan, Sane dapat menebus kontraknya pada nilai £31.3 juta sahaja.

Sane yang sedang bercuti di Los Angeles selepas Euro didakwa memberitahu rakannya bahawa wakil City telah memuat perbincangan mengenai perpindahan berkenaan.

Berikutan itu, Sane turut mendakwa telah bersedia untuk meninggalkan Schalke bagi berada di bawah kendalian Pep Guardiola di City.-mstar

Gerai Diserbu Gara-Gara Makanan RM1

Sejak tersebarnya kisah makanan di sini dijual pada harga RM1 di media sosial, beratus bungkus makanan yang dijual di gerai OK Boss habis dijual dalam masa tiga jam.


Gerai Diserbu Gara-Gara Makanan RM1

'Tarzan' atau nama sebenarnya Lim Chin Aun, 29, berkata gerainya, yang beroperasi di rumah keluarganya di Lorong Sungai Dua, di sini, dibuka pada 8 Julai dan perniagaannya menunjukkan perkembangan yang baik.

"Hari ini, kami buka perniagaan pada pukul 6 pagi dan pukul 9 pagi semua makanan habis dijual.

"Saya benar-benar gembira konsep ini telah diterima dengan baik," katanya, Rabu.

"Pada masa ini, kami menjual 300 bungkus nasi lemak klasik, 150 bungkus nasi lemak kimchi, 200 bungkus bihun goreng tomyam dan 200 pek sandwich sardin dan telur mayonis setiap hari, semuanya pada harga RM1 setiap satu."

Gerai Diserbu Gara-Gara Makanan RM1

Gerai itu juga menjual set telur dan roti bakar, agar-agar sebagai pencuci mulut dan minuman seperti Milo, kopi dan minuman ringan pada harga yang sama.

Chin Aun, yang juga memiliki sebuah studio tarian dan bekerja sebagai jurujual kereta berkata, dia dan adiknya Chin Khang, 26, yang berkerja sebagai akauntan mendapat idea ini beberapa bulan lalu.

"Ekonomi sekarang tidak baik dan harga makanan semakin meningkat. Kami mahu melawan trend itu dan menunjukkan bahawa anda boleh menyediakan makanan yang lazat pada harga berpatutan.

"Ia juga merupakan cara untuk kami membantu pelajar dan mereka yang keluar bekerja pada awal pagi untuk mengisi perut mereka dengan sarapan yang baik dan harga berpatutan.

"Abang saya dan saya bangun seawal jam 2.30 pagi untuk menyediakan makanan tetapi saya gembira dan puas hati apabila melihat sambutan yang baik. Pengorbanan itu amat berbaloi," katanya.

Gerai Diserbu Gara-Gara Makanan RM1

Chin Aun berkata beliau bergilir-gilir dengan Chin Khang untuk mengendalikan gerai kerana kedua-duanya berkerja sepenuh masa manakala bapa mereka, Ewe Huat, 59, akan membantu mengikut kelapangan masanya.

"Kami berharap untuk memperbanyakkan menu dan jenis makanan untuk pelanggan kami.

"Kami juga mempunyai pelanggan yang membeli secara pukal kerana makanan kami dijual dalam paket kecil yang mudah untuk diedarkan," katanya.

Beliau berkata mereka juga pesanan awal daripada pelanggan.

Siswazah Universiti Sains Malaysia, Jackson Yew berkata makanan RM1 mengingatkannya kepada zaman kanak-kanak apabila makanan di kantin sekolahnya dijual pada harga yang sama.

Gerai OK Boss dibuka setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 2 petang.-mstar

Biarkan Bayi Anda Hisap Jari, Gigit Kuku

Bayi yang suka menghisap ibu jari atau menggigit kukunya dikatakan kurang berisiko mengalami alahan ketika melalui proses pembesaran, menurut satu kajian yang dijalankan di New Zealand.


Biarkan Bayi Anda Hisap Jari, Gigit Kuku

Kajian tersebut menyokong teori bahawa seseorang itu kurang berisiko untuk mengalami alahan jika didedahkan dengan organisme mikrob sejak kanak-kanak, menurut saintis Universiti Otago yang menjalankan kajian itu.

Kajian yang diterbitkan di jurnal Amerika Syarikat, Pediatrics itu membentangkan rekod yang dicatat dalam kalangan kanak-kanak berusia lima, tujuh, sembilan dan 11 tahun memiliki tabiat menghisap jari dan menggigit kuku.

Kajian itu juga dibuktikan apabila mereka membuat penyelidikan susulan menerusi kulit respondan yang berusia 13 hingga 32 tahun.

Hasilnya, 49 peratus daripada mereka yang yang tidak menghisap ibu jari atau menggigit kuku didapati positif bagi sekurang-kurangnya satu alahan.

Kadar alahan juga jatuh kepada 31 peratus bagi kanak-kanak yang mengamalkan kedua-dua tabiat itu.

Menurut pengkaji utama kajian tersebut Bob Hancox, tabiat tersebut berjaya mengurangkan risiko terkena alahan tetapi masih tiada bukti menunjukkan ia mengurangkan penyakit yang berkaitan dengan alahan. – MYNEWSHUB

Empat Maut Ditembak Di Kilang Ayam

Empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut ditembak ketika sedang tidur di dalam kawasan kilang memproses ayam di Batu Maung dekat sini Rabu.


Empat Maut Ditembak Di Kilang Ayam

Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai insiden itu kira-kira pukul 2.55 pagi bahawa seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai berada di bawah pengaruh dadah meluru masuk ke dalam kawasan kilang ketika semua mangsa sedang tidur dan melepaskan tembakan ke arah mereka.

Mereka yang maut dikenal pasti sebagai Tan Hock Choon, 50, dan pasangannya Tan Saw Sim, 55, serta Chung Wah Tong berumur dalam lingkungan 27 ke 30 tahun dan anak perempuannya berumur dua tahun yang hanya dikenali sebagai Ah Bee.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Razaruddin Husain, berkata siasatan awal mendapat suspek mengamuk kerana gagal mendapatkan wang untuk membeli dadah.

"Kesemua mangsa ditembak menggunakan pistol semi automatik yang dipercayai diperoleh secara haram dan polis menemui beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian," katanya.


Empat Maut Ditembak Di Kilang Ayam


Razaruddin berkata Toh dan Tan didapati tidak berkahwin secara sah tetapi telah lama tinggal bersama.

"Polis percaya keluarga si mati mempunyai sedikit masalah dengan suspek dan sering kali bergaduh," katanya.

Seorang pekerja kilang yang hanya ingin dikenali sebagai Chen berkata lelaki terbabit sering datang ke kilang itu meminta wang daripada Tan dan Chung yang mengusahakan kilang berkenaan.

Lim Chee Leong, 53, yang tinggal berhampiran kilang itu berkata beliau tersedar awal pagi Rabu apabila terdengar bunyi tembakan dan pada mulanya menyangkanya kejadian rompakan.

"Saya hanya tahu ia kes pembunuhan apabila polis dan orang ramai mula berkumpul di kawasan itu," katanya.

Keempat-empat mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan sebuah Toyota Hilux yang juga milik pemilik kilang itu dengan nombor pendaftaran PLJ 7392.

Sehubungan itu, polis kini memburu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang melarikan diri itu membantu siasatan kes.-mstar

SPAD Gantung Lesen, Permit Bas Qistina Express

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung lesen dan 26 permit bas milik Qistina Express Sdn Bhd susulan kemalangan membabitkan bas tersebut di Kilometer (KM) 265.8 Lebuhraya Utara-Selatan selepas Terowong Menora pada 10 Julai lalu.

SPAD Gantung Lesen, Permit Bas Qistina Express

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata tindakan tegas itu diambil selepas mendapati syarikat tersebut melanggar syarat-syarat keselamatan mandatori berdasarkan laporan audit SPAD pada 12 Julai lalu.

"Tindakan ini diambil sementara menunggu hasil siasatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) mengenai kemalangan membabitkan bas ekspres itu yang sedang dijalankan," katanya.

Menurut Mohd Azharuddin, SPAD percaya tindakan penggantungan lesen dan permit Qistina Express diharap akan menjadi pengajaran kepada pengendali bas ekspres lain supaya mematuhi Kod Amalan Industri (ICOP) suruhanjaya itu pada setiap masa.

"SPAD ingin sekali lagi menegaskan bahawa suruhanjaya ini memandang serius pematuhan keselamatan mandatori oleh pengusaha bas ekspres," katanya.

Beliau berkata SPAD turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pihaknya akan terus bekerjamsama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan pengusaha bas ekspress supaya mengutamakan keselamatan penumpang.

"SPAD akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan kenderaan mereka beroperasi dalam keadaan baik dan mematuhi segala peraturan lalu lintas dan keselamatan jalan raya," katanya.

Pada 10 Julai lalu, dua cedera selepas kereta yang mereka naiki dirempuh bas ekspres yang turut merempuh sembilan kenderaan lain di Kilometer (KM) 265.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, bas ekspres itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh 10 kereta yang ada di depannya.

Semasa kemalangan, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan menuju ke selatan dan membawa 28 penumpang.-mstar

Umtiti Ikat Kontrak Lima Tahun Bersama Barcelona

Samuel Umtiti akhirnya bertukar haluan dari  Lyon ke Barcelona dengan kontrak lima tahun bersama kelab juara Liga Sepanyol itu.


Umtiti Ikat Kontrak Lima Tahun Bersama Barcelona

Barcelona mengikat pemain pertahanan Perancis berusia 22 tahun itu dengan nilai perpindahan 21 juta pound.

Umtiti sebelum ini berada bersama pasukan Perancis dalam aksi Euro 2016 yang turut bermain ketika aksi menang ke atas Jerman dalam saingan separuh akhir serta final tewas kepada Portugal.

Umtiti Ikat Kontrak Lima Tahun Bersama Barcelona

Dia mencatat kap pertama antarabangsa ketika Perancis mencatat kemenangan 5-2 ke atas Iceland dalam aksi suku akhir.

Selain itu, Barca turut menyediakan klausa pelepasan bernilai 50 juta pound sekiranya ada kelab lain yang menaruh minat kepada pemain Perancis ini sekaligus menjadikan Umtiti antara pemain berharga.-mstar

Mourinho Akan Bawa Fabregas Ke Man United

Jose Mourinho sedia menjadikan Cesc Fabregas sebagai pemain tengah baharu Manchester United sebelum Liga Perdana Inggeris musim ini bermula.

Mourinho Akan Bawa Fabregas Ke Man United

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Portugal itu sedang menunggu keputusan pengendali baru Chelsea sama ada akan mengekalkan Fabregas atau tidak.

Conte ketika ini dikatakan sedang berusaha membawa masuk pemain Roma, Radja Nainggolan, Jao Mario (Sporting Lisbon) dan Andre Gomes (Valencia) sebagai pemain tengah.

Kehadiran pemain-pemain berkenaan yang diyakini dapat membentuk barisan pemain tengah lebih baik dan ianya akan membuatkan Fabregas tidak diperlukan lagi.

Fabregas yang menyertai Chelsea dari Barcelona dengan yuran perpindahan sebanyak £27 juta tidak menjadi pilihan untuk kekal kerana kurang kreatif serta gagal membantu kelab tersebut pada musim lalu.

Pemain Sepanyol itu juga dilapor mempunyai hubungan rapat dengan Mourinho.

Jika Fabregas berhijrah ke United bermakna dia telah mewakili tiga daripada kelab gergasi di Liga Perdana Inggeris selepas Chelsea dan Arsenal.-mstar

Rayani Air Akan Kembali Beroperasi?

Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran membayangkan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu akan kembali beroperasi.


Rayani Air Akan Kembali Beroperasi?

Malah menurut sumber kepada mStar Online, Ravi masih boleh mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dengan membuat permohonan bagi mendapatkan lesen itu.

Ravi berkata, beliau kini dalam perancangan untuk menyusun barisan pengurusan baharu selain mendapatkan pelabur yang berpotensi.

Jelas Ravi, pengurusan tersebut akan melibatkan 'orang baharu' termasuk kakitangan sedia ada, masing-masing mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang penerbangan.

Ravi mendakwa, sebahagian daripada pekerja Rayani Air juga akan kembali berkhidmat menerusi pengurusan baharu yang akan dikendalikan pihak pelabur.

"Saya kini dalam perancangan untuk menyusun pengurusan syarikat yang lebih baik, dan akan dikendalikan pelabur berpotensi nanti.

"Saya bersedia untuk 'menghidupkan' semula Rayani Air. Saya akan mendapatkan ASL bagi membolehkan Rayani Air kembali beroperasi. Saya sedang usahakan," katanya kepada mStar Online.

Ravi bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tempoh kerana katanya, usaha untuk mendapatkan ASL sedang dilaksanakan.

Pada 13 Jun lalu, Mavcom membuat keputusan membatalkan ASL milik Rayani Air kerana telah melanggar syarat-syarat lesen berkenaan selain kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Ia diikuti pembatalan Sijil Pengendali Udara (AOC) oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada hari sama.

Pada 2 Julai lalu, mStar Online melaporkan keputusan Mavcom membatalkan ASL milik Rayani Air adalah muktamad dan pembatalan itu tidak boleh dibuat rayuan.

Ini bermakna syarikat penerbangan itu perlu membuat permohonan semula untuk mendapatkan lesen baharu, bagi membenarkannya beroperasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Mengenai pelabur, Ravi mendakwa terdapat beberapa pihak yang masih berminat untuk menyuntik dana dan menerajui pengurusan baharu.

Ditanya adakah permohonan baharu ASL akan dibuat, Ravi hanya berkata: "Apa yang penting sekarang adalah saya perlu memastikan Rayani Air kembali beroperasi. Syarikat penerbangan ini akan terus menyediakan perkhidmatan, isu tunggakan gaji dan bayaran balik tambang dapat diselesaikan."

Sehubungan itu, beliau berharap rancangan itu dapat dipermudahkan dengan kerjasama semua pihak terutama kerajaan dan Mavcom.

"Saya juga perlu mendapatkan sokongan dan kerjasama daripada pekerja, pelanggan termasuk NGO (badan bukan kerajaan)," ujar Ravi.

Jumaat lalu, mStar Online melaporkan Ravi memohon maaf kepada semua pelanggan dan pekerjanya kerana gagal melunaskan tunggakan gaji serta membuat bayaran balik tiket sebelum Aidilfitri, seperti yang dijanjikan.

Ravi berkata, penarikan balik lesen-lesen milik Rayani Air dibuat ketika urusan memuktamadkan pelaburan ke dalam syarikat penerbangan itu, sehingga mengakibatkan tiada pelabur yang mahu memberi kerjasama.

Rayani Air menerima kedua-dua ASL dan AOC daripada DCA sebelum memulakan penerbangan sulung pada 20 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, ASL yang membolehkan pemegang lesen tersebut untuk menjalankan perkhidmatan penerbangan berjadual, seperti penerbangan komersial berjadual, kini di bawah tanggungjawab Mavcom, yang baharu ditubuhkan pada 1 Mac 2016.

Pada Isnin, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyifatkan tindakan Mavcom membatalkan ASL milik Rayani Air sebagai 'tergesa-gesa'.-mstar

Yuna Tak Sangka Diiktiraf Artis Malaysia Paling Berjaya

Penyanyi Yuna tidak menyangka The Malaysia Book of Records mengikuti perkembangan karier seninya di Amerika Syarikat sehingga badan penilai itu mengiktiraf album terbaharunya berjudul Chapters yang dilancarkan pada Mei lalu.

Yuna Tak Sangka Diiktiraf Artis Malaysia Paling Berjaya

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 30, berkata, pengiktirafan itu diberikan kepadanya sebagai artis Malaysia pertama yang berjaya menembusi kedudukan 10 teratas dalam carta Billboard menerusi kategori Album R&B.

Untuk rekod, antara artis lain yang turut tersenarai dalam carta sama ialah Beyonce (Lemonade), Rihanna (Anti) dan The Weeknd (Beauty Behind The Madness).

"Saya langsung tidak menyangka akan diberi pengiktirafan besar seperti ini kerana ingatkan ia satu gurauan pada awalnya.

"Meskipun saya jauh di perantauan masih ada yang mengambil berat dan pengiktirafan ini adalah semangat untuk saya meneruskan perjalanan karier di Amerika," katanya kepada mStar Online.

Yuna ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Mitsubishi yang diadakan di Bangsar di sini, Selasa.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Crush itu juga adalah duta model ASX jenama kenderaan itu.

The Malaysia Book of Records menerusi Pengarah Operasinya, Christopher Hw Wong menyampaikan plak pengiktirafan itu pada sebuah majlis yang diadakan pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, Yuna berkata, dia bersyukur penerimaan album terbaharunya cukup baik oleh peminat malah duet bersama bintang R&B, Usher membuka ruang lebih besar untuknya dikenali di Amerika Syarikat.

Malah kata Yuna, dia bakal memulakan konsert jelajah siri kedua di beberapa buah negeri selatan Amerika selain Eropah bermula September ini bagi mempromosikan album berkenaan.

Yuna Tak Sangka Diiktiraf Artis Malaysia Paling Berjaya

"Duet bersama Usher banyak membuka peluang lebih besar untuk saya dan syukur lagu duet kami sering diputarkan di stesen radio di Amerika.

"Ia satu pencapaian membanggakan untuk saya apabila dapat mendengar lagu sendiri diputarkan di radio.

"Insya-Allah saya akan teruskan konsert jelajah di Amerika selain bakal ke Eropah pada September untuk persembahan di London, Paris, Berlin dan Belanda," ujarnya.

Tambah Yuna, dia ada merancang untuk mengadakan konsert di Asia namun ia masih di peringkat perbincangan bersama syarikat pengurusannya namun berharap ia akan menjadi kenyataan.

"Masalah untuk mengadakan konsert di Asia adalah ia melibatkan kos yang tinggi kerana Asia terlalu jauh dari Amerika.

"Insya-Allah jika ada rezeki suatu hari nanti perancangan itu pasti akan terlaksana," ujarnya.-mstar

Video Gelek Jadi Hinaan, Kazar Sudah Puas Nasihat Anak

Pelakon Kazar Saisi berkata, dia sudah penat menasihati anaknya Ira Kazar, 21, agar menjaga tingkah laku sehinggalah video wanita itu menari gelek dengan aksi keterlaluan menjadi viral.

Video Gelek Jadi Hinaan, Kazar Sudah Puas Nasihat Anak

Kazar atau nama sebenarnya Kazaruddin Saisi, 57, berkata, kecaman yang diterima  Ira sedikit-sebanyak menjadi pengajaran agar dia lebih berhati-hati pada masa hadapan.

"Dah penat nasihat tapi biasalah jika tidak kena, dia tidak mahu dengar (nasihat). Sekarang dia sendiri sudah belajar dan menerima kesan atas tindakannya itu.

"Tapi saya anggap itu perkara biasa bagi seseorang yang sedang memalui zaman remajanya, saya tidak marah dia kerana kalau saya marah dia akan lebih tertekan dan lari rumah pula nanti," ujarnya kepada mStar Online.

Kazar dihubungi untuk menjelaskan berkenaan video anaknya Ira Kazar atau nama sebenarnya Fadira Fatini Kazar menjadi hangat di Internet pada Ahad lalu apabila dia merakamkan aksi gelek dengan gaya seksi berlatarkan lagu berjudul One Dance nyanyian Drake.

Video tersebut turut menjadikan nama Ira Kazar trending di Twitter dengan kritikan dan hinaan.


Tambah Kazar apa yang dilakukan oleh anaknya itu bukanlah sesuatu perkara yang boleh memalukan keluarga sebaliknya tindakan nakal seseorang remaja yang sedang membesar.

"Apa yang dilakukan itu bukanlah terlalu teruk sehingga memalukan keluarga, perangai nakal remaja saya dahulu lebih teruk dari itu cuma zaman kami tiada media sosial sahaja," ujarnya.


Dalam pada itu, Kazar meminta agar masyarakat tidak terus menghukum anaknya atas perbuatan dia yang tidak berfikir panjang sebaliknya meminta agar diberi peluang untuk menjadi manusia yang lebih baik pada masa hadapan.

"Saya harap orang ramai juga tidak terus menghentamnya di laman sosial, dia seperti manusia lain yang tidak lari daripada kesilapan," ujarnya.

Sementara itu, Kazar yang menggunakan akaun peribadi @kazar35 berkata dia juga tidak berhasrat untuk menutup akaun Instagram peribadinya disebabkan kejadian itu.

Namun dia akan lebih memilih untuk membenarkan pengikut-pengikut yang ikhlas mengenalinya sahaja berbanding bertujuan mengecam dia dan keluarganya.-mstar