Lin Dan Idam Gelaran Pertama Terbuka Malaysia 2015


Pemain nombor tiga dunia, Lin Dan mahu melengkapkan koleksi gelaran dengan meraih kejuaraan Super Siri Premier Terbuka Malaysia 2015 yang sedang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil.


Lin Dan Idam Gelaran Pertama Terbuka Malaysia 2015, info sukan, Badminton, Lin Dan

Pemain China berusia 31 tahun itu berkata walaupun beliau telah merangkul kejuaraan Piala Thomas dan Kejohanan Dunia di Malaysia, beliau belum pernah menjuarai sebarang gelaran di Terbuka Malaysia.

"Hari ini adalah perlawanan rasmi saya sejak semalam (Rabu), setelah lawan saya memberikan kemenangan percuma. Pada hari ini saya berdepan tentangan sengit kerana dia (H.S Pranoy) hampir menundukkan Jan O Jorgensen pada kejohanan lepas.

"Kesemua pemain yang beraksi kali ini tidak boleh dipandang mudah, saya perlu mencurahkan segala kudrat sekarang," katanya, sambil menambah bahawa beliau perlu bersedia berdepan sesiapa sahaja lawan pada pusingan seterusnya.

Lin Dan berkata usia bukan penghalang kepada beliau atau pemain lain,  selagi mereka boleh mengekalkan tahap fizikal masing-masing.

"Tidak kira bagaimana cara anda bermain, anda perlu bertarung lima perlawanan untuk menjadi juara pada kejohanan ini," katanya.

Lin Dan mencapai kemuncak dalam kerjaya profesional pada 2001, selepas muncul juara pada Kejohanan Remaja Asia 2000 dalam acara berpasukan dan perseorangan remaja lelaki.

Beliau adalah juara Olimpik sebanyak dua kali, juara dunia lima kali dan juara All-England lima kali.

Lin Dan dianggap pemain perseorangan paling hebat sepanjang zaman, kerana pada usia 28 tahun, beliau melengkapkan gelaran 'Super Grand Slam', selepas menjuarai kesemua sembilan gelaran utama dalam kejohanan badminton dunia - Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, Piala Dunia, Piala Thomas, Piala Sudirman, Super Siri Masters Final, All-England, Sukan Asia dan Kejohanan Asia.

Lin Dan adalah satu-satunya pemain yang mencapai kejayaan luar biasa seumpama itu.


Sumber : mstar online

Filled Under: