Punca Pele Saman Syarikat Samsung RM169 Juta


Lagenda bola sepak Brazil, Pele memfailkan saman sebanyak 21 juta pound (RM169 juta) terhadap syarikat gergasi elektronik Korea Selatan selepas mendakwa menggunakan imej menyerupai wajahnya dalam sebuah iklan.

Punca Pele Saman Syarikat Samsung RM169 Juta

Menurut writ saman yang difailkan di sebuah Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Chicago, iklan tersebut yang dikeluarkan dalam New York Times tidak mendapat kebenaran Pele.

Iklan tersebut memaparkan wajah seorang lelaki berkulit hitam yang menyerupai Pele.

Terdapat satu gambar kecil yang menunjukkan seorang pemain bola sepak membuat aksi sepakan gunting seperti yang pernah dilakukan Pele.

Pele, 75, atau nama penuhnya Edson Arantes do Nascimento disifatkan sebagai pemain terbaik sepanjang zaman.

Beliau membantu Brazil memenangi Piala Dunia pada 1958 dan 1970 serta menjaringkan gol pada dua aksi final kejohanan tersebut.

Samsung dipercayai menggunakan iklan tersebut selepas rundingan untuk menggunakan imej Pele bagi mempromosikan produk keluarannya gagal mencapai kata sepakat pada 2013.

Bintang sensasi itu kini banyak memperolehi pendapatan menerusi lantikan sebagai duta produk.

Aduan itu juga mengatakan iklan Samsung akan menjejaskan nilai hak Pele sebagai duta dan mengelirukan pengguna bahawa beliau menyokong produk keluaran syarikat tersebut.

Selain menuntut ganti rugi, peguam Pele berkata beliau mahu mengelak penyalahgunaan imejnya pada masa hadapan.

Tuntutan saman itu difailkan oleh Pemilikan Pele IP LLC yang memiliki hak tanda dagangan dan publisiti bekas bintang dunia tersebut.

Peguam Pele, Frederick Sperling turut pernah mewakili bekas bintang bola keranjang Chicagi Bulls, Michael Jordan.-mstar

Filled Under: