Gaji Minimum Pekerja Swasta Semenanjung RM1,000


Gaji minimum pekerja swasta bagi semua sektor di Semenanjung Malaysia bakal dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Gaji Minimum Pekerja Swasta Semenanjung RM1,000

Beliau yang juga Menteri Kewangan menyatakan perkara itu ketika membentangkan Bajet 2016. Peraturan gaji minimum mula dilaksanakan pada 1 Januari 2013 bagi disesuaikan dengan keadaan kos sara hidup ketika itu.

Isu tersebut telah lama diperjuangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) susulan aduan banyak pekerja pada waktu itu menerima gaji asas yang jauh lebih rendah berbanding beban kos sara hidup sebenar.

Ia juga bagi menggalakkan pihak majikan swasta mengurangkan pergantungan sumber buruh daripada pekerja asing dan sekali gus menarik minat anak muda tempatan untuk berkhidmat dalam sektor yang kurang popular.

Kementerian Sumber Manusia yang mewartakan kadar upah minimum turut mengambil kira maklum balas pihak Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) pada ketika itu termasuk beban besar kos kewangan perlu ditanggung.

Najib pada pembentangan Bajet 2016 turut mengumumkan kadar baharu gaji minimum untuk pekerja swasta di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga akan dinaikkan daripada hanya RM800 kepada RM920.

Kadar baharu gaji terendah berkenaan bakal mula dilaksanakan pada 1 Julai 2016, namun ia tidak meliputi sektor pembantu rumah yang masih lagi mengekalkan mekanisme penentuan upah berasaskan hukum pasaran semasa.

Terdahulu, beliau mengumumkan gaji permulaan terendah dalam perkhidmatan awam akan ditetapkan kepada RM1,200 sebulan, sekali gus bakal memanfaatkan 60,000 penjawat awam yang kini menerima gaji cukup kecil.

Perkara itu pernah dibangkitkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ekoran rungutan kakitangan peringkat rendah yang ada bergaji bulanan di bawah garis kemiskinan tegar RM900.

Mengulas lanjut, Najib ketika pembentangan Bajet 2016 itu turut memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menambah baik beberapa perkara lagi bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti kakitangan sektor awam.

Ini termasuk usaha berterusan untuk menambah baik 252 skim perkhidmatan sedia ada yang bakal memberikan manfaat besar kepada kira-kira 406,000 orang penjawat awam di seluruh negara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Filled Under: