Memaparkan catatan dengan label Uji Bakat AF 2015 Melalui Instagram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Uji Bakat AF 2015 Melalui Instagram. Papar semua catatan

Uji Bakat AF 2015 Melalui Instagram

Program realiti Akademi Fantasia 2015 bakal menampilkan kelainan apabila peserta boleh menggunakan laman sosial Instagram untuk menghantar video uji bakat masing-masing.


Uji Bakat AF 2015 Melalui Instagram, info, terkini, hiburan, berita, Instagram, AF 2015
Dari kiri; Cikgu Shahrol, Fatimah Abu Bakar dan Edrie Hashim antara tenaga pengajar Akademi Fantasia 2015.
 

Ketua Saluran Hiburan Astro, Azlin Reza Azmi berkata, kaedah itu digunakan bagi memudahkan peserta yang tidak dapat hadir ke lokasi uji bakat tanpa perlu melalui saringan pertama.

"Ideanya adalah peserta hanya perlu memuat naik video nyanyian mereka menerusi seleksi lagu yang telah disenaraikan dan meletakkan hastag #BakatAF2015 dan #HotlinkAF2015.

"Kelainan yang ditampilkan ini bukan sahaja mengikut peredaran teknologi semasa malah memudahkan mereka yang tidak dapat menghadiri sesi uji bakat," katanya kepada mStar Online.

Azlin berkata demikian dalam sidang media pengumuman jelajah AF 2015 yang diadakan di Avenue K di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Azlin berkata, biarpun durasi video di Instagram hanya 15 saat namun pihaknya yakin peserta berpotensi mampu menggunakan tempoh itu sebaiknya untuk menyerlahkan bakat nyanyian mereka.

Jelas Azlin lagi, 30 peserta terbaik menerusi kaedah itu tetap akan dipanggil untuk menjalani uji bakat bersama barisan juri yang dilantik untuk menilai para peserta.

"Sekiranya peserta tidak mempunyai akaun Instagram pihak kami dengan kerjasama Hotlink akan membuka kaunter di tiga buah negeri dan petugas akan membantu mereka merakam dan memuat naik video di laman sosial itu," jelasnya.

Tiga lokasi tersebut adalah di Berjaya Megamall, Kuantan (19 April), Suria Mall, Kota Kinabalu (25 April) dan City One Megamal, Kuching (26 April).

Sementara itu, Azlin berkata, bagi sesi uji bakat biasa, para peserta dinasihatkan supaya hadir dalam keadaan bersedia bukan sahaja untuk persembahan vokal tetapi elemen lain seperti sahsiah diri, kemahiran komunikasi dan kreativiti.

Jelasnya, dengan persaingan sengit bidang muzik hari ini, pihaknya ingin mencari bakat benar-benar menonjol dari semua aspek ditetapkan.

"Menerusi AF 2015 pihak kami ingin mencari yang terbaik dan ia bakal menjadi musim paling mencabar buat semua peserta," jelasnya.

Barisan juri yang dipilih untuk mengadili sesi uji bakat tahun ini adalah Datin Marlia Musa, Fatimah Abu Bakar, Fauziah Nawi, Edrie Hashim dan Cikgu Shahrol.

Uji bakat terbuka akan diadakan di empat lokasi iaitu The Light Hotel, Seberang Prai (2 & 3 Mei), 1Borneo Hotel, Kota Kinabalu (9 & 10 Mei), Berjaya Waterfront, Johor Baharu (23 & 24 Mei) dan Kompleks Sukan Negara Kuala Lumpur (30 & 31 Mei).

Uji bakat terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan Singapura berusia 18 hingga 35 tahun.

Dalam perkembangan sama, lapan buah lagu wajid disenaraikan untuk peserta lelaki termasuklah Matahari (Hafiz), Mewangi (Akim & The Majistret), Pencuri (Mark Adam), Pelesit Kota (Anuar Zain), Umpan Jinak Di Air Cincang (Ahmad Jais), Harus Terpisah (Cakra Khan) dan All of Me (John Legend) bagi peserta lelaki.

Manakala bagi wanita lagu wajib yang disenaraikan adalah Gilalah (Stacy), Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Sesal Separuh Nyawa (Alyah), Ya Maulai (Datuk Siti Nurhaliza), Madah Berhelah (Ziana Zain), Rindu (Amelina), Hati Ku Tang Kau Sakiti (Rossa) dan Chandelier (Sia).
 

Sumber : mstar online