Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan

Lanun Menyamar Polis Marin Dikesan Peras Ugut Nelayan

Kumpulan lanun dipercayai menyamar sebagai pegawai polis marin negara jiran dan memeras ugut nelayan tempatan antara RM10,000 hingga RM100,000, termasuk barangan berharga di sekitar perairan daerah ini.


Lanun Menyamar Polis Marin Dikesan Peras Ugut Nelayan

Timbalan Komander Polis Marin Wilayah Selatan, Superintendan Mohd Salehuddin Mat Zaman berkata, tindakan itu dilakukan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, lanun terlibat kebiasaannya menyasarkan bot nelayan pukat tunda untuk kegiatan jenayah itu.

"Kami turut memaklumkan agensi marin di Indonesia berhubung perkara ini, selain membuat aduan di Bukit Aman dan Wisma Putra untuk mengeluarkan nota diplomatik kepada negara jiran.

"Laporan kepada pihak berkuasa Indonesia diharap dapat membantu menahan pihak tidak bertanggungjawab itu," katanya kepada pemberita pada sesi dialog program kepolisian komuniti antara pihaknya dengan nelayan di Lembaga Pembangunan Ikan Malaysia di Pontian Besar, Rabu.

Beliau berkata, kumpulan lanun itu dilihat memakai uniform polis marin Indonesia ketika kejadian antara tengah malam hingga 4 pagi itu.

"Nelayan tempatan terdedah kepada kegiatan seperti ini melibatkan lanun asing kerana kedudukan kita yang hanya 20 batu nautika dari perairan Indonesia," katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis marin akan meningkatkan kawalan keselamatan terutama kekerapan rondaan bagi melindungi 1,225 nelayan tempatan.

"Sepanjang tempoh rondaan, kira-kira 10 pegawai bersama dua bot dari bahagian Taktikal Polis Marin Wilayah Selatan akan memantau dan mengawal sekitar 30 batu nautika antara Tanjung Piai dan Pulau Pisang.

"Antara November dan Disember lalu, empat aduan diterima melibatkan kegiatan memeras ugut nelayan tempatan," katanya.-mstar

Lelaki Bawa Bom Mengaku Militan

Seorang lelaki ditahan kerana mengaku sebagai anggota Kumpulan Pengganas Daesh dan mendakwa membawa bom ke Kementerian Pertahanan (Mindef), Jalan Padang Tembak di sini, kira-kira pukul 8 malam Rabu.


Lelaki Bawa Bom Mengaku Militan

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di pos pengawal setelah tiba di kementerian itu dengan menaiki sebuah teksi.

Mohamad Roy berkata hasil siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai tidak waras kerana dia mendakwa telah mendapat titah daripada Yang di-Pertuan Agong untuk ke Mindef dan bersemuka dengan orang-orang penting daripada kementerian itu.

"Sebaik tiba di pos pengawal, pemandu teksi yang mendengar lelaki itu membawa bom terus keluar meninggalkan teksi itu manakala suspek terus berada di dalam kenderaan itu," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pegawai perisikan tentera telah menarik keluar lelaki itu dari teksi berkenaan dan membawanya ke sebuah bilik di balai pengawal.

Mohamad Roy berkata pemeriksaan lanjut terhadap lelaki itu mendapati dia membawa power bank, ubat, seutas tasbih, sebatang pen, sejumlah duit syiling dan wang tunai berjumlah RM45 di dalam beg silangnya.

"Lelaki itu kemudian diserah kepada polis dan dibawa ke Balai Polis Tun Razak untuk siasatan lanjut," katanya sambil menambah kesemua barang milik lelaki itu turut dirampas.

Terdahulu, lelaki yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau disyaki menahan pemandu teksi itu di Gombak kira-kira pukul 6 petang sebelum dibawa ke Mindef.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.-mstar

Laluan Via Ferrata Kinabalu Tertinggi Di Dunia

Laluan via ferrata tertinggi dunia dunia di Gunung Kinabalu dibuka semula dengan dilengkapi beberapa ciri keselamatan tambahan baharu selepas ditutup susulan gempa bumi pada 5 Jun tahun lalu.


Laluan Via Ferrata Kinabalu Tertinggi Di Dunia

Menurut pihak pengendali laluan itu, aspek keselamatan menjadi tumpuan utama pihaknya sebelum membuka dua laluan pada ketinggian 3,520 meter dan 3,776 meter itu.

Pengarah Pemasaran Mountain Torq, Quek I. Gek berkata, laluan "Walk the Torq" untuk pendaki amatur telah dialihkan jauh dari kawasan runtuhan akibat gempa berskala 6 Richter itu.

Beliau berkata, begitu juga untuk laluan bagi pendaki berpengalaman bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Quek berkata, Mountain Torq juga menambahbaik prosedur keselamatan, termasuk mengurangkan bilangan pendaki yang perlu dikendali setiap malim iaitu daripada 10 kepada lima sahaja.

"Bagaimanapun, kami akan tetap memastikan bilangan pendaki yang perlu dipantau setiap malim tidak melebihi lapan," katanya sambil menambah pengurangan juga melibatkan laluan Low's Peak iaitu kepada lima pendaki untuk setiap malim.

Syarikat itu juga memperkenalkan sisten "aeroligne" untuk laluan Low's Peak di mana setiap pendaki perlu memasang klip dan membukanya pada jarak tertentu.

"Kami yang kelima di dunia dan pertama di Asia yang memperkenalkan sistem aeroligne ini," katanya.

Quek juga menasihatkan pendaki supaya sentiasa bersedia daripada segi mental dan fikizal jika berhasrat mendaki mengikut laluan via ferrata.

Keseluruhannya 18 terkorban ketika kejadian gempa bumi itu apabila runtuhan batu menimpa mereka.

Antara yang maut adalah pelajar Singapura dan guru mereka serta dua malim Mountain Torq.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun melancarkan pembukaan semula laluan via ferrata Gunung Kinabalu pada Selasa.-mstar

Kereta Klon : Dia Pandang, Ketawa Sebelum Pecut - Mangsa

Sebelum memecut laju, seorang pemilik kereta klon sempat lagi ketawa apabila terserempak dengan pemilik kereta yang original.


Kereta Klon : Dia Pandang, Ketawa Sebelum Pecut - Mangsa

Menurut mangsa yang juga pemilik kereta original, Steeven Sinniah, pemilik kenderaan klon itu terserempak dengannya ketika di Jalan Jelatek pada Isnin lalu.

“Pemandunya hanya memandang saya dan ketawa sebelum memecut kenderaannya,” kata Steevan.

Menceritakan 'pertemuan' dengan 'kembar' keretanya itu, Steven berkata dia mengejar kenderaan terbabit kira-kira 400 meter sebelum menemui semula MPV klon itu di Stesen LRT Datuk Keramat.

Menurut Steven kereta itu mempunyai warna serta nombor pendaftaran yang sama dengan keretanya.

Tambah Steven lagi, dia pernah menerima saman di sekitar Kuala Muda, Kedah termasuk saman dari Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

"Saya tidak pernah melalui jalan di Kuala Muda. Saya hairan dan rupa-rupanya ia angkara MPV klon itu,” katanya sebagaimana lapor Harian Metro.

Steven juga berkata dia telah membuat laporan polis mengenai perkara itu di Balai Polis Damansara sebelum memuat naik gambar itu di Facebook sehingga menjadi 'viral'.

Jurucakap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata pihaknya akan menyiasat aduan yang dibuat oleh pengadu.

"Pemeriksaan akan dilakukan terhadap MPV klon itu di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi menentukan sama ada nombor enjin kenderaan didaftarkan mengikut nombor pendaftaran MPV itu.

"Jika terdapat kesan nombor enjin itu cuba diubahsuai seperti dikikis, maka kenderaan itu boleh disenarai hitamkan," katanya. — Siakapkelib

Prism Berhad Jawab Tuduhan Freddie Soal Royalti

Prism Berhad pada Khamis menafikan pengarah organisasi itu menerima RM320,000 manakala pekerja mereka RM330,000 sebaliknya satu jumlah lain sebagai ganjaran terhadap kerja yang dilakukan.

Prism Berhad Jawab Tuduhan Freddie Soal Royalti

Penasihat Undang-Undangnya Nivash berkata, gaji pekerja yang dibayar ialah sebanyak RM252,631 manakala ganjaran pengarah ialah RM244,481 yang memperlihatkan perbezaan Prism berbanding organisasi kutipan royalti lain.

"Segala perbelanjaan telah dibentangkan kepada ahli-ahli oleh setiausaha syarikat dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 31 Disember lalu dan ia tidak dipersoalkan oleh ahli-ahli,”  katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada mStar Online pada Khamis.

Terdahulu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez dalam kenyataannya kepada mStar Online Selasa lalu mendedahkan Prism Berhad yang merupakan ejen pengutip royalti bagi pihak pelaku membabitkan penyanyi dan pemuzik  telah membelanjakan sejumlah wang kepada pengarah dan pekerjanya.

Dakwanya, wang berkenaan masing-masing RM320,000 kepada pengarah manakala RM330,000 untuk pekerja sementara ahli-ahli organisasi itu hanya menerima bayaran royalti secara sama rata iaitu antara RM400 dan RM600.


Nivash dalam pada itu turut menyelar Freddie bagaimana beliau membangkitkan jumlah berkenaan sedangkan beliau tidak hadir pada AGM yang diadakan selain bukan ahli organisasi itu.

Katanya, Prism menguruskan kutipan royalti secara sendirian membabitkan beberapa jabatan dan pekerja dalam organisasi itu yang menjalankan tugas-tugas kutipan.

Ujarnya jika dibuat pecahan jumlah gaji yang dibayar dan jumlah jam pekerja, ia memperlihatkan satu jumlah yang masih rendah dalam soal pembayaran upah.

“Semasa AGM, kami telah membentangkan kepada ahli bagaimana cara bayaran dibuat dan kami juga menubuhkan satu jawatankuasa mengenai isu royalti. Apabila jawatankuasa berkenaan memberi penerangan, tiada ada apa-apa bantahan daripada ahli.,” katanya.

Tambah Nivash, jumlah RM400 dan RM600 yang diterima ahli-ahli Prism juga bukanlah royalti sebaliknya sebagai wang penghargaan atas susah payah mereka bersama organisasi itu.

Wang berkeaan katanya adalah daripada kutipan runcit dan bukan pungutan di syarikat-syarikat penyiaran ataupun sektor korporat lain yang memperlihatkan jumlah berkenaan tidak banyak menyebabkan kadar rata diberikan.

Dalam pada itu Navish menambah pihaknya berasa kesal apabila ahli-ahli Prism telah menggunakan saluran lain utnuk meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing kerana ia boleh mengganggu proses kutipan.

Sebaliknya beliau meminta agar ahli Prism menulis surat kepada pihaknya jika ada apa-apa perkara yang ingin dibangkitkan.-mstar

Ibu Bapa Tidak Sedar Anak Lakukan Hubungan Seks

Ramai ibu bapa tidak percaya bahawa anak-anak mereka pernah melakukan hubungan seks dengan rakan-rakan sendiri, kata Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin.


Ibu Bapa Tidak Sedar Anak Lakukan Hubungan Seks

Katanya anak-anak muda mungkin berkelakuan baik di rumah kerana kawalan ketat oleh ibu bapa mereka "tetapi perlakuan mereka berbeza ketika di luar".

Sehubungan itu beliau menasihatkan supaya ibu bapa terlibat dalam mendidik anak-anak mereka khususnya mengenai peruntukan undang-undang dalam kes rogol.

Minggu lalu, The Star melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 51 peratus kes rogol yang berlaku dalam tempoh tiga tahun lalu melibatkan hubungan seks dengan kanak-kanak.

Seksyen 375 (G) Kanun Keseksaan menyatakan bahawa hubungan seks dengan seseorang di bawah 16 tahun dianggap rogol (sama ada dengan atau tanpa izinnya).

"bu bapa perlu memperuntukkan masa untuk memantau anak-anak dan rakan-rakan mereka," katanya.

Ketua Polis Melaka, Timbalan Komisioner Datuk Wira Chuah Ghee Lye berkata ramai pesalah muda tidak menyedari akibatnya.

"Pihak-pihak berkepentingan perlu mengkaji mekanisme untuk mendidik golongan muda mengenai jenayah rogol," katanya.-mstar

‘Robin Hood’ Aceh Bersama 100 Pengikut Serah Diri

Ketua kumpulan penentang paling dikehendaki di Aceh dan bekas anggota Gerakan Aceh Merdeka (GAM) akhirnya menyerah diri semalam selepas tiga tahun diburu pihak berkuasa.


‘Robin Hood’ Aceh Bersama 100 Pengikut Serah Diri

Din Minimi dan lebih 100 pengikutnya menyerah diri kepada Pengarah Agensi Perisikan Negara, Sutiyoso dan turut menyerahkan sejumlah senjata api.

“Saya rela menyerah diri kerana apa yang saya perjuangkan dan semua tuntutan saya adalah perkara yang positif,” kata Din ketika dihubungi wartawan Jakarta Post semalam.

Menurutnya, Presiden Joko Widodo (Jokowi) juga berjanji bahawa semua tuntutannya akan dipertimbangkan kerajaan.

Jokowi dilapor berbincang dengan Din melalui satu panggilan telefon tiga hari lalu.

“Selepas menerima jaminan Jokowi, saya bersedia untuk menyerah diri.

“Saya mendesak kerajaan menjaga kebajikan anak yatim dan balu bekas pejuang GAM seperti yang terkandung dalam perjanjian damai Helsinski,” jelasnya.

Perjanjian damai itu menamatkan pemberontakan GAM dan Jakarta memberi kuasa autonomi di wilayah Aceh.

Kerajaan juga dilaporkan memberi pengampunan kepada Din dan pengikutnya.

Din, 37, dan pengikutnya diburu polis kerana melakukan pelbagai jenayah seperti rompakan dan peras ugut serta membunuh anggota keselamatan Indonesia.

Bagaimanapun, dia dianggap sebagai ‘Robin Hood’ oleh penduduk tempatan kerana memeras ugut dan merompak pengedar dadah sebelum hasil rompakan diagih kepada balu pejuang GAM yang diabaikan pemimpin GAM yang kini berkuasa. –mynewshub

Melaka United Terima Tajaan RM5 Juta Daripada Edra

Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) bakal menerima tajaan berjumlah RM5 juta daripada Edra Global Energy Bhd (Edra), bagi memperkuat pasukan Melaka United dalam Liga Malaysia (Liga-M).


Melaka United Terima Tajaan RM5 Juta Daripada Edra

Syarikat penjana dan pembekal tenaga elektrik itu akan menyuntik wang itu secara berperingkat iaitu RM3 juta pada tahun hadapan dan RM1 juta setahun untuk dua tahun berikutnya.

Ketua Pegawai Operasi Edra Mohd Nor Ali berkata, tajaan itu merupakan penghargaan kepada kerajaan negeri dan penduduk Melaka yang banyak memberi peluang kepada syarikat itu menjalankan urusan dalam sektor perindustrian.

"Kami gembira menjadi sebahagian daripada pembangunan Melaka dalam sukan dan perniagaan, kita juga harapkan Melaka United lebih berjaya dan maju pada masa akan datang.

"Ini merupakan sumbangan pertama kami kepada persatuan bola sepak dan kita juga mengharapkan pasukan ini akan lebih melipat gandakan usaha untuk lebih maju seperti pasukan lain," katanya kepada pemberita di sini.

Melaka United yang dibimbing jurulatih berpengalaman Mat Zan Mat Aris bakalbermain dalam saingan Liga Perdana tahun depan selepas menjuarai Liga FAM tahun ini.

Timbalan Presiden MUSA Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata jumlah itu merupakan antara tajaan terbesar yang pernah diterima pasukan itu.

Beliau berkata tajaan itu terus menjadi pencetus semangat kepada pasukan Melaka United untuk berusaha lebih kuat bagi memastikan kejayaan pasukan.

"Ini permulaan yang bagus untuk pasukan kerana dah mula mendapat kepercayaan syarikat besar. Mungkin sumbangan ini juga dapat membuka mata syarikat lain untuk sama-sama menaikkan lagi Melaka United, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangannya," katanya.-Bernama

MEVTA Rayu Beri Peluang Berniaga Vape

Persatuan E-Vaporizer dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) merayu supaya diberi peluang menjalankan perniagaan vape mengikut garis panduan yang akan dikeluarkan Kementerian Kesihatan kelak.


MEVTA Rayu Beri Peluang Berniaga Vape

Naib Presidennya, Ikhbal Zakaria turut meminta supaya kementerian itu membuka ruang kepada pihaknya untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai tatacara penjualan rokok elektronik itu.

"Kami rayu bagi pihak vapers tolonglah berlaku adil pada kami. Kami ada kepakaran dan pengalaman dalam industri vape jadi berilah peluang kepada kami untuk membantu...beri kami peluang untuk berbincang. Kita tidak minta ubah Akta tetapi kita cuma minta garis panduan bagaimana untuk jalankan perniagaan vape.

"Jika perlu ada lesen (untuk jalankan perniagaan vape) kami akan patuh. Garis panduan tidak keluar lagi tetapi kami telah dilabel seolah-olah penjenayah menyebabkan jualan vape menjunam sehingga ada pengusaha vape yang gulung tikar,"katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Ikhbal turut mempersoalkan penguatkuasaan 'berat sebelah' ke atas vape berbanding rokok yang turut diputuskan sebagai haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1995. 

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai pelik kerana selepas Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan rokok adalah haram, tiada tindakan susulan diambil sedangkan apabila vape turut diputuskan sebagai haram, langkah penguatkuasaan dilakukan ke atas perniagaan rokok elektronik itu setiap hari.

"Kami tidak menentang fatwa malah kami akur dengan keputusan pengharaman vape. Cuma apa yang kami kesalkan rokok memang terbukti berisiko tinggi terhadap kesihatan tetapi anda tidak boleh berbuat apa-apa tentangnya. Kesan penggunaan vape terbukti leb rendah risiko," katanya.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin pada sidang media selepas Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Isnin lepas, berkata semua ahli muzakarah bersetuju penggunaan rokok e-rokok dan vape adalah haram.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dilaporkan berkata kementerian itu tidak bercadang mengharamkan penjualan vape dan hanya memutuskan mengawalnya meskipun Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Dr Hilmi juga berkata pihaknya akan terus mengawal penjualan vape di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2011.

Ikhbal dalam pada itu berkata, industri vape turut menyumbang kepada ekonomi negara di mana pada tahun ini sahaja, industri itu mencatatkan jualan RM2.8bilion.

"Kami menyumbang kepada ekonomi negara tanpa bantuan kerajaan. Semua pekerja kami adalah orang tempatan dan tiada warga asing. Malah pasaran vape di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia sehinggakan China dan Amerika Syarikat mengiktiraf industri vape di Malaysia," katanya.-Bernama

'Memiliki Kapak Dipenjara, Memiliki Derma Tak Perlu Dipenjara' - Netizen

Seorang peniaga dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun oleh Mahkamah Seksyen, atas kesalahan memiliki kapak tanpa kebenaran.


'Memiliki Kapak Dipenjara, Memiliki Derma Tak Perlu Dipenjara' - Netizen

Mohd Bakri Mohd Adnan, 43, dijatuhkan hukuman penjara selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus, yang bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 November 2014.

Tertuduh didakwa memiliki kapak berukuran 44 sentimeter di dalam kereta Perodua Kancil tanpa kebenaran yang sah di Jalan Bukit Gedombak, Pasir Puteh, jam 5.45 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata 1958, jika didapati bersalah, boleh dipenjarakan maksimum 10 tahun atau sebat.

Sementara itu di media sosial, netizen mempertikaikan keputusan mahkamah itu dan turut menjadi bahan gelak ketawa mereka.

"Memiliki kapak dipenjara, memiliki derma entah dari mana tak kena penjara pula. Taiklah!" kata Saiful Anuar.

"Selepas ini, beli pemutar skru pun kena ada lesen juga. Apakah bodohnya kejadian ini? Semakin lama semakin gila pula duduk di Malaysia ini," kata Azam.

"Susahlah nak gi kebun bawa kapak atau parang sekarang. Bawa minyak cap kapak sajalah.

"Sepatutnya siasat apa motif dia bawa kapal dalam kereta dan siasat latar belakang dia. Kalau latar belakang bersih dan bawa kapak atas kegunaan kerja, maka memang malanglah nasib rakyat Malaysia sekarang. 5 Tahun hukuman penjara, bukan ringan. Siapa nak tanggung anak isteri dia? Hanya kerana kapak, dia dipisahkan dari keluarga dan dunia luar," kata Syahzwan Ibrahim. - THEHYPEMEDIA.COM

Tiga Suspek Termasuk Wanita Tikam Pekerja Astro

Polis memburu tiga suspek, termasuk seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kes seorang petugas stesen televisyen swasta cedera parah ditikam di sebuah pangsapuri di Jalan Usahawan, Setapak, Jumaat lepas.


Tiga Suspek Termasuk Wanita Tikam Pekerja Astro

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata semua suspek yang telah dikenal pasti itu berusia 20 hingga 23 tahun.

"Tiga suspek yang dikenal pasti merupakan seorang suspek utama termasuk teman wanitanya serta rakan kepada suspek utama," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mohamad Roy berkata sebelum ini, polis telah menahan dua suspek lelaki pada Sabtu lepas yang kini direman sehingga Rabu ini.

Mengenai keadaan mangsa yang ditikam, Mohamad Roy berkata Ahmad Hawari Zakaria, 32, masih lemah dan kemungkinan polis hanya dapat mengambil keterangannya dalam dua atau tiga hari lagi.

Terdahulu, beliau hadir pada majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Pada majlis serah terima tugas itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Kuala Lumpur Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dilantik sebagai Komander Pasukan Keselamatan PDRM, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang akan memulakan tugasnya pada Rabu ini.

Jawatan lama beliau pula dipangku oleh Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain.-mstar

Guru Maut Terkena Tayar Lori Bauksit Tercabut

Seorang guru wanita maut setelah kereta yang dinaikinya terkena tayar tengah lori membawa muatan bauksit yang tercabut di Jalan Pintasan-Pelabuhan berhampiran Sungai Karang, di sini petang Isnin.

Guru Maut Terkena Tayar Lori Bauksit Tercabut

Pegawai Turus Trafik Pahang, DSP Ahmad Nazri Zainal berkata, mangsa Nohaili Ahmad Zabidi, 40, merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Balok.

"Kejadian berlaku pada pukul 3 petang apabila tayar tengah sebelah kanan lori yang dari arah Kuantan menghala ke Pelabuhan Kuantan itu telah tercabut dan terpelanting ke bahagian hadapan kereta Perodua Myvi yang dinaiki mangsa dari arah bertentangan.

"Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan penumpang hadapan kenderaan berkenaan cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Namun pemandu kereta tersebut yang berusia 42 tahun tidak cedera," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Ahmad Nazri berkata, polis sedang mengesan pemandu lori berkenaan yang syarikatnya beralamat di Puchong, Selangor, kerana dipercayai melarikan diri sejurus selepas kemalangan itu berlaku.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pemandu lori berkenaan diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Cristiano Ronaldo Buka Hotel CR7

Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo mula memikirkan tentang pelan persaraan dengan mengakui dia tidak mampu menjadi pemain bola sepak untuk selamanya.


Cristiano Ronaldo Buka Hotel CR7

Berikutan itu, pemain kebangsaan Portugal berusia 30 tahun yang dijangka akan meninggalkan Real Madrid pada penghujung musim ini mula mengorak langkah dengan mewujudkan peniagaan baharu untuk pelan persaraan.

Pada Khamis, Ronaldo mendedah akan membina Hotel CR7 di tiga bandar utama iaitu di Funchal, Lisbon dan Madrid sebagai cabang perniagaan baru.

Dalam pendedahan itu juga, Ronaldo bercadang untuk menjadikan New York sebagai denstinasi seterusnya Hotel CR7 beroperasi.


Bekas pemain Manchester United itu juga mewujudkan hubungan perniagaan dengan Kumpulan Hotel Pestana yang akan menguruskan hotel berkenaan.

"Kerja saya adalah untuk bermain bola sepak, tetapi hidup tidak selalu seperti ini.

"Saya perlu mendedikasikan diri kepada projek baru dan saya mempunyai kumpulan yang terbaik di sekeliling saya.

"Saya berfikir tentang masa depan, anak dan keluarga," jelasnya.-mstar

Selepas 4 Tahun, Beego Akhirnya Bebas Tuduhan Khalwat

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Selasa mendapati pelakon Beego dan dua rakannya tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan dua wanita di sebuah rumah empat tahun lalu.


Selepas 4 Tahun, Beego Akhirnya Bebas Tuduhan Khalwat

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin dalam keputusannya memerintahkan Beego atau nama sebenarnya, Aszerul Nizam Abdullah, 35, Fikry Zainon, 35, dan Arsli Mior Atan Ahmad, 34, dibebaskan tanpa perlu membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Ketika membacakan keputusan tersebut, Shaiful Azli memberitahu mahkamah, keterangan saksi ditampilkan pihak pendakwaan jelas berlaku banyak percanggahan dan tidak konsisten sehingga menimbulkan keraguan terhadap kes berkenaan.

Malah siasatan pihak penguatkuasa ditempat kejadian tidak lengkap selain dilakukan secara rambang dan tidak menyeluruh termasuk tidak memeriksa bilik-bilik yang berada dalam tempat kejadian.

Shaiful Azli dalam keputusannya juga memerintahkan bon jaminan yang dikenakan terhadap ketiga-tiga mereka turut dicairkan.

Terdahulu mereka didakwa berkhalwat dengan dua kenalan wanita iaitu Hadijah Mohamad Mokhar dan Azlina Yazit di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang di sini pada pukul 6 pagi pada 23 Februari 2011.

Azlina dan Hadijah yang berusia awal 30-an mengaku bersalah pada Mei 2012 atas tuduhan itu dan masing-masing membayar denda berjumlah RM3,000 setiap seorang.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan Seksyen 20(1)(b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Beego diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan manakala pendakwaan dilakukan oleh Aiman Roslan.

Sementara itu, Beego yang ditemui diluar mahkamah memberitahu bersyukur dengan keputusan dibuat mahkamah dan bukti dia dan rakan-rakannya tidak bersalah.

Jelas Beego, perjuangannya selama empat tahun nyata tidak sia-sia selain dapat membersihkan namanya yang tercalar sepanjang tempoh itu.

"Saya sudah hampir putus asa tetapi saya sedar kalau saya mengaku bersalah ia akan memberi kesan berpanjangan kepada saya.

"Alhamdulillah keputusan dibuat mahkamah hari ini membuktikan saya dan rakan-rakan tidak bersalah," katanya dalam nada sebak.

Beego telah berkahwin dengan pelakon Linda Hashim pada 8 Jun 2013 dan dikurniakan cahaya mata bernama Jelita Clarissa yang lahir pada 23 April 2014.

Linda dijadual melahirkan anak kedua pada Januari 2016.-mstar

Kemelut Perkahwinan Farah Asyikin Gagal Diselesaikan

Pendamai atau hakam dari ahli keluarga yang dilantik oleh penyanyi Farah Asyikin dan suaminya, Zaahier Stanley gagal mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut perkahwinan pasangan itu.


Kemelut Perkahwinan Farah Asyikin Gagal Diselesaikan

Sehubungan itu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa memerintahkan pelantikan hakam mahkamah sebagai usaha terakhir menyelamatkan rumah tangga mereka.

Hakim Syarie, Umamuddin Yunus membuat keputusan itu selepas mendengar pembentangan laporan hakam (orang tengah) yang dibuat sebelum ini.

Terdahulu, Farah, 35, melantik abang iparnya, Kamarul Bahrin Mohamad sebagai hakamnya manakala Zaahier Stanley diwakili oleh rakan baiknya, Hussin Abdul Razak.

Umamuddin menangguhkan kes berkenaan untuk sebutan semula pada 21 Disember ini.

Farah hadir di mahkamah bersama anggota keluarganya dan diwakili peguam syarie Siti Maisyarah Hashim manakala Zaahier, 38, diwakili peguam syarie Nurfarhana Abdul Manaf.

Terdahulu, Farah memfailkan penceraian tersebut pada penghujung Oktober tahun lalu.

Farah dan Zaahier yang juga seorang warganegara Afrika Selatan yang berketurunan Melayu Cape berkahwin pada 15 Februari 2013 selepas berkenalan selama setahun menerusi Twitter.

Hasil perkahwinan tersebut pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Ebrahim Owais yang berusia 18 bulan.-mstar

Jepun Cipta Telefon Pintar Yang Boleh Dicuci

Sebuah syarikat di Jepun berjaya mencipta sebuah model telefon pintar pertama yang boleh dicuci oleh penggunanya.


Jepun Cipta Telefon Pintar Yang Boleh Dicuci

Telefon berukuran lima inci yang menggunakan sistem operasi android itu diberi nama Digno Rafre dan dikhabarkan bakal dilancar pada minggu hadapan.


Jepun Cipta Telefon Pintar Yang Boleh Dicuci

Tiada sebarang risiko telefon ini akan rosak sekiranya basah kerana ianya dicipta kalis air dan tahan lasak.


Jepun Cipta Telefon Pintar Yang Boleh Dicuci

Untuk mencuci telefon tersebut, pihak pengeluar mencadangkan ianya dicuci gunakan sabun terlebih dahulu sebelum dibilas dengan air paip. –mynewshub

Kate Middleton Pertama Kali Pakai Tiara Kegemaran Puteri Diana

Isteri kepada pewaris takhta diraja Britain, Kate Middleton buat pertama kali memakai tiara kegemaran milik mendiang Puteri Diana.


Kate Middleton Pertama Kali Pakai Tiara Kegemaran Puteri Diana

Portal Mail Online melaporkan Duchess of Cambridge itu dilihat memakai tiara berkenaan sewaktu menghadiri majlis diplomatik tahunan di Istana Buckingham, London.

Tiara tersebut merupakan kegemaran Puteri Diana semasa hayatnya.

Tiara itu pada asalnya dibuat mengikut rekaan Ratu Mary, isteri kepada Raja George V pada 1914 dengan hiasan bertakhtakan mutiara dan berlian.

Dalam wasiatnya, Ratu Mary mewariskan tiara berkenaan kepada Ratu Elizabeth.

Pada 1981, baginda memberikan tiara tersebut kepada Diana yang merupakan ibu Putera William.

Diana memakainya buat pertama kali semasa pembukaan parlimen pada November tahun berkenaan.

Diana turut memakai tiara tersebut pada 1985 dalam lawatan rasminya ke Washington, Amerika Syarikat (AS) bersama Putera Charles.

Bagaimanapun, Istana Buckgham belum dapat mengesahkan sama ada tiara berkenaan telah dikembalikan kepada Ratu Elizabeth berikutan kematian Diana dan kini diberikan kepada Kate, atau hanya sekadar dipinjamkan untuk dipakai pada majlis itu.-mstar

Kelab Borussia Dortmund Bertafakur Seminit untuk Tunku Abdul Jalil

Kelab bola sepak Borussia Dortmund bertafakur selamat seminit pada Sabtu sebelum perlawanan menentang Kelab Wolfsburg sebagai tanda memberi penghormatan susulan kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.


Kelab Borussia Dortmund Bertafakur Seminit untuk Tunku Abdul Jalil


Pasukan dari Jerman itu berdiri untuk bertafakur selama seminit sebelum perlawanan menentang VfL Wolfsburg di Volkswagen Arena.
"Pasukan Borussia Dortmund ingin mengucapkan takziah kepada Duli Yang Amat Mulia (Tunku Mahkota Johor, Tunkur Ismail Sultan Ibrahim) atas kemangkatan adinda tersayang dan untuk semua sahabat kami di Malaysia ����", tulis pasukan itu di Facebook rasmi mereka.


Kelab Borussia Dortmund Bertafakur Seminit untuk Tunku Abdul Jalil

Pasukan Borussia Dortmund dan Johor Southern Tigers bekerja sama dalam membangun dan melatih bakat-bakat- baharu bagi golongan kanak-kanak dan golongan belia Malaysia.

Almarhum Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim Ismail mangkat pada malam Sabtu jam 7.11 malam di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu akibat kanser hati. - Siakapkeli

Sokong Tun M Pun Akan Didakwa?

Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung bahan yang dimuatnaik pada laman blognya bertarikh 2 September lalu.

Zaid dipercayai dengan niat menggunakan aplikasi Internet untuk mengeluarkan kenyataan menggunakan bahasa kesat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengikut Seksyen 233 (1) (a) akta berkenaan.


Sokong Tun M Pun Akan Didakwa?

Keterangannya dirakamkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 2.15 petang, Khamis.

Zaid diiringi dua peguam meninggalkan balai berkenaan sejam kemudian.

"Saya dipanggil ke ibu pejabat ini untuk merakamkan keterangan dan menyerahkan paparan skrin blog termasuk teks menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta supaya Najib meletak jawatan," kata Zaid.

Zaid berkata, beliau sedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

"Di negara demokratik, kita sepatutnya diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan untuk manfaat negara," katanya di luar balai berkenaan.

Kenyataan Zaid pada blognya, www.zaid.my bertajuk "Rally Behind Tun Mahathir Mohamad".

Beliau juga dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara sama dan disiasat mengikut Akta Hasutan pada November lalu.-mstar

SPRM Tetapkan Tarikh Ambil Keterangan PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan pihaknya mengadakan pertemuan dengan Pejabat Perdana Menteri pada Khamis.

SPRM Tetapkan Tarikh Ambil Keterangan PM

"Ia bagi memuktamadkan tarikh mengambil keterangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion," menurut kenyataan SPRM.

SPRM juga memberitahu pihaknya akan memaklumkan perkembangan perkara itu dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, dilaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed ke Menara Parlimen untuk menemui Perdana Menteri berhubung perkara sama.

Pada 12 November lepas, Abu Kassim berkata SPRM telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu, dan Najib bersetuju untuk kenyataan beliau dirakamkan.

Ketika itu beliau berkata SPRM menunggu tarikh untuk menemu bual Najib berhubung isu yang berkaitan dengan siasatan itu.

Najib pada hari yang sama, berkata beliau bersedia untuk memberi kenyataan kepada SPRM.

SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.-mstar