Ada Gerakan Jatuhkan Zizan Razak - Norman KRU


Pengarah Urusan KRU Studios, Norman Abdul Halim merasakan terdapat gerakan yang cuba menjatuhkan imej dan reputasi pelawak Zizan Razak, 31.



Norman berkata, perkara itu disedarinya sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila nama pelawak itu sering dikaitkan dengan beberapa berita buruk.

"Saya perhatikan sepanjang beberapa bulan ini seperti ada satu gerakan yang cuba untuk menjatuhkan Zizan.

"Bagaimanapun, saya tidak tahu siapa di belakang dia atau mungkin ada orang tidak suka pada dia, itu saya tidak tahu," ujarnya ketika sidang media selepas majlis tayangan perdana filem Cicakman 3 yang diadakan di Cathay Cineplax, di sini, malam Selasa.

Norman berkata demikian dalam memberi pandangan terhadap isu-isu negatif yang timbul terhadap Zizan sehingga menjejaskan reputasinya sebagai seorang artis.

Selain itu, katanya, kontroversi bercinta dengan Naib Presiden Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin itu juga merupakan perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan.


"Saya dengar tentang kisah cinta dia, saya tergelak, dan bila saya tahu siapa wanita itu, lagilah saya tergelak. Tidak payah beratkan isu ini.

"Bila orang cari salah dia itu akan membuatkan dia tertekan dan sentiasa melarikan diri. Saya pernah lalui apa yang dia lalui sekarang. Kadang-kadang kontroversi itu berat sangat sampai kita tidak mahu berhadapan dengan orang ramai," ujarnya.

Tambahnya, jika perkara buruk itu berlarutan ia mampu menyekat bakat pelawak tersebut sebagai seorang pelakon yang baik.

"Saya kenal dia sudah lama dan menganggapnya sebagai sahabat, bagi saya jika perkara remeh ini diperbesarkan ia akan menyekat bakat dia.

"Sayang bakat yang dia ada, dia bukan sahaja boleh melawak, tetapi boleh juga berlakon dengan baik dan saya berharap kita tidak membesarkan isu-isu remeh itu," ujarnya.

Sementara itu, Zizan ketika minta mengulas tentang gerakan menjatuhkannya, dia menganggap itu merupakan persepsi orang luar yang melihat perkembangan kerjayanya.

Katanya, ia adalah perkara negatif itu sebagai satu dugaan yang perlu dilaluinya.

"Saya tidak tahu tentang itu, pada saya itu adalah persepsi orang lebih profesional yang nampak apa berlaku kepada saya.

"Semakin saya buat perkara yang positik, semakin banyak pula perkara negatif yang datang. Ini semua adalah dugaan dalam hidup," ujarnya.

Sumber : mstar.com.my

Filled Under: