Memaparkan catatan dengan label Badminton. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Badminton. Papar semua catatan

Piala Thomas: Malaysia Juara Kumpulan C Tewaskan Korea Selatan

Malaysia mencapai matlamatnya untuk menjadi juara Kumpulan C selepas menewaskan Korea Selatan 3-2, pada pusingan akhir Piala Thomas peringkat kumpulan di Pusat Sukan Kunshan, Selasa.


Piala Thomas: Malaysia Juara Kumpulan C Tewaskan Korea Selatan

Pasukan Malaysia mencatat kemenangan melalui ketiga-tiga pemain perseorangan, yang menyumbangkan tiga mata manakala strategi negara untuk meraih mata awal menerusi beregu gagal.

Datuk Lee Chong Wei memulakan kutipan mata dengan menewaskan Son Wan-ho 21-18, 21-15.

Seterusnya, pasangan beregu negara Koo Kien Keat-Goh V Shem telah ditewaskan oleh gandingan Nombor 1 dunia Lee Yong-dae-Yoo Yeon-seong 16-21, 11-21.
Bagaimanapun, Iskandar Zulkarnain Zainuddin bangkit semula pada perlawanan seterusnya dengan menewaskan Lee Dong-keun 21-17, 21-15.


Pasangan Korea Selatan tidak mahu mengalah dan berjaya mengutip mata kedua mereka, sekali gus mengikat kedudukan 2-2 melalui Kim Ki Jung-Kim Sa-rang dengan menewaskan satu lagi pasangan beregu negara Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong 21-14, 24-22.

Namun, pemain berpengalaman negara Chong Wei Feng mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan penentu dengan memberikan mata kemenangan, menewaskan Jeon Hyeok-jin 21-16, 21-16 dalam perseorangan ketiga.

Malaysia, yang sebelum ini menewaskan England 4-1 dan Jerman 5-0, akan bersaing di peringkat kalah mati untuk menentukan empat pasukan pilihan utama.-mstar

'Smash' Chong Wei Diiktiraf 'Paling Kencang'

Pukulan 'smash' Datuk Lee Chong Wei dengan kekuatan 408km/sejam di Terbuka Hong Kong tahun lepas telah diiktiraf sebagai smash yang paling kencang dalam sukan badminton sejak September.


'Smash' Chong Wei Diiktiraf 'Paling Kencang'

Kelajuan itu hampir menyamai kelajuan tertinggi yang dicatatkan oleh pengeluaran kereta terpantas di dunia.

Pada masa ini, 'smash' Chong Wei yang menduduki ranking pemain nombor 2 dunia masih mendahului senarai, menurut data yang dibekalkan oleh Hawk-Eye Innovations, yang menyediakan perkhidmatan semakan-segera di kejohanan utama.

Pemain Denmark, Jan O Jorgensen berada di belakang Chong Wei dengan 'smash' berkelajuan 407km/sejam di separuh akhir Terbuka Malaysia tahun ini.

Pemain Thailand, Ratchanok Intanon yang berada di kedudukan kedua dalam badminton wanita, berada tidak terlalu jauh di belakang dan mencatat 372km/sejam di separuh akhir kejohanan yang sama di Malaysia.

Juara dunia lima kali, Lin Dan dari China mencatatkan smash 401km/sejam ketika mencatat kemenangan dalam Terbuka Jepun 2015.-mstar

Lee Chong Wei Pemain Paling Mahal Dalam Lelongan

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menjadi pemain rebutan utama dalam lelongan bagi Liga Badminton Premier 2016  yang berprestij.


Lee Chong Wei Pemain Paling Mahal Dalam Lelongan

Lelongan itu berkesudahan dengan pasukan Hyderabad Hunters memperoleh khidmat Chong Wei pada harga USD100,000 (kira-kira RM420,000) untuk menghadapi pusingan awal kejohanan itu di Mumbai, yang berlangsung mulai 2 Jan dan perlawanan akhir diadakan pada 17 Jan di sini.

Pemain Nombor 2 dunia dari India, Saina Nehwal, akan bermain untuk Awadh Warriors dari Lucknow setelah pemberi francais membayar USD100,000 (kira-kira RM420,000) untuk khidmatnya.

Persatuan Badminton India (BAI) menganjurkan liga itu setelah mengadakannya untuk kali pertama pada 2013, yang menarik penyertaan banyak pemain terkemuka dunia.

PBL 2016 melibatkan enam francais, dengan setiap francais menjadi hos bagi satu liga dua hari.

Pasukan yang mengambil bahagian ialah Delhi Acers, Hyderbad Hunters, Mumbai Rockets, Awadhe Warriors, Bengaluru Topguns dan Chennai Smashers.

Selain Chong Wei, dua pasangan beregu Malaysia juga akan menyertai kejohanan dua minggu ini.

Lim Khim Wah dan Hoon Thien How akan bermain untuk Bengaluru Topguns dengan bayaran kira-kira USD15,000 (kira-kira RM63,000) seorang.

Koo Keat Kien dan Tan Bonn Heong pula akan bermain untuk Hyderabad Hunters, dengan Koo dibayar USD36,000 (kira-kira RM151,200) dan Tan USD30,000 (kira-kira RM126,000).-mstar

Chong Wei Mara Ke Final Terbuka Perancis

Bekas pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei mara ke pusingan akhir Kejohanan Siri Super Terbuka pertamanya selepas 16 bulan apabila menewaskan pemain China, Wang Zhengming pada perlawanan separuh akhir Terbuka Perancis pada Sabtu.


Chong Wei Mara Ke Final Terbuka Perancis

Chong Wei menumpaskan lawannya yang juga pemain ke sembilan dunia , 21-7, 21-13 pada saingan yang mengambil masa 35 minit itu.

Pemain Malaysia dan berada di kedudukan nombor 19 dunia ini menewaskan pemain Jepun, Sho Sasaki, 21-9, 21-12 pada perlawanan suku akhir pada Jumaat.

Penerima pingat perak Olimpik ini bakal merebut gelaran juara ke 39 Kejohanan Siri Super Terbuka dan akan menentang juara bertahan dari Taiwan, Chou Tien-chen pada Ahad.

Tien-chen, pemain nombor lima dunia, menyingkirkan pemain nombor dua dunia, Jan O Jorgensen dengan straight set 21-11, 21-19  dalam empat perlawanan menentang pemain dari Denmark.

Sebelum ini, Chong Wei tidak pernah menentang pemain berusia 25 tahun itu, tetapi turut berwaspada dengan Tien-chen.

Pemain dari Taiwan ini layak ke pusingan separuh akhir pada tiga kejohanan iaitu Terbuka Jepun, Terbuka Korea dan Terbuka Denmark.

Chong Wei sebelum ini beraksi pada pusingan akhir Kejohanan Siri Super Terbuka Jepun pada Jun.-mstar

Terbuka Korea: Cabaran Malaysia Berakhir Di Suku Akhir

Cabaran Malaysia di kejohanan badminton Siri Super Terbuka Korea berakhir selepas gandingan Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong tewas di suku akhir di Gimnasium Olimpik 2, Seoul, Korea Selatan, Jumaat.


Terbuka Korea: Cabaran Malaysia Berakhir Di Suku Akhir

Pasangan veteran yang merupakan naib juara Kejohanan Dunia 2010 itu tunduk mudah di tangan beregu China, Fu Haifeng/Zhang Nan, 16-21, 12-21 dalam masa 31 minit.

Koo/Tan menempah tempat ke suku akhir selepas mempamerkan aksi cemerlang menjinakkan pilihan kelima, Chai Biao/Hong Wei dari China 21-14, 21-12 di pusingan kedua pada Khamis.

Untuk rekod, Koo/Tan sudah memenangi dua gelaran sejak kembali ke gelanggang pada Mei lepas iaitu di Cabaran Antarabangsa Sri Lanka pada Jun dan Cabaran Antarabangsa Rusia pada Julai lepas. - BERNAMA

Chong Wei Rangkul Trofi Terbuka Kanada

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengekalkan prestasi terbaiknya apabila menjuarai Terbuka Kanada, di Calgary, Kanada, awal pagi Isnin.


Chong Wei Rangkul Trofi Terbuka Kanada

Pada saingan itu, Chong Wei menjinakkan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long, 21-17, 21-13.

Terdahulu, beliau turut menjuarai Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat (AS), dua minggu lalu.

Ia adalah kejuaraan pertama dimenanginya selepas menjalani hukuman penggantungan selama lapan bulan akibat kesalahan doping.

Dua kemenangan yang dirangkul Chong Wei membuktikan beliau masih lagi pemain harapan negara.-mstar

Lin Dan Idam Gelaran Pertama Terbuka Malaysia 2015

Pemain nombor tiga dunia, Lin Dan mahu melengkapkan koleksi gelaran dengan meraih kejuaraan Super Siri Premier Terbuka Malaysia 2015 yang sedang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil.


Lin Dan Idam Gelaran Pertama Terbuka Malaysia 2015, info sukan, Badminton, Lin Dan

Pemain China berusia 31 tahun itu berkata walaupun beliau telah merangkul kejuaraan Piala Thomas dan Kejohanan Dunia di Malaysia, beliau belum pernah menjuarai sebarang gelaran di Terbuka Malaysia.

"Hari ini adalah perlawanan rasmi saya sejak semalam (Rabu), setelah lawan saya memberikan kemenangan percuma. Pada hari ini saya berdepan tentangan sengit kerana dia (H.S Pranoy) hampir menundukkan Jan O Jorgensen pada kejohanan lepas.

"Kesemua pemain yang beraksi kali ini tidak boleh dipandang mudah, saya perlu mencurahkan segala kudrat sekarang," katanya, sambil menambah bahawa beliau perlu bersedia berdepan sesiapa sahaja lawan pada pusingan seterusnya.

Lin Dan berkata usia bukan penghalang kepada beliau atau pemain lain,  selagi mereka boleh mengekalkan tahap fizikal masing-masing.

"Tidak kira bagaimana cara anda bermain, anda perlu bertarung lima perlawanan untuk menjadi juara pada kejohanan ini," katanya.

Lin Dan mencapai kemuncak dalam kerjaya profesional pada 2001, selepas muncul juara pada Kejohanan Remaja Asia 2000 dalam acara berpasukan dan perseorangan remaja lelaki.

Beliau adalah juara Olimpik sebanyak dua kali, juara dunia lima kali dan juara All-England lima kali.

Lin Dan dianggap pemain perseorangan paling hebat sepanjang zaman, kerana pada usia 28 tahun, beliau melengkapkan gelaran 'Super Grand Slam', selepas menjuarai kesemua sembilan gelaran utama dalam kejohanan badminton dunia - Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, Piala Dunia, Piala Thomas, Piala Sudirman, Super Siri Masters Final, All-England, Sukan Asia dan Kejohanan Asia.

Lin Dan adalah satu-satunya pemain yang mencapai kejayaan luar biasa seumpama itu.


Sumber : mstar online