Memaparkan catatan dengan label Liga Juara-Juara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Liga Juara-Juara. Papar semua catatan

Liga Juara-Juara: Barcelona Tempah Tiket Ke Pentas Akhir

Barcelona mara ke pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah (CL) buat kali kelapan selepas mencatat kemenangan secara agregat 5-3 ke atas Bayern Munich dalam aksi separuh akhir kedua di Allianz Arena awal pagi.


Liga Juara-Juara, Barcelona Tempah Tiket Ke Pentas Akhir, info sukan, bola sepak

Kemenangan 3-2 skuad tuan rumah yang dibimbing Pep Guardiola itu belum cukup untuk menghalang Barcelona mara ke aksi final di Berlin pada 6 Jun ini.

Mehdi Benatia membuka jaringan seawal tujuh minit permainan, namun penyerang Barca, Neymar menyamakan kedudukan pada minit ke-15.

Neymar sekali lagi meledak gol keduanya pada minit ke-29  sekaligus pemain antarabangsa Brazil itu kini merekodkan sembilan gol dalam aksi CL, menyamai rekod bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo dan ketinggalan satu gol daripada rakan sepasukannya, Lionel Messi.

Bayern berjaya bangkit pada babak kedua dengan menambah dua jaringan melalui Robert Lewandowski (59') dan Thomas Muller (74), namun sudah terlambat untuk mencari gol kemenangan.

Sementara itu, Barca yang dibimbing Luis Enrique ini bakal bertemu juara bertahan, Real Madrid atau Juventus dalam saingan akhir nanti yang turut mencatat penampilan pertama mereka selepas 2011 ketika kemenangan ke atas Manchester United di Stadium Wembley.

Juventus bertandang ke Stadium Bernabeu bertemu anak buah Carlo Ancelotti dengan membawa kemenangan 2-1 yang dicatat dalam aksi pertama di Turin minggu lalu.

Sebagai rekod, Barcelona pernah menjulang trofi berprestij ini pada tahun 1992,2006,2009 dan 2011. - mstar

Liga Juara-Juara: Juventus Catat Kemenangan 2-1 Ke Atas Real Madrid

Juventus menundukkan Real Madrid 2-1 dalam perlawanan peringkat separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu.


Liga Juara-Juara, Juventus Catat Kemenangan 2-1 Ke Atas Real Madrid , info sukan, bola sepak

Gol pertama Juventus dicatatkan seawal minit kesembilan menerusi bekas penyerang Real Madrid, Alvaro Morata yang berhijrah ke Juventus selepas membantu Madrid menjulang gelaran Eropah buat kali ke-10.

Madrid bagaimanapun tidak menunggu lama apabila penjaring terbanyak kejohanan, Cristiano Ronaldo berjaya mengikat perlawanan 1 -1 pada minit ke-27.

Namun, peluang untuk berada di depan kembali terbuka buat Juventus apabila pasukan itu dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Carlos Tevez dan nyata ia berjaya.

Jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti berkata keputusan 'negatif satu' itu tidak teruk berbanding persembahan dan corak permainan baik yang dipamerkan oleh pasukannya.

Bagaimanapun, beliau yang pernah membimbing Juventus dari 1999-2001 turut mengakui Madrid banyak membuat kesilapan, menyebabkan Juventus mengambil peluang untuk mengasak.

Sementara itu Juventus berazam untuk bermain lebih baik apabila turun beraksi pada peringkat kedua di Madrid pada 13 Mei ini.

Juventus kali terakhir menjuarai piala berprestij itu pada 19 tahun lalu, akan terus memburu kemunculan di final kali pertama sejak 2003.


Sumber : mstar

Liga Juara-Juara: Real Madrid, Atletico Madrid Terikat 0-0

Real Madrid dan Atletico Madrid, kedua-duanya gagal meraih sebarang jaringan dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu.


Liga Juara-Juara, Real Madrid, Atletico Madrid Terikat 0-0, info sukan, bola sepak, Real Madrid,

Pada permainan di Stadium Vicente Calderon di Madrid, keputusan terikat 0-0.

Gareth Bale mungkin mempunyai peluang terbaik buat Real Madrid seawal minit ketiga apabila dia melepasi halangan selepas kegagalan yang dibuat Diego Godin. Bagaimanapun, langkah Bale untuk membuat jaringan berjaya diatasi oleh penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak.

"Saya benar-benar gembira seperti rakan sepasukan yang lain kerana hari ini kami bekerja keras dan ia merupakan permainan yang sukar tetapi kami masih dapat mengatasinya," kata Oblak dalam satu temuramah dengan stesen televisyen Sepanyol, RTVE.

"Sudah tentu kami mahu menang tetapi juga penting yang kami tidak kalah sebagai tuan rumah," tambahnya.

"Saya tidak tahu siapa yang menjadi pilihan sekarang. Madrid merupakan pasukan yang bagus kerana mempunyai pemain-pemain yang bagus."

Real Madrid mempunyai banyak peluang keemasan dalam permainan ini namun nampaknya penampilan cemerlang Oblak dan barisan pertahanan Atletico Madrid menggagalkan kesemuanya.

Walaupun ia merupakan kerugian bagi Real Madrid, tetapi Pengarah kelab itu, Emilio Butragueno mengakui cukup berpuas hati dengan hasil tersebut.

Menurutnya, tidak dikalahkan oleh pasukan yang sering gagal ditewaskan mereka seperti Atletico Madrid sudah cukup baik.

"Adalah baik untuk mengelakkan daripada kekalahan, walaupun kita tahu betapa pentingnya mendapatkan gol sebagai pasukan tetamu. Kita memberi jaminan kepada para penyokong akan memastikan keadaan menjadi luar biasa pada perlawanan kedua nanti," kata Butragueno kepada UEFA.

"Kita semua harus percaya bahawa pasukan kita mampu memasuki peringkat separuh akhir," tambahnya.

Sumber : mstar online

Liga Juara-Juara: Bayern Munich Menang Besar Ke Atas Shakhtar 7-0

Bayern Munich menang besar ke atas Shakhtar Donetsk dengan 7-0 dalam perlawanan pusingan ke-16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi Khamis.


Liga Juara-Juara, Bayern Munich Menang Besar Ke Atas Shakhtar 7-0, info sukan, bola sepak, UEFA Champion League,

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Bayern Munich mara ke suku akhir liga itu.

Hasil jaringan 0-0 pada pertemuan pertama membuatkan Bayern Munich mempunyai misi dalam perlawanan penentuan di Munich.

Strategi itu dapat dilihat berdasarkan komposisi pemain yang diturunkan oleh pengurus pasukan, Pep Guardiola sejak awal perlawanan dengan Franck Ribery, Arjen Robben, Mario Gotze, Thomas Mueller, Bastian Schweinsteiger dan Robert Lewandowski.

Munich bernasib baik pada awal permainan yang bahary sahaja berlangsung tiga minit. Kesilapan yang dibuat Oleksandr Kucher terhadap Mario Goetze menyebabkan kad merah dilayangkan, sekali gus dikatakan sebagai kad merah paling cepat dilayangkan dalam sejarah Liga Juara-Juara.

Pengadil memberikan hadiah penalti kepada Bayern Munich yang memberikan jaringan 1-0 yang dihasilkan Thomas Mueller.

Pada minit ke-34, Bayern Munich terus menggandakan kedudukan dengan 2-0 hasil jaringan Jerome Boateng.

Pasukan terus mendominasi pada separuh masa kedua dan kelab gergasi Bundesliga Jerman itu menambah gol pada minit ke-49 daripada Franck Ribery yang memaksimumkan umpan David Alaba.

Tiga jaringan yang mendahului perlawanan itu tidak membuatkan Bayern Munich cukup berpuas hati.

Sebaliknya, empat lagi gol dicatatkan oleh kelab itu selepas jaringan yang dilakukan oleh Ribery.

Jaringan Thomas Mueller (51'), Holger Badstuber (63'), Robert Lewandowski (75') dan Mario Goetze (87') yang membolosi gawang Shakhtar terus menambahkan mata buat Bayern Munich bagi memastikan kemenangan besar dengan 7-0 dan layak mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Sumber : mstar