Ibrahimovic Sah Jadi Pemain Baharu Mourinho

Zlatan Ibrahimovic memberitahu bahawa dia sedia untuk mencipta lebih banyak kenangan indah di England  sebaik sahaja Manchester United mengesahkan kehadiran pemain tersebut.

Ibrahimovic Sah Jadi Pemain Baharu Mourinho

Pemain berusia 34 tahun itu menjadi pemain kedua di bawah pengurusan baharu Jose Mourinho pada Jumaat dan mengakui dia amat teruja untuk menyertai United.

Sementara itu, Mourinho yang pernah bekerjasama dengan penyerang itu ketika menguruskan Inter Milan berkata, pemain terbaharunya itu tidak perlu diperkenalkan, dan menambah: "Statistik 'bercakap' untuk mereka.'

Ibrahimovic yang gembira dengan peluang yang ditawarkan telah menandatangani kontrak perjanjian selama setahun di Old Trafford bernilai 200,000 pound  (RM1,064,366 juta) seminggu.

"Saya sangat gembira dapat menyertai Manchester United dan bersedia untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana," jelasnya.

"Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Jose Mourinho sekali lagi. Beliau  seorang pengurus yang menakjubkan dan saya sedia berdepan dengan cabaran baharu yang menarik nanti.

"Setakat ini saya  berpuas hati dengan karier saya bersama kenangan yang hebat. Kini saya mahu  mencipta lebih banyak kenangan indah di England, "jelas Ibrahimovic.

Dalam pada itu, Mourinho yakin Ibrahimovic boleh membawa United melakukan sesuatu yang hebat musim depan dan menganggapnya sebagai  salah seorang pemain terbaik.

"Ibra adalah salah seorang penyerang terbaik dunia dan dia sentiasa memberi aksi seratus peratus.

"Dia telah memenangi banyak kejuaraan liga kejuaraan dan kini berpeluang bermain dengan liga terbaik dunia malah saya yakin dia akan menggunakan peluang ini dengan bekerja keras membantu pasukan meraih gelaran.

"Saya juga yakin dengan bakatnya yang ada, dia akan memberi kegembiraan kepada penyokong-penyokong di Old Trafford musim depan dan pengalamannya bakal berguna untuk membantu peningkatan pemain-pemain muda dalam skuad ini.

Selain itu, Manchester United membuat pengesahan tersebut menerusi akaun Twitter rasmi kelab dengan menyiarkan rakaman video dengan kapsyen: "Are you ready? It's #ZlatanTime.'

Rakaman tersebut menunjukkan penyerang itu berada dalam suasana gelap sebelum berjalan menuju ke arah lebih terang sekaligus menampakkan dirinya sambil tersenyum.

Ibra yang telah membuat keputusan bersara dari aksi antarabangsa selepas Sweden tersingkir dalam saingan kalah mati 16 pasukan Euro 2016  minggu lalu sememangnya merancang untuk ke Old Trafford apabila tidak menyambung kontraknya bersama Paris Saint-Germain selepas mengetahui Mourinho bakal menguruskan United.



FAKTA KARIER ZLATAN IBRAHIMOVIC:

Tarikh lahir : October 3, 1981 ( 34)

Kelab:

1999-01 Malmo –  47 perlawanan, 18 gol

2001-04 Ajax –  110 perlawanan, 48 gol

2004-06 Juventus – 92 perlawanan,  26 gol

2006-09 Inter Milan – 117 perlawanan, 66 gol

2009-10 Barcelona – 46 perlawanan, 22 gol

2010-12 AC Milan –  85 perlawanan, 56 gol

2012-16 PSG – 180 perlawanan, 156 gol

2001-16 Sweden –  116 perlawanan,  62 gol

JUMLAH: 793 perlawanan,  454 gol



KEJAYAAN:

Eredivisie (2002, 2004), Piala KNVB (2002), Serie A (2007, 2008, 2009, 2011), Piala Super Itali (2006, 2008, 2011) La Liga (2010), Piala Super Sepanyol (2009, 2010), UEFA Super Cup (2009), Piala Kelab-Kelab Dunia FIFA  (2009), Ligue 1 (2013, 2014, 2015, 2016), Coupe de France (2015, 2016), Coupe de la Ligue (2014, 2015, 2016), Trophee des Champions (2013, 2014, 2015).-mstar

Betul Ke Ford Mustang Ni Safiey Ilias Punya?

Nama Safiey Ilias sudah tidak asing lagi di media sosial setelah kisah penghijrahannya daripada seorang mak nyah yang kembali kepada fitrah mendapat liputan media massa.


Betul Ke Ford Mustang Ni Safiey Ilias Punya?

Kisah Safiey turut mendapat perhatian kerana pada usia yang masih muda dia sudah pun mengecap kejayaan luar biasa bergelar jutawan.

Betul Ke Ford Mustang Ni Safiey Ilias Punya?


Ternyata penghijrahan tidak menghalang Safiey untuk tetap menikmati rezeki hasil kerja kerasnya.

Terbaharu, dia tampil dengan kereta mewah jenis Ford Mustang berwarna kuning, menggunakan nombor pendaftaran DM501.


Betul Ke Ford Mustang Ni Safiey Ilias Punya?

Safiey atau nama sebenarnya Safiudin memuat naik gambar kereta berkenaan di Facebook.-mynewshub

Sultan Johor Berjaya Bida Nombor Plat ‘F1’

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, telah memenangi bidaan ke atas nombor pendaftaran kenderaan F1 yang menjadi rebutan ramai.

Sultan Johor Berjaya Bida Nombor Plat ‘F1’

Pemerintah negeri Johor Darul Takzim itu memenangi bidaan tersebut dengan nilai RM836,000.

Nombor plat F2 pula merupakan bidaan kedua tertinggi iaitu dengan nilai RM514,800; F9 (RM414,800) dan F7 (RM396,00).

Bahagian Pelesenen Kenderaan Kementerian Pengangkutan Malaysia telah mengumumkan pemenang bidaan bermula pada pukul 3 petang tadi.

Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan nombor pendaftaran baharu kenderaan untuk Putrajaya ‘F1’ mampu dijual melebihi RM1 juta.

Menurut bekas Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad, mereka tidak menetapkan sebarang jumlah bidaan tertentu dan ianya terbuka kepada semua.

Pada 19 Mei lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi telah mengumumkan bahawa semua kenderaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur akan menggunakan nombor plat pendaftaran yang bermula daripada abjad ‘F’ dan ‘V’.-MYNEWSHUB

Pendedahan Zlatan Ibrahimovic yang Mengejutkan

Zlatan Ibrahimovic mendedahkan dia akan menyertai Manchester United biarpun kelab Liga Perdana Inggeris itu belum memberi sebarang pengesahan.

Pendedahan Ibrahimovic Yang Mengejutkan

Penyerang Sweden mengumumkan perkara tersebut di laman instagram miliknya pada Khamis dengan menyatakan dia akan ke Old Trafford selepas meninggalkan Paris Saint-Germain akhir bulan lalu.

Pengakuan Ibrahimovic itu bakal mengesahkan laporan sebelum ini mengenai perpindahannya ke United sejak beberapa bulan lalu.

"Time to let the world know," . "My next destination is @manchesterunited. #iamcoming," tulisnya di laman instagram.

Pengakuan Ibrahimovic itu bakal mengesahkan laporan sebelum ini mengenai perpindahannya ke United sejak beberapa bulan lalu.

Malah sekiranya pendedahan Ibra ini disahkan kelab, dia bakal menjadi pemain terbaharu ke United di bawah pengurusan Jose Mourinho sekaligus dianggap sebagai penyatuan semula kedua-dua pihak selepas pernah bekerjasama sebelum ini.

Ibrahimovic meninggalkan PSG selepas kontraknya 2015-2016 berakhir dengan rekod menjuarai Liga 1 sepanjang empat musim di Perancis.

Selain itu, Ibra dianggap 'ayam tambatan' untuk negaranya telah membuat keputusan menggantung but dalam aksi antarabangsa selepas Sweden terkeluar daripada saingan Euro 2016.-mstar

Del Bosque Letak Jawatan Pengurus Sepanyol

Vincete del Bosque meletak jawatan sebagai pengurus Sepanyol selepas mengemudi skuad kebangsaan itu selama lapan tahun.


Del Bosque Letak Jawatan Pengurus Sepanyol

Keputusan pengurus berusia 65 tahun itu sudah diramal selepas Sepanyol tersingkir pada pusingan 16 pasukan terbaik Euro 2016 selepas tewas 2-0 kepada Itali di Stade de France, Paris, awal pagi Selasa lalu.

Aksi hambar Sepanyol di Perancis sekali lagi mengulangi kegagalan bekas juara Euro 2012 itu pada aksi Piala Dunia 2014 di Brazil apabila tewas di peringkat sama.

Kekalahan pada Piala Dunia 2014 itu menyaksikan Sepanyol muncul pasukan pertama tersingkir daripada kejohanan utama tersebut.

Del Bosque mengumumkan keputusan tersebut menerusi sebuah stesen radio Sepanyol pada petang Khamis.

Bekas Pengurus Real Madrid itu menggantikan Luis Aragones sebagai Pengurus Sepanyol pada Julai 2008, seminggu selepas La Roja menewaskan Jerman 1-0 pada Euro 2008.

Beliau mengemudi Sepanyol memenangi kesemua 10 perlawanan peringkat kumpulan aksi kelayakan Piala Dunia 2010 yang turut dibarisi pasukan Bosnia Herzegovina, Tukri dan Belgium.

Del Bosque berada di puncak kariernya apabila berjaya membantu Sepanyol mempertahankan kejuaraan Euro selepas menundukkan Itali 4-0 pada aksi final 2012.

Namur prestasi tidak menentu pasukan itu pada aksi Piala Dunia 2014 dan Euro 2016 mengugat kedudukan Del Bosque yang mendorong kepada peletakannya sebagai pengurus pasukan tersebut.-mstar

Portugal Pasukan Pertama Mara Ke Separuh Akhir

Portugal muncul pasukan pertama melangkah ke pusingan separuh akhir Euro 2016 selepas menundukkan Portugal  5-3 menerusi penentuan penalti di Marseille, awal pagi Jumaat.

Portugal Mara Ke Separuh Akhir

Keputusan kekal 1-1 pada masa tambahan dan memaksa pasukan juara ditentukan menerusi sepakan penalti.

Cristiano Ronaldo dan Robert Lewandowski masing-masing berjaya menyempurnakan penalti pertama buat kedua-dua pasukan itu.

Portugal mendahului dengan 4-3 selepas sepakan pemain Poland, Jakub Blaszczykowski terkena palang.

Ricardo Quaresma melengkapkan penalti kelima Portugal apabila sepakannya gagal ditampan penjaga gol, Lukasz Fabianski.

Kemenangan itu membolehkan Portugal mara ke kelompok empat pasukan terbaik dengan bertemu sama ada Wales atau Belgium.

Lewandowski akhirnya berjaya menamatkan kemarau golnya pada kejohanan itu selepas membuka jaringan awal untuk Poland pada minit kedua selepas merembat masuk hantaran Kamil Grosicki.

Namun rakan baharunya di Bayern Munich, Renato Sanches meranapkan impian Poland untuk terus menguasai perlawanan apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-32.

Ronaldo turut gagal menambah koleksi golnya selepas terlepas peluang di hadapan gol ketika perlawanan berbaki lima minit sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.-mstar

Nolito Akhirnya Sertai Manchester City

Penyerang Sepanyol, Nolito menjadi pemain kedua dibawa masuk Pep Guardiola ke Manchester City pada musim panas ini dengan nilai perpindahan sebanyak 13.8 juta pound (RM73.4 juta).

Nolito Akhirnya Sertai Manchester City

Pemain berusia 29 tahun itu akan menyertai Ilkay Gundogan yang tiba di Etihad dari Borussia Dortmund pada Jun lalu.

"Saya akan cuba membantu City menang lebih banyak perlawanan. Saya akan melakukan apa sahaja yang disuruh pengurus, cuba melakukan yang terbaik dan apa sahaja yang boleh untuk mengulangi prestasi terbaik saya bersama pelbagai kelab," katanya.

Nolito mempamerkan aksi cemerlang bersama Sepanyol pada Euro 2016 apabila menjaringkan gol ketika pasukan itu menundukkan Turki 3-0 sebelum tersingkir di tangan Itali pada kelompok 16 pasukan terbaik.

Guardiola menurunkan Nolito buat pertamanya bersama Barcelona pada 2010 walaupun dia meluangkan sepenuh masanya bersama skuad Barcelona B.-mstar

Hajat Zulin Aziz Akhirnya Terlaksana

Pelakon dan pengacara, Zulin Aziz memberitahu dia menerima tawaran sebagai penyampai radio di Suria FM kerana pihak pengurusan stesen radio itu mahu dia menjadi dirinya sendiri ketika bersiaran di studio.


Hajat Zulin Aziz Akhirnya Terlaksana

Zulin, 26, berkata, perkara itu amat penting baginya kerana dia perlu berasa selesa ketika berinteraksi bersama pendengar dan bukannya melakukan sesuatu atas arahan pihak lain.

"Jujurnya apabila saya berjumpa dengan pihak pengurusan Suria FM, mereka mahu saya menjadi diri sendiri dan saya terus bersetuju.

"Sekiranya mereka meminta saya mengubah diri saya yang santai kepada serius mungkin saya akan berfikir dua kali sebelum menerima tawaran tersebut kerana saya tidak mampu memenuhi permintaan tersebut.

"Alhamdulillah dengan kebebasan itu boleh membantu saya mencari rentak untuk menarik perhatian pendengar," katanya kepada mStar Online.

Terdahulu pada Khamis, Suria FM mengumumkan empat wajah baharu menyertai stesen milik Star Media Group itu berkuatkuasa pada 1 Julai (hari ini).

Selain Zulin, tiga lagi penyampai baharu stesen itu adalah Tyzo, Fizi dan Suraya.

Zulin bakal bergandingan dengan Fizi dan Halim Othman menerusi segmen Ceria Pagi Suria manakala Tyzo dan Suraya akan mengendalikan segmen Ceria Petang Suria.

Dalam pada itu, Zulin berkata, dia memang meminati bidang penyiaran radio dan menganggap karier baharunya itu sebagai rezeki bulan Ramadan.

Malah dia lebih yakin menerima tawaran tersebut kerana sebelum ini pernah bertindak sebagai deejay pengganti di stesen radio Hot FM dan Sinar FM.

"Saya memang sudah lama minat dengan bidang radio tetapi sebelum ini tumpuan saya lebih kepada lakonan membuatkan hasrat itu terbantut.

"Bagaimanapun sejak kebelakangan ini saya tidak terlalu fokus kepada lakonan dan lebih banyak sebagai pengacara dan apabila tawaran ini datang saya fikir ini masa sesuai untuk memenuhi impian bergelar penyampai.

"Alhamdulillah pengalaman yang sedikit sebelum ini membuatkan saya yakin dapat melakukannya," kata Zulin.

Sementara itu, Zulin berkata, dia tidak bimbang sekiranya tawaran daripada stesen lain akan berkurangan selepas bergelar penyampai radio kerana yakin rezeki itu daripada Allah.

"Sebab itu saya menekankan tentang menjadi diri sendiri kerana ia tidak akan ada pada orang lain.

"Jika hanya kerana pihak lain tidak mahukan khidmat saya itu kerana mereka boleh cari pengganti yang sama dengan saya.

"Tetapi jika saya tetap diambil, ia tanda saya tidak sama dengan orang lain dan ia juga berbalik kepada rezeki," jelasnya.-mstar

Anis Al-Idrus Tolak Tawaran Berlakon Dengan Sharnaaz Ahmad

Pelakon dan penyanyi Anis Al-Idrus memberitahu dia terpaksa menolak tawaran berlakon sebuah drama yang turut melibatkan bekas kekasihnya Sharnaaz Ahmad.


Anis Al-Idrus Tolak Tawaran Berlakon Dengan Sharnaaz Ahmad

Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus, 28, berkata, perkara tersebut bukan kerana tidak bersikap profesional, namun enggan menimbulkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan kerjaya masing-masing.

"Saya akui sejak aktif berlakon dan menyanyi kami ada terserempak di majlis hiburan tapi saya cuba elak daripada bertembung dengannya.

"Begitu juga lakonan, saya ada dapat tawaran yang turut sama melibatkan dia tapi awal-awal lagi saya dah tolak.

"Bukan tidak profesional tapi saya tidak mahu masalah bagi pihak saya mahupun pihak dia yang sudah ada kehidupan baru itu," ujarnya kepada mStar Online.

Anis ditemui pada majlis sidang media Anugerah Industri Muzik 22 (AIM 22), Rabu lalu.

Penyanyi lagu Mengapa ini mengakui sentiasa mengelak sebarang perkara berkaitan hubungan percintaannya yang lalu.

Sementara itu, ditanya tentang lelaki baharu dalam hidupnya, Anis berkata, dia masih belum bertemu dengan insan istimewa yang boleh dijadikan pasangan hidup.

"Saya ramai kawan lelaki tetapi belum ada lagi yang istimewa, mungkin usia saya yang sudah hampir ke 30-an ini membuatkan saya lebih memilih.

"Namun apa-apa pun ia terserah juga kepada jodoh, saya tidak kisah lelaki itu dikalangan orang biasa atau terlibat dengan dunia seni," ujarnya.

Bercerita tentang perjalanan kerjaya yang semakin rancak, Anis berkata, dia menikmati kesibukan yang dilaluinya sekarang biarpun tidak mempunyai masa rehat yang banyak seperti dahulu.

"Selepas aktif ini memang masa rehat saya tidak seperti dahulu, tidur tidak pernah mencukupi seperti orang lain.

"Selain itu, saya juga rindu privasi yang mana sebelum ini saya bebas untuk keluar dengan siapa yang saya suka tanpa sebarang persepsi orang luar," ujarnya.

Selain itu, Anis berkata dia sudah bersedia untuk merakamnkan single keduanya tidak lama lagi.-mstar

Selepas 10 Kali Mencuba, Pelajar 10A Akhirnya Dapat MyKad

Wong Nei Shin kini boleh mengharapkan percutian ke luar negara bersama keluarganya tidak lama lagi.  Ini bukan lagi mustahil apabila beliau akhirnya memperoleh MyKad setelah 10 kali mencuba.

Selepas 10 Kali Mencuba, Pelajar 10A Akhirnya Dapat MyKad

Pelajar 18 tahun yang mendapat keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini akan melawat Singapura bersama ibu dan bapa angkatnya, Wong Ah Ming, 58, dan Loh Wei Leng, 55, sebaik sahaja mendapat pasport.

Nei Shin, yang berketurunan India, berada di bawah jagaan pasangan suami isteri itu ketika berusia hampir satu bulan.

Wei Leng berkata seorang rakan telah menyerahkan Nei Shin kepada mereka dan sejak itu mereka terputus hubungan.

"Kita tidak mampu untuk mendapatkan butir-butir ibu bapa kandungnya tetapi berjaya mendapatkan sijil kelahiran dengan taraf 'Belum Ditentukan'.

"Oleh itu, kami menjaganya seperti anak sendiri selama ini," katanya pada sidang akhbar yang dianjurkan oleh Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA Selangor Datuk Tan Bok Koon.

Wei Leng yang mengendalikan sebuah gerai mi kari di Kepong Baru berkata beliau cuba untuk memohon MyKad apabila Nei Shin berusia 12 tahun.

"Ia sentiasa ditolak," katanya, sambil menambah perkara pertama yang akan dilakukannya sekarang adalah mendapatkan pasport untuk Nei Shin.

Pada awal tahun ini, Wei Leng berjumpa dengan Bok Koon untuk meminta bantuan dan dalam tempoh dua bulan, permohonan MyKad untuk anak angkatnya itu telah diluluskan oleh pihak berkuasa.

Bok Koon berkata beliau membawa perkara itu kepada Jabatan Perdana Menteri dan mendapat surat rujukan bagi membolehkan bantuan mendapatkan dokumen itu dapat dibuat.

Nei Shin menerima MyKad pada 4 April, hari yang sama beliau menerima keputusan SPM.

"Ia adalah kegembiraan berganda bagi saya kerana saya mendapat 10A," kata Nei Shin, yang kini mengikuti kursus asas perdagangan di sebuah kolej swasta.-mstar