Lima Bulan Chong Wei Menghitung Harap


Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mengakui tempoh penggantungan sementara selama lima bulan ini, selepas didapati positif kes doping adalah saat yang sukar baginya.


Lima Bulan Chong Wei  Menghitung Harap, info sukan, sensasi, berita, sukan badminton, lee chong wei

Namun, Chong Wei berkata, dia kini lega sedikit selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menetapkan 11 April ini, sebagai tarikh panel pendengaran kes dopingnya, di Amsterdam, Belanda.

“Bulan pertama selepas mendapat tahu saya positif doping, saya tidak boleh menerima keputusan itu...saya tidak pernah gagal doping sebelum ini.

“Keputusan pada 11 April ini penting untuk perjalanan karier saya. Saya mengharapkan keputusan memihak kepada saya bagi membolehkan saya menyertai Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil.

“Dalam tempoh lima bulan ini walaupun sukar, saya cuba kuatkan diri dan teruskan latihan seperti biasa. Saya perlu pastikan mental dan fizikal saya dalam keadaan baik,” katanya sebelum memulakan latihan di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini.

Chong Wei kini digantung sementara oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang ‘dexamethasone’ ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lalu.

Chong Wei yang bakal menimang cahaya mata kedua, berkata sepanjang tempoh penggantungannya itu, dia meluangkan masa bersama isteri, Datin Wong Mew Choo dan anak sulung, Kingston Lee.

“Saya berterima kasih kepada semua yang memberi semangat kepada saya selama tempoh penggantungan ini.

“Saya harap dapat beraksi di gelanggang dalam masa terdekat,” katanya.

Mew Choo yang juga bekas pemain perseorangan wanita negara, sedang mengandung lima bulan. - Bernama


Sumber : hmetro

Filled Under: