Lanun Menyamar Polis Marin Dikesan Peras Ugut Nelayan

Kumpulan lanun dipercayai menyamar sebagai pegawai polis marin negara jiran dan memeras ugut nelayan tempatan antara RM10,000 hingga RM100,000, termasuk barangan berharga di sekitar perairan daerah ini.


Lanun Menyamar Polis Marin Dikesan Peras Ugut Nelayan

Timbalan Komander Polis Marin Wilayah Selatan, Superintendan Mohd Salehuddin Mat Zaman berkata, tindakan itu dilakukan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, lanun terlibat kebiasaannya menyasarkan bot nelayan pukat tunda untuk kegiatan jenayah itu.

"Kami turut memaklumkan agensi marin di Indonesia berhubung perkara ini, selain membuat aduan di Bukit Aman dan Wisma Putra untuk mengeluarkan nota diplomatik kepada negara jiran.

"Laporan kepada pihak berkuasa Indonesia diharap dapat membantu menahan pihak tidak bertanggungjawab itu," katanya kepada pemberita pada sesi dialog program kepolisian komuniti antara pihaknya dengan nelayan di Lembaga Pembangunan Ikan Malaysia di Pontian Besar, Rabu.

Beliau berkata, kumpulan lanun itu dilihat memakai uniform polis marin Indonesia ketika kejadian antara tengah malam hingga 4 pagi itu.

"Nelayan tempatan terdedah kepada kegiatan seperti ini melibatkan lanun asing kerana kedudukan kita yang hanya 20 batu nautika dari perairan Indonesia," katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis marin akan meningkatkan kawalan keselamatan terutama kekerapan rondaan bagi melindungi 1,225 nelayan tempatan.

"Sepanjang tempoh rondaan, kira-kira 10 pegawai bersama dua bot dari bahagian Taktikal Polis Marin Wilayah Selatan akan memantau dan mengawal sekitar 30 batu nautika antara Tanjung Piai dan Pulau Pisang.

"Antara November dan Disember lalu, empat aduan diterima melibatkan kegiatan memeras ugut nelayan tempatan," katanya.-mstar

Lelaki Bawa Bom Mengaku Militan

Seorang lelaki ditahan kerana mengaku sebagai anggota Kumpulan Pengganas Daesh dan mendakwa membawa bom ke Kementerian Pertahanan (Mindef), Jalan Padang Tembak di sini, kira-kira pukul 8 malam Rabu.


Lelaki Bawa Bom Mengaku Militan

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di pos pengawal setelah tiba di kementerian itu dengan menaiki sebuah teksi.

Mohamad Roy berkata hasil siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai tidak waras kerana dia mendakwa telah mendapat titah daripada Yang di-Pertuan Agong untuk ke Mindef dan bersemuka dengan orang-orang penting daripada kementerian itu.

"Sebaik tiba di pos pengawal, pemandu teksi yang mendengar lelaki itu membawa bom terus keluar meninggalkan teksi itu manakala suspek terus berada di dalam kenderaan itu," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pegawai perisikan tentera telah menarik keluar lelaki itu dari teksi berkenaan dan membawanya ke sebuah bilik di balai pengawal.

Mohamad Roy berkata pemeriksaan lanjut terhadap lelaki itu mendapati dia membawa power bank, ubat, seutas tasbih, sebatang pen, sejumlah duit syiling dan wang tunai berjumlah RM45 di dalam beg silangnya.

"Lelaki itu kemudian diserah kepada polis dan dibawa ke Balai Polis Tun Razak untuk siasatan lanjut," katanya sambil menambah kesemua barang milik lelaki itu turut dirampas.

Terdahulu, lelaki yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau disyaki menahan pemandu teksi itu di Gombak kira-kira pukul 6 petang sebelum dibawa ke Mindef.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.-mstar

Mula tukar wajah Std Sultan Muhammad IV

Kerja mengecat dan membersih Stadium Sultan Muhammad IV sudah dimulakan hari ini, bagi menukarkan wajah stadium berkenaan dengan warna merah jambu dan putih mengikut kehendak penaja utama skuad Kelantan Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman.


Mula tukar wajah Std Sultan Muhammad IV

Tinjauan Harian Metro di sekitar stadium berkenaan mendapati fasa membersih dan mengecat dilakukan oleh lebih 50 pekerja syarikat kontraktor yang dilantik.

Malah, kerja pembersihan terutamanya di bahagian astaka sudah dibuat selain pagar di bahagian dalam stadium juga dicat dengan warna putih.


Mula tukar wajah Std Sultan Muhammad IV

Pengurus Besar Impian Berkat Trading, Mohd Azilan Abidin berkata, kerja mengecat keseluruhan stadium termasuk di bahagian dalam dan luar dijangka siap dalam tempoh tiga minggu.

"Bagi kerja mengecat itu, kita menggunakan cat berkualiti jenama Kansai yang boleh bertahan lebih lima tahun.

"Lebih 50 pekerja sudah memulakan kerja pembersihan bermula 8 pagi tadi. Buat masa ini kita memberi tumpuan fasa pertama iaitu iaitu pembersihan di semua kawasan menggunakan penyembur air," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.-hmetro

Laluan Via Ferrata Kinabalu Tertinggi Di Dunia

Laluan via ferrata tertinggi dunia dunia di Gunung Kinabalu dibuka semula dengan dilengkapi beberapa ciri keselamatan tambahan baharu selepas ditutup susulan gempa bumi pada 5 Jun tahun lalu.


Laluan Via Ferrata Kinabalu Tertinggi Di Dunia

Menurut pihak pengendali laluan itu, aspek keselamatan menjadi tumpuan utama pihaknya sebelum membuka dua laluan pada ketinggian 3,520 meter dan 3,776 meter itu.

Pengarah Pemasaran Mountain Torq, Quek I. Gek berkata, laluan "Walk the Torq" untuk pendaki amatur telah dialihkan jauh dari kawasan runtuhan akibat gempa berskala 6 Richter itu.

Beliau berkata, begitu juga untuk laluan bagi pendaki berpengalaman bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Quek berkata, Mountain Torq juga menambahbaik prosedur keselamatan, termasuk mengurangkan bilangan pendaki yang perlu dikendali setiap malim iaitu daripada 10 kepada lima sahaja.

"Bagaimanapun, kami akan tetap memastikan bilangan pendaki yang perlu dipantau setiap malim tidak melebihi lapan," katanya sambil menambah pengurangan juga melibatkan laluan Low's Peak iaitu kepada lima pendaki untuk setiap malim.

Syarikat itu juga memperkenalkan sisten "aeroligne" untuk laluan Low's Peak di mana setiap pendaki perlu memasang klip dan membukanya pada jarak tertentu.

"Kami yang kelima di dunia dan pertama di Asia yang memperkenalkan sistem aeroligne ini," katanya.

Quek juga menasihatkan pendaki supaya sentiasa bersedia daripada segi mental dan fikizal jika berhasrat mendaki mengikut laluan via ferrata.

Keseluruhannya 18 terkorban ketika kejadian gempa bumi itu apabila runtuhan batu menimpa mereka.

Antara yang maut adalah pelajar Singapura dan guru mereka serta dua malim Mountain Torq.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun melancarkan pembukaan semula laluan via ferrata Gunung Kinabalu pada Selasa.-mstar

Bunga Pertama Mekar Di Stesen Angkasa Antarabangsa

Mengembangkan bunga itu yang juga boleh dimakan, adalah sebahagian daripada projek jangka panjang Nasa  yang dikenali sebagai Veggie.


Bunga Pertama Mekar Di Stesen Angkasa Antarabangsa

Ia direka untuk menghasilkan makanan dalam misi manusia ke Marikh. Autonomi seperti itu adalah kunci kepada kelangsungan hidup angkasawan di angkasa, menurut Nasa.

Krew di ISS telah menanam dan makan salad pada tahun lepas di atas kapal yang sedang mengorbit dan berharap dapat menghasilkan tomato pada tahun depan.

Tanaman sayur-sayuran di stesen itu bermula pada pertengahan 2014.

Mereka menanamnya secara 'aeroponically' - tanpa tanah, dalam persekitaran udara atau kabus.

Sistem ini memerlukan baja dan air yang lebih kurang, dan tumbuh-tumbuhan berkembang tiga kali lebih cepat daripada di Bumi, kata Nasa.

Gioia Massa, seorang saintis yang bekerja di projek Veggie, berkata tumbuhan yang ditanam setakat ini tidak sempurna tetapi telah membantu penyelidik di Bumi untuk lebih memahami bagaimana mereka membesar dalam keadaan mikrograviti.-mstar

Kereta Klon : Dia Pandang, Ketawa Sebelum Pecut - Mangsa

Sebelum memecut laju, seorang pemilik kereta klon sempat lagi ketawa apabila terserempak dengan pemilik kereta yang original.


Kereta Klon : Dia Pandang, Ketawa Sebelum Pecut - Mangsa

Menurut mangsa yang juga pemilik kereta original, Steeven Sinniah, pemilik kenderaan klon itu terserempak dengannya ketika di Jalan Jelatek pada Isnin lalu.

“Pemandunya hanya memandang saya dan ketawa sebelum memecut kenderaannya,” kata Steevan.

Menceritakan 'pertemuan' dengan 'kembar' keretanya itu, Steven berkata dia mengejar kenderaan terbabit kira-kira 400 meter sebelum menemui semula MPV klon itu di Stesen LRT Datuk Keramat.

Menurut Steven kereta itu mempunyai warna serta nombor pendaftaran yang sama dengan keretanya.

Tambah Steven lagi, dia pernah menerima saman di sekitar Kuala Muda, Kedah termasuk saman dari Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

"Saya tidak pernah melalui jalan di Kuala Muda. Saya hairan dan rupa-rupanya ia angkara MPV klon itu,” katanya sebagaimana lapor Harian Metro.

Steven juga berkata dia telah membuat laporan polis mengenai perkara itu di Balai Polis Damansara sebelum memuat naik gambar itu di Facebook sehingga menjadi 'viral'.

Jurucakap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata pihaknya akan menyiasat aduan yang dibuat oleh pengadu.

"Pemeriksaan akan dilakukan terhadap MPV klon itu di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi menentukan sama ada nombor enjin kenderaan didaftarkan mengikut nombor pendaftaran MPV itu.

"Jika terdapat kesan nombor enjin itu cuba diubahsuai seperti dikikis, maka kenderaan itu boleh disenarai hitamkan," katanya. — Siakapkelib

Kunjungan Will Smith Ke Kuala Lumpur Jadi Viral

Kemunculan aktor terkenal Hollywood, Will Smith di Kuala Lumpur pada petang Isnin mengejutkan ramai pihak.


Kunjungan Will Smith Ke Kuala Lumpur Jadi Viral

Beberapa keping foto bintang Men In Black itu bersalaman dengan para peminatnya di pusat beli-belah Mid Valley turut menjadi viral di media sosial.

Menerusi foto yang tersebar di Facebook dan Twitter itu, orang ramai kelihatan terkejut apabila terserempak dengan Smith berhampiran sebuah restoran di pusat beli-belah berkenaan.

Smith dikatakan tiba di Malaysia pada malam Ahad dan dijangka pulang tengah malam Isnin.

Kemunculan bintang filem I Am Legend itu menjadi tumpuan ramai malah figura berusia 47 tahun itu dilihat memberikan senyum dan mesra bersalaman ketika terserempak dengan peminat.

Walau bagaimanapun, tujuan Smith yang juga popular dengan watak Will dalam sitkom The Fresh Prince of Bel Air datang ke negara ini tidak diketahui.

Kehadiran Smith turut disahkan salah seorang kenalan rapatnya, DJ Jazzy Jeff, atau nama sebenarnya Jeffrey Allen Townes, yang pernah membuat penampilan bersama dalam The Fresh Prince of Bel Air.

“Berada di Malaysia dan lihat dengan siapa saya terserempak di sini! JJFP 4 LIFE!” katanya menerusi sekeping foto yang dimuatnaik di akaun Twitternya, djjazzyjeff 215.

Difahamkan, Smith berada di Thailand baru-baru ini untuk bercuti pendek dengan keluarganya di sana.-astrogempak

Isu Tajaan: Dihentam Penyokong Selangor, Terlajak Laris Kini Dirisik Terengganu

Selepas dihentam teruk penyokong Red Giants di laman sosial baru-baru ini, pemilik D'Herbs Terlajak Laris Datuk Aliff Syukri kini dirisik skuad Terengganu untuk menaja mereka.


Isu Tajaan: Dihentam Penyokong Selangor, Terlajak Laris Kini Dirisik Terengganu

Menurut laporan Sinar Harian, rundingan di antara D’Herbs dan pasukan Terengganu kini sedang berlangsung.

Perkara tersebut turut disahkan Setiausaha Agong, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Arpin Draman dan mengakui masih diperingkat rundingan.

“Kita hanya mencuba nasib, mana tahu jika D’Herbs mahu mengadakan hubungan kerjasama bersama PBSNT. Kita tunggu keputusan daripada pihak mereka,” katanya.

Sebelum ini, jutawan muda yang terkenal dengan tagline ‘Terlajak Laris’ itu dihentam teruk penyokong Selangor kerana mahu mengubah warna stadium dan jersi kepada warna hijau yang merupakan warna korporat D'Herbs.

Sedangkan menurut Datuk Aliff, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang menghubunginya untuk mendapatkan tajaan, sekaligus dia mengenakan 20 syarat tersebut.

"Niat saya mahu menyumbang menaikkan mutu sukan bola sepak negara tetapi saya agak sedih dan kecewa penyokong menghentam saya dilaman sosial, saya berharap penyokong memahami saya," kata Datuk Syukri yang dipetik dari akhbar Harian Metro.-astrogempak

Dua Penyerang Leicester Jadi Rebutan Kelab Gergasi

Khabar angin mengenai pemindahan pemain di antara kelab Liga Perdana Inggeris semakin bertiup kencang dengan dua penyerang Leicester dilapor sedang dipancing Liverpool dan Chelsea.


Dua Penyerang Leicester Jadi Rebutan Kelab Gergasi

Akhbar tempatan negara itu melaporkan, Riyad Mahrez menjadi buruan Chelsea yang sedia membuat bidaan setinggi £20 juta manakala Liverpool mahukan Jamie Vardy.

Kedua-dua penyerang Leicester itu menjadi tumpuan kelab gergasi Inggeris selepas berjaya membantu pasukan mereka berada di persada Liga Perdana Inggeris ketika ini.

Selain itu, bintang Arsenal iaitu Aaron Ramsey dilapor sedang dipantau oleh Barcelona berikutan aksi memberangsangkan.

Penjaga gol Manchester United, David De Gea pula kembali dikaitkan dengan Real Madrid selepas gosip mengenai pemindahan berakhir apabila dia melanjutkan kontrak bersama United pada tahun lalu.

Bagaimanapun tiada pemindahan yang menjadi tumpuan dunia dilaorkan setakat ini walaupun United dikatakan mahu mendapatkan Gareth Bale dari Real Madrid.-mstar

Punca Perpustakaan Kuala Lumpur Terbakar

Satu kebakaran telah berlaku di Perpustakaan Kuala Lumpur. Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail mengesahkan kejadian itu yang berlaku pada pagi Isnin.


Punca Perpustakaan Kuala Lumpur Terbakar

Walau bagaimanapun, maklumat mengenai kejadian masih belum diberikan kerana operasi memadamkan kebakaran masih berjalan.

Perpustakaan ini terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka.-mstar