Ronaldo Samai Rekod Raul, Bantu Kemenangan Real

Cristiano Ronaldo berjaya menyamai rekod jaringan gol lagenda Real Madrid, Raul selepas membantu pasukan itu menewaskan Malmo 2-0 pada aksi peringkat Kumpulan A Liga Juara-Juara di Stadium Swedbank, awal pagi Khamis.


Ronaldo Samai Rekod Raul, Bantu Kemenangan Real


Pemain kebangsaan Portugal itu menjaringkan gol ke-500 sepanjang kariernya.

Ronaldo membuka jaringan untuk Real Madrid seawal minit ke-29 sebelum menggandakan jaringan pada masa kecederaan.

Malmo terlepas peluang untuk menjaringkan gol pertama menerusi tandukan Markus Rosenberg yang tersasar.

Namun, peluang Malmo untuk bangkit terus samar apabila Yoshimar Yotun dilayangkan kad merah kedua.

Pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain.

Kemenangan itu membolehkan Real mengutip enam mata daripada dua perlawanan pertama peringkat Kumpulan A.

Dalam perlawanan berasingan, Paris Saint-Germain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menewaskan Shakhtar Donetsk 3-0 di Stadium Arena Lviv.

PSG kini berkongsi enam mata dengan Real.

Gol PSG dijaringkan Serge Aurier dan David Luiz.

Pemain tuan rumah, Darijo Srna melakukan kesilapan dengan menjaringkan gol ke gawang sendiri sekali gus menghadiahkan gol itu kepada PSG.-mstar

Jamal Yunos @ Tongkol Ditahan Polis

Polis menahan penganjur perhimpunan 'baju merah', Datuk Jamal Md Yunos di bawah Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah pada malam Jumaat.

Jamal Yunos @ Tongkol Ditahan Polis

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad mengesahkan penahanan itu.

"Kita tahan beliau di bawah Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah untuk mengelakkan jenayah daripada berlaku berhubung kenyataan yang didakwanya bahawa rusuhan akan berlaku di Petaling Street," katanya kepada The Star Online.

Difahamkan, Jamal yang merupakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar ditahan pada pukul 9 malam Jumaat. Beliau kini ditahan di balai polis Dang Wangi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, polis akan memanggil Jamal untuk merekodkan kenyataannya berhubung perhimpunan di Petaling Street pada Sabtu.

Noor Rashid dilaporkan berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk menganjurkan perhimpunan dan tindakan tegas akan diambil.

Polis memberi amaran kepada Jamal bahawa beliau akan ditahan sekiranya didapati bersalah membuat hasutan bagi mencetuskan huru-hara.

Pada Rabu lalu, Jamal memberitahu pemberita bahawa satu perhimpunan boleh berlaku pada Sabtu sekiranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) gagal untuk bertindak ke atas peniaga haram.

Jamal kemudiannya bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai asebarang kaitan dengan penganjuran perhimpunan di Petaling Street pada Sabtu.

"Saya tidak terlibat dan saya tidak akan berada di Petaling Street," katanya.

Ditanya adakah beliau mempunyai maklumat mengenai penunjuk perasaan akan berhimpun di Petaling Street pada Sabtu, Jamal berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.

"Saya ulangi, saya tidak terlibat dalam perhimpunan ini, jadi saya tidak tahu sekiranya ada perhimpunan esok," tambahnya.

Jamal berkata, kehadirannya di Petaling Street pada 16 September lalu atas permintaan polis sebagai "orang tengah".

"Pihak polis minta saya bantu untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berkumpul di sana," katanya sambil menambah bahawa beliau tidak menganjurkan perhimpunan 16 September lalu atau yang bakal diadadakan pada Sabtu.

Beliau mendakwa media telah memutar belit kan kenyataannya berhubung perhimpunan itu.-mstar

Sada Borneo kian gah

Program realiti Asia’s Got Talent (AGT) musim pertama menaikkan nama kumpulan ini. Siapa sangka Sada Borneo kini menjadi ikutan seluruh dunia.

Sada Borneo kian gah

Bukan pertandingan biasa, AGT adalah francais program popular America’s Got Talent dan Britain’s Got Talent. Berikutan penerimaan luar biasa, berjuta pengikutnya turut menonton edisi Asia yang disertai Sada Borneo.

Meskipun gagal ke final, program itu mengangkat nama kumpulan itu yang kini tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan.

Sada Borneo dianggoti enam anak muda kelahiran Sabah dan Sarawak iaitu Bob Harris Norbert (Bob), Nick Fardriel John (Nick), Julian Frederick (Julian), Hallan Hashim (Hallan), Alvin Yong Shee Meng (Alvin), Wilker Vilan Libin (Wilker), serta seorang anak jati Kedah, Mohd Hilmi Mohd Isa (Hilmi).

Hallan berkata, pe­nyertaan mereka dalam AGT tidak sia-sia apabila ia menjadi pembuka jalan meraih pelbagai peluang yang tidak disangka-sangka.

“Sebelum ini kami hanya mengadakan persembahan di pentas kecil seperti di universiti, tetapi kini berpeluang menjayakan acara berskala besar termasuklah Smiles In The Park Music Festival di Sarawak, Konsert Gegar, Paint The World The Concert dan Hari Koperasi Negara 2015.

“Paling membanggakan, kualiti muzik kami semakin meningkat apabila dapat menimba ilmu daripada golongan profesional di AGT. Bahkan, kami sentiasa mendapat bantuan dan tunjuk ajar daripada pemuzik berpengalaman serta profesional.

“Saya sangat gembira apabila ada pemain sape tidak lokek memberi panduan bagi memantapkan lagi mainan alat muzik itu. Ia buat kami semakin bersemangat memperbaiki mutu persembahan,” katanya.

Idam pentas antarabangsa

Dalam pada berseronok dengan tawaran yang tidak putus, kumpulan itu berharap dapat beraksi di pentas antarabangsa.

Apatah lagi niat mereka mahu memartabatkan muzik tradisional tanah air ke persada global.

“Itulah antara impian terbesar kami. Sekarang masa terbaik untuk bawa produk Malaysia ke luar dan menarik perhatian pencinta muzik luar,” kata Hilmi.

Majoriti masih menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) dan ada yang menetap di berlainan negeri, namun ia bukan penghalang untuk mereka berkumpul.

Menurut Alvin, mereka ada formula bagi memastikan semua anggota sentiasa bersedia sebelum menjayakan sesuatu persemabahan.

“Bukan senang sebenarnya kerana masing-masing sibuk dengan pengajian dan bukan semua masih menuntut di USM. Saya sendiri ada masanya terpaksa berkejar-kejar dan mencuri masa untuk berlatih.

“Biasanya, kami berhubung menerusi telefon bagi menetapkan lagu yang mahu dimainkan. Beberapa jam sebelum naik pentas pun kami masih berlatih untuk memperkemaskan permainan kami,” katanya.-hmetro

Cita Citata bergoyang dumang

Selepas menghiburkan peminatnya di Sabah Julai lalu, penyanyi dangdut terkenal Indonesia Cita Citata sekali lagi ‘bergoyang dumang’ bersama peminat setianya di Negeri Di Bawah Bayu itu sempena program An Evening With Cita Citata di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, baru-baru ini.


Cita Citata bergoyang dumang

Program anjuran Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora) itu dihadiri lebih 300 penonton yang rata-ratanya peminat setia penyanyi dangdut terbabit.

Hadir sama, Presiden Samora, Datuk Jelani Hamdan.

Kemunculan Cita disambut dengan sorakan penonton apabila dia menyanyikan lagu Aku Mah Apa Tuh, selain mengajak penonton untuk menari bersama.

Tidak cukup dengan itu, penonton turut memenuhi kawasan hadapan pentas dan tidak melepaskan peluang merakam gambar aksi lincah penyanyi itu.

Penyanyi berusia 21 tahun itu terus menghiburkan penonton dengan beberapa lagu antaranya Jarak Pulang dan Pernikahan Dini.

Lebih meriah apabila Cita turut mengajak penonton menari bersama di pentas dengan menyanyikan lagu Perawan Atau Janda.

Selain itu, Cita turut mempersembahkan lagu-lagu popularnya seperti Kau Tercipta Untukmu, Sakitnya Tuh Di Sini dan Goyang Dumang.

Cita Citata bergoyang dumang

Kehadiran gadis kelahiran Indonesia itu ke Sabah adalah sebahagian daripada pengisian untuk promosi Pesta Magahau yang juga perayaan terbesar suku kaum Rungus di negeri itu.

Cita ketika ditemui teruja dengan sambutan peminat­nya di Sabah selepas kali pertama mengadakan konsert di Kudat, Julai lalu.

“Saya juga gembira apabila kebanyakan yang hadir begitu minat sekali lagu Sakitnya Tuh Di Sini dan Goyang Dumang. Saya harap sokongan mereka berterusan sampai bila-bila,”katanya.

Dalam pada itu, Jelani berkata, kehadiran Cita ke Sabah bagi mempromosikan kebudayaan kaum Rungus kepada masyarakat khususnya di negara luar.

“Sebelum ini, Cita datang ke Kudat dan dia turut mempromosikan kawasan di utara Sabah menerusi laman sosial miliknya kepada peminatnya di Indonesia dan negara lain.

“Sekurang-kurangnya Cita turut membantu kita mencapai objektif untuk mempromosikan kaum Ru­ngus ke peringkat lebih jauh,” katanya.-hmetro

Kerana Semakin Mewah, Syafie Naswip Kini Dah Mula Derhaka?

Aktor remaja popular, Syafie Naswip dikhabarkan telah semakin besar kepada dan derhaka terhadap ibunya baru-baru ini.


Kerana Semakin Mewah, Syafie Naswip Kini Dah Mula Derhaka?

Pemenang dua kali kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 22 & 25 itu dikatakan mula bersikap angkuh dengan kemewahan yang dimiliki menerusi popularitinya kebelakangan ini.

Mengikut satu sumber, Syafie dikhabarkan enggan memberikan sebahagian wang yang dimiliki kepada ibunya dan telah lupa asal-usul mereka yang satu ketika dahulu hidup serba kekurangan.

Tindakan kurang ajar dan derhaka Syafie itu sememangnya tidak patut kerana sebelum ini Syafie dilihat sebagai seorang yang sentiasa merendah diri dan bersopan santun.

Perubahan mendadak aktor itu yang mula dikenali menerusi filem Mukhsin itu pasti akan mengejutkan ramai pihak dan peminatnya sendiri.

Tapi itu bukanlah realiti, sebaliknya sifat derhaka Syafie ini hanyalah watak lakonannya dalam siri terbaru episod Tanah Kubur musim ke 14 yang akan bersiaran pada Jumaat ini jam 7.30 malam.

Dalam episode tersebut, Syafie memegang watak sebagai Rusdi, seorang pemuda yang derhaka kepada ibunya yang mana watak tersebut dipegang oleh Khatijah Tan.

Rusdi yang telah mendapat peluang mengerjakan umrah bersikap biadap kepada ibunya kerana kemewahan yang dimiliki.

Apakah balasan yang bakal diterima Rusdi dalam Tanah Kubur kali ini, sama-sama kita saksikan Tanah Kubur, 25 September 2015, 7.30 malam di Astro Oasis dan Maya HD (135).-astrogempak

Insiden Rempuhan Mina: Saya Okay Kat Sini - Nabil Ahmad

Pelawak Nabil Ahmad memberitahu dia dalam keadaan selamat sewaktu berlakunya insiden rempuhan sewaktu jutaan umat Islam menunaikan ibadah Melontar Jamrah di Mina.


Insiden Rempuhan Mina: Saya Okay Kat Sini - Nabil Ahmad

Menurut Nabil Ahmad atau nama sebenarnya Ahmad Nabil bin Ahmad, dia hanya akan bertolak ke Mina pada jam 3 petang dan turut terkejut dengan insiden rempuhan yang setakat ini telah mengorbankan 453 orang.

“Allhamdulillah. Saya okay kat sini (Masjidil Haram). Dapat tahu perkara ini pun menerusi berita yang disiarkan. Apabila berita insiden rempuhan di Mina berlaku, saya agak terkejut dan turut terima banyak WhatsApp daripada ahli keluarga.

“Malah rakan-rakan artis seperti Abang Afdlin Shauki dan Pak Nil pun turut bertanyakan khabar dan keadaan saya sekarang macam mana,”jawab Nabil sewaktu dihubungi Astro Gempak.

Jelas Nabil lagi, pihak pengurusan haji Malaysia telah pun membuat taklimat ringkas mengenai keselamatan dan persediaan jemaah  untuk mengelakkan daripada kejadian yang tidak diingingi berulang lagi.

“Taklimat ringkas telahpun dibuat untuk para jemaah haji dari Malaysia sebagai langkah-langkah keselamatan. Kami diminta untuk jalan secara berkumpulan dan berhati-hati. Itu sahaja,” ujar Nabil.

Nabil Ahmad bertolak ke Tanah Suci Mekah pada 19 September yang lalu dan dijangka tiba ke tanah air pada 1 Oktober ini.

Menerusi akaun Twitter milik Jabatan Pertahanan Awam Saudi melaporkan jumlah korban insiden rempuhan manusia di Mina telah meningkat ke 717 orang dan 863 tercedera.

Sehingga kini pihak Tabung Haji Malaysia dan mana-mana agensi berkaitan masih belum mengetahui jika ada rakyat Malaysia yang terlibat dalam rempuhan tersebut.-astrogempak

Ahmed Ke PBB, Tunai Umrah

Nasib remaja yang mendapat perhatian ramai selepas ditahan kerana mencipta jam digital yang disangka bom semakin berubah apabila bakal melawat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini.


Ahmed Ke PBB, Tunai Umrah

Pada lawatan itu, Ahmed Mohamed akan menemui beberapa kenamaan asing yang ingin mengenalinya dan mengetahui mengenai hasil ciptaannya itu.

"Selepas mendapat sokongan Presiden Barack Obama yang secara peribadi mempelawanya melawat Rumah Putih dan pengasas Facebook Mark Zuckerberg, kini Ahmed diundang ke PBB pula," kata Pengarah Eksekutif Majlis Perhubungan Amerika-Islam, Alia Salem.

Pelajar Islam berusia 14 tahun itu meminati bidang robotik dan belajar di sekolah menengah di bandar ini.

Penahanannya dikaitkan dengan agamanya dan ia diperkatakan dengan meluas di media sosial.

Menurut Alia lagi, keluarga Ahmed yang berasal dari Sudan, merancang membawanya menunaikan umrah dalam masa terdekat.-mstar

Ugut Demo: Polis Akan Tahan Jamal Md Yunos

Polis akan menahan Datuk Jamal Md Yunos kerana mengancam untuk mengadakan satu lagu tunjuk perasaan di Petaling Street Sabtu ini.


Ugut Demo: Polis Akan Tahan Jamal Md Yunos

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis akan "pastikan" tindakan diambil terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu, termasuk menangkapnya jika beliau didapati bersalah kerana menghasut bagi mencetuskan huru-hara.

"Jika Jamal membuat kenyataan mengancam dan jika beliau didapati bersalah menghasut bagi melakukan rusuhan, kami akan ambil tindakan. Kami akan panggil beliau dalam masa terdekat," katanya.

Noor Rashid berkata, buat masa ini polis akan menyiasat Jamal kerana merusuh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Beliau menjelaskan bahawa pihak polis mempunyai kuasa untuk menahan sesiapa di bawah Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah sebagai langkah pencegahan.

"Kami mempunyai kuasa untuk menjalankan tangkapan untuk mengelakkan apa-apa jenayah, termasuk merusuh," katanya.

Menurut Noor Rashid, polis akan menempatkan anggotanya di Petaling Street pada ini Sabtu ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada Rabu, Jamal memberi amaran "kekecohan lain" akan berlaku di Petaling Street jika tuntutan oleh penunjuk perasaan 'baju merah' tidak dipenuhi.

Antara tuntutan kumpulan itu adalah supaya Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan bertindak terhadap dakwaan penjualan barangan tiruan di Petaling Street, peniaga berkongsi sebahagian daripada pendapatan mereka dengan kaum lain dan berhenti memonopoli di kawasan itu.-mstar

Ancelotti Bakal Ganti Tempat Brendan Rodgers

Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers berusaha untuk menyelamatkan kedudukannya di Anfield selepas pemilik kelab itu, FSG menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Carlo Ancelotti sebagai penggantinya.

Ancelotti Bakal Ganti Tempat Brendan Rodgers

Liverpool cuba mendekati Ancelotti untuk mengambil alih kerusi panas yang diisi Rodgers selepas kelab itu mencatat prestasi hambar pada kempen awal musim ini.

Difahamkan Rodgers masih mendapat beberapa sokongan pembuat keputusan di Liverpool.

Namun, jawatannya kini masih menjadi teka-teki selepas Ancelotti dilaporkan dihubungi pemilik Liverpool.

Rodgers kini gagal membantu pasukan itu mencatat prestasi terbaik pada awal musim ini.

Malah, kedudukannya mula goyah selepas Liverpool sekadar terikat 1-1 dengan Norwich City pada hujung minggu lalu.

Lebih buruk, kekalahan 0-3 kepada West Ham dan juga tewas ditangan Manchester United memaksa FSG untuk mempertimbangkan pengurus baharu untuk pasukan itu.

Ancelotti antara pengurus yang mempunyai rekod cemerlang apabila berjaya mengemudi Chelsea memenangi trofi Liga Perdana Inggeris dan Piala FA pada 2010.

Malah, Ancelotti turut membantu Real Madrid menjuarai trofi Liga Juara-Juara Eropah pada 2014 dan AC Milan pada 2003 dan 2007.

Sekarang merupakan masa terbaik bagi Liverpool untuk mendapatkan khidmat Ancelotti memandangkan beliau antara pengurus yang menjadi buruan The Red setelah sekian lama.-mynewshub

Staf RHB Diberi Gaji 10 Kali Ganda Sempena Aidiladha?

Apa yang berlaku kepada gaji pekerja RHB Bank pada bulan ini pasti membuatkan anda tergamam!

Hari Raya Aidiladha kali ini nampaknya mungkin menjadikan hari raya paling meriah buat pekerja-pekerja RHB.


Staf RHB Diberi Gaji 10 Kali Ganda Sempena Aidiladha?

Mana taknya, pagi ini pihak RHB dikatakan telah terbayar gaji kepada staf-staf mereka 10 kali ganda daripada gaji biasa, wow!


Staf RHB Diberi Gaji 10 Kali Ganda Sempena Aidiladha?

Ini bermakna mereka yang misalnya bergaji RM3,000 mendapat RM30,000 pada bulan ini.

Menerusi laman sosial pula, terutamanya buat pekerja RHB, mereka mula menyatakan perkara tersebut di laman Twitter mereka.

Staf RHB Diberi Gaji 10 Kali Ganda Sempena Aidiladha?

Selain itu, satu screenshot mesej dari whatsapp yang berkaitan dengan insiden itu turut dikongsi di laman Twitter.

Staf RHB Diberi Gaji 10 Kali Ganda Sempena Aidiladha?

Menurut perkara tersebut, pekerja RHB diminta tidak menggunakan duit yang terlebih masuk ke akaun mereka sementara pihak HR membuat pembetulan.

Tetapi kalau dah terguna nak buat macam mana kan? – mynewshub