Pertahanan Barcelona Sertai Juventus

Pertahanan kanan Barcelona, Dani Alves dilaporkan tiba di Turin untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menyertai Juventus.


Pertahanan Barcelona Sertai Juventus

Pemain Brazil berusia 33 tahun itu meninggalkan Barcelona selepas mengharungi lapan musim yang penuh dengan kejayaan.

Selepas selesai pemeriksaan kesihatan tersebut, Alves dijangka akan menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Juventus.

"Selepas tiba di Turin pada semalam, hari ini Dani Alves akan ke J-Medical untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum menyertai Juventus," kata kelab itu menerusi laman sosial.

Alves tiba di Sepanyol pada 2002 dari kelab Bahia untuk menyertai Sevilla selama enam musim sebelum bersama Barcelona.

Sepanjang berada di Barcelona, dia berjaya memenangi Liga Juara-Juara Eropah sebanyak tiga kali, Piala Dunia Kelab (3) dan La Liga enam kali.

Alves merupakan pertahanan kedua yang dibawa ke Juventus untuk musim depan selepas pemain Bosnia, Miralem Pjanic dari Roma.-mstar

Punca Erra Fazira Akui Sukar Tolak Cinta Shahir

Mengakui sebelum ini dirinya sememangnya berniat untuk bersuamikan lelaki yang lebih tua, dalam masa yang sama Erra Fazira tidak dapat menolak rasa cinta kepada Shahir kerana telah melengkapi ciri lelaki idamannya.

Punca Erra Fazira Akui Sukar Tolak Cinta Shahir

“Saya pernah berniat untuk mencari orang yang lebih tua dan macam-macam lagi, tetapi bila hati terima ciri-ciri (lelaki muda) begini, sukar untuk saya menidakkannya. Kita masih tidak tahu apa yang akan berlaku di masa depan, saya serahkan soal jodoh ini kepada takdir sahaja, sebab Allah sahaja yang mempunyai kuasa terhadap hati saya”


“Memang saya lega, bila akhirnya Shahir membuka mulut, dalam masa yang sama mengurangkan beban saya untuk berhadapan perkara ini seorang diri. Ternyata tidak banyak yang boleh saya kongsi, tetapi ketika ini fasa hubungan kami masih lagi mengenali dengan lebih rapat antara satu sama lain,” katanya kepada Malay Mail Online.

Erra sebelum ini pernah dua kali mendirikan rumah tangga bersama Yurry KRU dan juga Engku Emran. Apa pun, semoga perjalanan kisah di antara Shahir dan Erra ini akan terus mekar sehingga ke jinjang pelamin dan jannah.-rotikaya

Muzik Video Kanye Papar Imej ‘Bogel’ Trump, Taylor Swift

Penyanyi dan rapper terkenal, Kanye West sekali lagi menggemparkan industri hiburan antarabangsa apabila tampil dengan muzik video provokatif memaparkan imej beberapa kenamaan dan selebriti dalam keadaan telanjang bulat.

Muzik Video Kanye Papar Imej ‘Bogel’ Trump, Taylor Swift

Potret seramai 12 selebriti termasuk dirinya berbaring bogel di atas sebuah katil itu merupakan antara kandungan ‘menarik’ dalam muzik video single terbaharunya, Famous.

Antara selebriti yang telah ‘dibogelkan’ ialah isterinya sendiri, Kim Kardashian West, Taylor Swift, Donald Trump, Bill Cosby, George W. Bush, Caitlyn Jenner, Rihanna dan Chris Brown.

Gambar aksi bogel itu dipercayai dilakukan dengan bantuan imej komputer tetapi tidak dapat dipastikan sama ada Kanye ada meminta keizinan terlebih dahulu daripada mana-mana selebriti yang terlibat untuk menerbitkan mereka dalam keadaan bertelanjang bulat seperti itu.

Antara selebriti lain yang turut termasuk dalam gambar itu ialah Ketua Editor majalah Vogue edisi Amerika Syarikat, Anna Wintour serta bekas kekasih Kanye dan Kim iaitu Amber Rose dan Ray J. – MYNEWSHUB

Messi Umum Bersara, Malu Kalah Kepada Chile

Bintang sensasi kelab elit Sepanyol, Barcelona iaitu Lionel Messi pada 27 Jun membuat pengumuman secara mengejut bahawa beliau akan bersara daripada aksi sukan bola sepak antarabangsa yang diceburinya.


Messi Umum Bersara, Malu Kalah Kepada Chile

Messi mengumumkan persaraannya itu setelah berasa malu Argentina yang dianggap antara kuasa bole sepak di Amerika Latin boleh tewas di tangan pasukan kerdil, Chile dalam perlawanan akhir kejohanan Copa America.

Pemain itu patah hati setelah Chile merampas kemenangan menerusi tendangan penalti 4-2 iaitu kekalahan keempat berturut-turut Messi dalam perlawanan akhir bagi kejohanan utama ketika menyarung jersi Argentina.

“Bagi saya, penglibatan dengan pasukan negara sudah berakhir,” kata bintang bola sepak yang kecewa itu kepada para wartawan sukan antarabangsa selepas berakhir perlawanan di Stadium MetLife, East Rutherford dekat sini.

“Saya sudah lakukan semua yang saya mampu, saya sudah bermain dalam empat perlawanan akhir dan hakikat bahawa saya tidak muncul sebagai juara amat menyedihkan saya,” kata Messi yang kini berusia 29 tahun.

“Ia satu detik sukar bagi saya dan pasukan ini, dan sukar untuk saya katakan, tapi cukuplah sampai di sini dengan Argentina,” ujarnya yang memulakan karier pada usia tujuh tahun dengan Club Atlético Newell’s Old Boys.
Messi Umum Bersara, Malu Kalah Kepada Chile

Pengumuman dramatik Messi itu dilakukan susulan kekalahan ketiga Argentina dalam sesebuah perlawanan akhir utama sejak 2014. Pasukan itu pernah tumbang 0-1 kepada Jerman dalam perlawanan akhir Piala Dunia pada 2014.

Lebih memalukan, Argentina kalah dengan penentuan tendangan penalti 1-4, juga di tangan Chile yang menjadi tuan rumah dalam perlawanan akhir Copa America ke-44 pada 2015 lalu di Estadio Nacional, Santiago.

Messi juga kalah ketika mewakili Argentina dalam perlawanan akhir Copa America ke-42 pada 2007 di Maracaibo, Venezuela apabila negaranya tunduk kepada Brazil 0-3 untuk muncul sebagai juara kejohanan buat kali kelapan.

Meskipun mencatat kerjaya yang gilang gemilang sehingga dinobat sebagai Pemain Bola Sepak FIFA Terbaik di Dunia sebanyak lima kali, Messi kerap dilemparkan dengan pelbagai kritikan oleh para penyokong Argentina.

Biarpun dianggap di seluruh dunia sebagai antara pemain bola sepak paling hebat dalam sejarah, beliau kerap dikritik kerana masih lagi tetap gagal meraih kejuaraan untuk skuad negara tanah tumpahnya sendiri.

Kegagalan Argentina untuk menandingi pencapaian pasukan yang dianggotai oleh Diego Maradona, yang memimpin pasukan itu sebagai kapten semasa menjulang Piala Dunia FIFA pada 1986, sering dijadikan isu.

Maradona sendiri pernah melemparkan kritikan terhadap Messi, dan pada hari sebelum berlangsungnya satu perlawanan persahabatan baru-baru ini, beliau mendakwa Messi sebagai ‘tidak mempunyai personaliti’.

“Beliau seorang yang baik hati, namun beliau tidak ada personaliti,” kata Maradona di Paris, Perancis tidak lama sebelum Euro 2016 bermula. “Beliau tidak mempunyai perwatakan untuk menjadi pemimpin,” tambahnya.

Keputusan Messi yang mengejutkan itu diumumkan susulan musim bola sepak yang mencabar untuk dirinya, yang terganggu akibat kecederaan dialaminya sendiri sepanjang tahun lalu. –Mynewshub

Filem Tamil Lakonan Raajinikanth, Kabali Raj Versi Bahasa Melayu?

Sebelum ini, rakyat Malaysia hanya menonton filem Tamil dengan sari kata bahasa Melayu namun, kini mereka berpeluang menonton filem Kabali, yang dibintangi pelakon tersohor India Rajinikanth, dalam versi bahasa kebangsaan itu mulai 22 Julai ini.


Filem Tamil Lakonan Raajinikanth, Kabali Raj Versi Bahasa Melayu?

Penerbit bersama Kabali Datuk Abdul Malik Dashtigeer berkata filem itu bakal mencipta sejarah apabila dialih suara daripada bahasa Tamil ke bahasa Melayu buat kali pertamanya dalam dunia perfileman negara.

"Bagi versi bahasa Melayu, selebriti tanah air Arun Kumar memberi suaranya untuk watak Rajinikanth dan Fathia Latiff bagi watak Dhansika, anak Rajinikanth.

"Untuk melakukan alih suara itu, kesemua yang terlibat termasuk Datuk Jalaluddin Hassan bagi suara watak penjahat dibawa ke Chennai, India selama tujuh hari untuk rakaman suara.

"Dua lagu (Ulagam dan Nerupuda) juga dalam proses pembikinan dalam bahasa Melayu dengan menggunakan muzik 'minus one' asli," katanya kepada Bernama di sini.

Abdul Malik berkata kos perbelanjaan untuk pemasaran di Malaysia menelan belanja sebanyak RM2 juta dan filem itu disasarkan mengutip RM50 juta secara keseluruhan apabila ditayangkan di 480 pawagam di seluruh negara.

Selain Malaysia, filem versi bahasa Melayu itu juga akan ditayangkan di 250 pawagam di Indonesia mulai 29 Julai.
Kabali, yang mendapat sentuhan pengarah India Pa.Ranjith, pada mulanya dijangka ditayangkan pada Julai 1 ini (versi Tamil) namun, ditunda atas beberapa sebab.
Abdul Malik memberi bayangan ia mungkin ditayangkan pada pertengahan Julai.

Filem Kabali
mendapat perhatian rakyat Malaysia apabila ia turut menampilkan pelakon tempatan terkenal seperti Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan dan Tony Kassim.

Abdul Malik yang juga pemilik syarikat Malik Streams berkata seramai 800 rakyat Malaysia turut menjadi pelakon tambahan dalam filem itu yang dinanti-nantikan peminat Rajinikanth di seluruh dunia.

Selain di India, penggambaran filem itu dijalankan selama 60 hari di Malaysia sehingga mencetuskan 'demam Rajinikanth' dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama pada awal tahun ini.

Legenda filem India, Rajinikanth yang juga popular dengan gelaran 'Superstar' dalam kalangan peminatnya, adalah antara pelakon yang menerima bayaran termahal di Asia Tenggara selepas Jackie Chan.

Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao memegang watak samseng (Don) di Malaysia, yang dikenali sebagai Kabaliswaran, dalam filem ke-159 beliau itu.

Kehangatan filem itu dirasai di Malaysia apabila 'flashmob' diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara manakala AirAsia Bhd pula menawarkan menu dalam penerbangan dan barangan cenderamata yang disesuaikan dengan tema filem itu.-mstar

Sekali Lagi Bidaan Liverpool Ditolak

Bidaan sebanyak £7 juta yang dibuat Liverpool untuk mendapatkan Ben Chilwell dari Leicester City telah ditolak, lapor Telegraph.


Sekali Lagi Bidaan Liverpool Ditolak

Skuad kendalian Jurgen Klopp sebelum ini cuba mendapatkan pemain muda England itu yang beraksi di posisi pertahanan.

Bagaimanapun, juara Liga Perdana Inggeris berkenaan menuntut sebanyak £10 juta sebagai yuran pemindahan Chilwell.

Walaupun Chilwell tidak beraksi bersama Leicester pada musim lalu, namun dia cemerlang ketika dipinjamkan kepada skuad  Huddersfield.

Kematangan yang ditunjukkan pemain berusia 19 tahun itu turut memikat hati pengendali skuad Bawah 21 Tahun (B21) England, Gareth Southgate untuk memanggilnya mewakili skuad berkenaan.-mstar

Pinggan Unik, Kurangkan 30 Kalori Setiap Hidangan

Anda ingin kurus dengan cara yang mudah? Anda boleh mencuba pinggan ini yang mempunyai 500 lubang halus dan didakwa sebagai rekaan unik untuk mengurangkan berat badan.

Pinggan Unik, Kurangkan 30 Kalori Setiap Hidangan

Ini kerana lubang-lubang pada pinggan itu dikatakan boleh mengumpul dan mengasingkan minyak yang berlebihan dan dapat menghapuskan 30 kalori daripada makanan yang dihidangkan.

Pinggan tersebut dihasilkan oleh AbsorbPlate dalam usaha memberikan makanan yang sihat di seluruh Thailand.

Menurut agensi pengiklanan kepada AbsorbPlate, BBDO Bangkok, rekaan tersebut masih diuji dan tidak dijual pada masa ini.

Bagaimanapun beribu-ribu pinggan telah diedarkan kepada kedai-kedai makan di Thailand.

Pelbagai reaksi diterima daripada orang ramai dengan ada yang menyokong, tidak kurang pula yang memandang sinis akan ciptaan terbaru itu.-mynewshub

Marsha Milan Akui Perlukan Masa Dalami Islam

Baharu sahaja memeluk Islam, pelakon Marsha Milan Londoh, 30, mengakui dia terpaksa menangguhkan hasratnya untuk bersama-sama jemaah lain menunaikan solat Terawih di masjid kerana dia masih memerlukan bimbingan.

Marsha Milan Akui Perlukan Masa Dalami Islam

“Ada juga saya lakukan solat Terawih di rumah bersama suami. Sudah beberapa kali juga. Saya mahu ke masjid, tetapi saya perlu belajar labih banyak tentang islam.

“Saya juga memerlukan imam kerana buat masa ini saya belum tahu bila masanya untuk rukuk atau sujud.

“Pergerakan  seperti itu pun saya tidak dapat ingat, lagi pula segala bacaan dan doa yang perlu dihafal. Jika ada yang tanya tentang erti Ramadan, secara peribadi sukar untuk saya menjawab soalan itu,” jelasnya kepada Harian Metro.

Tambah Marsha, dia masih baru dalam Islam dan memerlukan lebih banyak masa untuk memahami perkara baru dan pengertian sebenar sesuatu perkara. – MYNEWSHUB

Ronaldo Atasi Semua Rekod Figo

Meskipun hasrat muncul pemain pertama menjaringkan gol untuk Portugal masih belum terlaksana, Cristiano Ronaldo menjadi pemain paling terbanyak membuat penampilan bersama Portugal dengan 128 kap sekali gus mengatasi rekod Luis Figo selepas diturunkan menentang Austria pada aksi peringkat Kumpulan F Euro 2016, awal pagi Ahad.

Ronaldo Atasi Semua Rekod Figo

Pada pertembungan itu, Portugal sekadar seri 0-0 dengan Austria.

Ronaldo, 30, kini mengatasi rekod legenda Portugal, Luis Figo dengan 128 kap dan menjaringkan 58 gol.

Malah bintang Real Madrid itu kini berkongsi rekod penampilan sepanjang masa kejohanan Euro pada 16 perlawanan bersama-sama dengan Lilian Thuram (Perancis) dan Edwin van der Sar (Belanda).

Ronaldo berpeluang menjadi pemain pertama dalam sejarah untuk menjaringkan gol dalam keempat-empat kejohanan Eropah yang berbeza.

Bekas penyerang Manchester United itu turut menyamai rekod jaringan gol Nuno Gomes pada aksi Euro dalam sejarah pasukan Portugal.

Ronaldo juga sudah berjaya memecah rekod penampilan Gomes ketika tampil menentang Iceland iaitu penampilan ke-15nya dalam perlawanan tersebut.-mstar

Manchester City Dan Barcelona Berebut Nolito

Manchester City akan memulakan perang perebutan pemain dengan menewaskan Barcelona dalam usaha mendapatkan penyerang Sepanyol, Nolito yang mempamerkan aksi cemerlang pada Euro.

Manchester City Dan Barcelona Berebut Nolito

Pemain berusia 29 tahun itu menjadi perhatian selepas menjaringkan lima gol dan empat kali membantu mendapatkan gol dalam 12 penampilan antarabangsa.

Penyerang Celta Vigo tersebut dilapor akan meninggalkan kelabnya dan berikutan itu  Pep Guardiola dan Txiki Begiristain merancang untuk mendapatkan bekas penyerang Barcelona berkenaan dengan penebusan kontrak bernilai £14.1 juta.

Nolito menjaringkan satu gol dan membantu rakannya mendapatkan jaringan dalam tempoh tiga minit untuk memastikan Sepanyol menang 3-0 ke atas Turki.

Dalam perancangan City pula, Guardiola dikatakan mahu menggandingkan Nolito dengan David Silva dan Sergio Aguero di bahagian serangan.

Bagaimanapun, Barcelona juga dilapor mahu mendapatkan kembali bekas penyerangnya itu.

Dia disebut sebagai pemain paling sesuai untuk bersama Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez di bahagian serangan Barcelona.-mstar