Suasana Di Bilik Taklimat Terlalu Senyap, Bunyi Pin Jatuh Dapat Didengar


Penyiasat nahas udara membuat kesimpulan bahawa pesawat Malaysia Airlines MH17 telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu yang dilancarkan dari kawasan dikuasai pemberontak di timur Ukraine, kata sumber yang rapat dengan siasatan.


Suasana Di Bilik Taklimat Terlalu Senyap, Bunyi Pin Jatuh Dapat Didengar

Rusia bagaimanapun pantas menafikan dakwaan itu.

Hasil kajian itu mungkin akan memburukkan lagi ketegangan antara Rusia dan Barat, kerana hubungan tegang berhubung konflik di Ukraine dan kemasukan Moscow dalam perang di Syria.

"Ia adalah satu peluru berpandu BUK yang mengenai bahagian atas sebelah kiri kokpit," kata seorang daripada saudara mangsa, Robby Oehlers kepada pemberita dalam keadaan pucat, selepas diberi taklimat oleh pegawai-pegawai Belanda di The Hague.

Beliau berkata gelombang kesedihan menyelubungi segenap ruang bilik taklimat yang dihadiri beratus-ratus saudara-mara yang kehilangan orang tersayang.

Taklimat diberikan oleh Pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda, Tjibbe Joustra.

"Mereka menunjukkan kepada kami serpihan yang berada di dalam pesawat," kata Oehlers, sambil menambah suasana di dalam bilik itu 'terlalu senyap, sehingga bunyi pin jatuh dapat didengari'.

Kumpulan anggota penyiasat yang dipimpin Belanda mahu menamatkan 15 bulan spekulasi mengenai mengapa Boeing 777 meletup di udara tahun lepas, membunuh semua 298 orang di atas kapal.

Hasil kajian yang dilaporkan itu pantas dipertikaikan oleh pembuat peluru berpandu Almaz-Antey, malah sebelum pendedahan rasmi laporan penyiasat dibuat pada pukul 6.15 petang, di pangkalan udara Belanda.

Sebelum itu, memetik tiga sumber yang rapat dengan siasatan, akhbar harian Volkskrant yang dihormati berkata siasatan itu telah mendapati pesawat itu ditembak oleh peluru berbandu permukaan ke udara (BUK) pada 17 Julai 2014 ketika sedang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Menurut Volkskrant, laporan itu mengandungi peta lokasi kemalangan, di mana bangkai pesawat bertaburan di seluruh kawasan berhampiran kampung Grabove, sebuah kampung orang Ukraine dan kawasan perang di Donetsk yang dikawal oleh pemberontak.

Ia menolak perdebatan Moscow bahawa pesawat itu telah dibedil oleh peluru berpandu yang dilancarkan oleh tentera Ukraine kerana ia terbang kira-kira 10,000 meter di atas wilayah itu, kata akhbar itu lagi.-mstar

Filled Under: