Rajagobal Kembali Sebagai Jurulatih

Datuk K Rajagobal bakal kembali ke kancah bola sepak tempatan dengan melatih skuad Sarawak untuk Liga Super musim 2016, hampir 14 tahun selepas kali terakhir mengendalikan Kelantan dari 2001-2002.


Rajagobal Kembali Sebagai Jurulatih

Pelantikan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya yang berkuatkuasa 1 Dis itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Sudarsono Osman di sini pada Khamis.

Rajagobal berkata beliau memilih melatih Sarawak selepas melihat semangat yang ditunjukkan pemain dan menyifatkan pasukan berkenaan mampu memberi saing dalam liga musim depan.

"Secara peribadi, Sarawak adalah pasukan yang baik. Seperti yang dikatakan presiden (Sudarsono), saya datang bukan untuk melakukan keajaiban tapi akan melakukan yang terbaik untuk Sarawak," katanya.

Rajagobal akan mengambil tempat Robert Alberts yang mengendalikan pasukan itu sejak 2011 sebelum meletak jawatan pada awal Julai lepas berikutan aksi hambar Sarawak dalam Liga Super musim ini.

Sudarsono berkata Rajagobal yang akan mengetuai barisan kejurulatihan skuad Bujang Senang itu turut bertanggungjawab menyediakan program pembangunan peringkat belia.

"Datuk Rajagobal seorang jurulatih tempatan tetapi mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa. Selaku bekas ketua jurulatih negara, pengalamannya mampu membantu Sarawak.

"FAS berharap beliau dapat membentuk satu pasukan yang mampu bersaing di Liga Super musim depan, di samping mengenalpasti pemain muda Sarawak yang dapat diserap dalam pasukan senior kita," katanya dalam sidang media mengumumkan pelantikan tersebut.

Turut hadir, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mohd Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi.

Untuk rekod, jurulatih skuad Piala Presiden Sarawak, Fuad Grbesic mengendalikan pasukan senior negeri itu untuk tujuh perlawanan terakhir Liga Super musim ini berikutan peletakan jawatan Alberts.

Bagaimanapun, bagi saingan Piala Malaysia yang bermula Sabtu ini, Sarawak akan dikendalikan penolong ketua jurulatih, David Usop.-mstar

Tiada Lagi FAM Jika Kerajaan Campur Tangan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal berdepan pelbagai kesan buruk termasuk digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), jika berlaku campur tangan kerajaan.


Tiada Lagi FAM Jika Kerajaan Campur Tangan

Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan berkata, Artikel 13 dan 17 Statut FIFA, jelas menyatakan kerajaan tidak ada hak campur tangan dalam persatuan bola sepak kebangsaan kerana ia adalah satu badan yang bebas.

"Jika mereka (kerajaan) berterusan campur tangan, saya rasa FAM tidak akan wujud lagi dan skuad kebangsaan tidak boleh mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan Piala Dunia di masa hadapan," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Velappan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memberikan tempoh 14 hari kepada FAM mengemukakan laporan mengenai kekecohan sewaktu aksi pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia antara Malaysia dan Arab Saudi, Selasa lepas.

Menurut Khairy, surat meminta laporan itu dihantar Pejabat Pesuruhjaya Sukan kepada FAM pada Rabu, dan persatuan itu berdepan penggantungan jika Pesuruhjaya Sukan tidak berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan nanti.

Sehubungan itu, Velappan yang juga Penolong Setiausaha Agung FAM dari 1963 hingga 1980, meminta semua pemegang taruh bola sepak negara untuk bersama- sama mencari jalan terbaik meningkatkan semula sukan berkenaan yang merudum sejak beberapa dekad lalu.

"Hentikan perbuatan menuding jari antara satu sama lain. Mari kita berbincang dan mencari langkah terbaik untuk menyelamatkan mutu bola sepak negara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah yang dihubungi Bernama berkata, badan induk berkenaan dijangka membincangkan insiden di Stadium Shah Alam tersebut pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Jumaat.

"Saya tidak mengetahui mengenai kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Menteri (Khairy). Mungkin perkara berkenaan (kekecohan di Stadium Shah Alam) akan dibincangkan pada mesyuarat esok," kata Afandi.

Pada 30 Mei lepas, FIFA menggantung Indonesia berikutan campuran kerajaan republik itu dalam pertandingan liga domestik yang mengakibatkan skuad Garuda tidak layak beraksi di pusingan kelayakan Piala unia 2018, bermula 11 Jun lepas.

Perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi terpaksa dihentikan pengadil, Liu Kwok Man dari Hong Kong berikutan tindakan liar sekumpulan penonton tempatan.

Liu menghentikan perlawanan pada minit ke-88 selepas segelintir penyokong 'Ultras Malaya' membaling suar dan mercun roket ke padang, memaksa pemain dan pegawai kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan.

Sebelum perlawanan dihentikan, Arab Saudi sedang mendahului Malaysia 2-1.-mstar

Tiga Artis Mentor Legend Promosi 'Single' Baharu

Kekurangan lagu-lagu mantap di kalangan penyanyi wanita tempatan memberi peluang kepada tiga bekas peserta Mentor Legend 2014 iaitu Sarah, Aina dan Sandra tampil menonjolkan bakat menerusi lagu single baharu mereka.


Tiga Artis Mentor Legend Promosi 'Single' Baharu

Sarah atau nama sebenarnya Maishara Fazny Mahadzir, 20, berkata, dia melihat peluangnya untuk dikenali agak cerah lebih-lebih lagi mempunyai single lagu baru iaitu Tak Mungkin, yang dihasilkan daripada komposer hebat, Ammar Habir dan penulis lirik Iman Imran.

"Selain penyanyi-penyanyi senior yang sedia popular, saya lihat belum ada penyanyi wanita baru yang mempunyai lagu yang kuat.

"Jadi saya ambil peluang ini untuk perkenalkan lagu Tak Mungkin. Mana tahu, ia menjadi perhatian peminat-peminat muzik tempatan," katanya kepada mStar Online.


Tiga Artis Mentor Legend Promosi 'Single' Baharu
Dari kiri Aina, Sarah dan Sandra.


Sarah ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya bersama Sandra dan Aina di pusat karaoke Redbox, The Gardens di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 22, berkata, walaupun sedikit lewat muncul dengan lagu baru sejak tamat program Mentor pada Februari lalu, dia percaya lagunya mempunyai tarikan yang tersendiri.

"Diakui kami sedikit lambat muncul dengan lagu baru selepas tamat program Mentor. Tetapi tidak mengapa, biar lambat, asalkan lagu yang dihasilkan bagus dan disukai ramai.

"Saya harap lagu saya, Ini Yang Kau Mahu memberikan nafas berbeza berbanding lagu-lagu lain," ujarnya.

Sementara itu Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria, 21, pula berkata, lagunya iaitu Hey Kau yang dihasilkan oleh Tam Spider dan Iman Imran telah pun disiarkan di radio sejak Julai lalu dan mendapat carta tertinggi di beberapa buah radio.

"Alhamdulillah syukur, saya tak sangka lagu itu mampu menarik perhatian ramai meskipun ia belum dilancarkan.

"Jadi saya mengambil peluang itu untuk muncul dengan lagu single seterusnya dan kali ini saya yang akan mencipta lagu tersebut sepenuhnya," kata Sandra.-mstar

De Gea Mahu Perbaharui Kontrak Bersama Manchester United

David De Gea mahu menandatangani kontrak baharu bersama Manchester United selepas perpindahannya ke Real Madrid tidak menjadi kenyataan, menurut laporan di Sepanyol.


De Gea Mahu Perbaharui Kontrak Bersama Manchester United

Timbul khabar angin pada malam Khamis yang mendakwa rundingan kontrak masih terbuka antara United dan De Gea.

Presiden Real Madrid Florentino Perez pada malam Rabu mengemukakan beberapa bukti bahawa United telah merosakkan perjanjian tersebut.

Malah United dikatakan tidak lagi membenarkan Real Madrid untuk mendapatkan khidmat bintang Sepanyol itu ketika pintu perpindahan pemain dibuka semula Januari tahun depan.

Ini menyebabkan penjaga gol berusia 24 tahun itu terdesak untuk menandatangani kontrak baharu bersama Red Devils.

Perjanjian baharu itu akan menyaksikan De Gea yang menerima pendapatan sebanyak 35,000 pound seminggu akan mendapat kenaikan menyamai gaji yang diterima pemain terkemuka kelab tersebut.

El Confidencial turut melaporkan hubungan Perez dan ejen De Gea, Jorge Mendes yang mewakili beberapa pemain Madrid mulai renggang.

"Di Real Madrid, Jorge Mendes mewakili tiga pemain.

"Cristiano, Pepe dan James Rodriguez, tiga pemain hebat yang diwakilinya.

“Jorge Mendes tidak mempengaruhi Real Madrid," kata Perez kepada Radio Cope.

Terdahulu, Perez meminta De Gea supaya membuat pilihan terbaik untuk dirinya.

"Adalah lebih selamat untuk mengatakan bahawa kami tidak akan mendapatkan khidmatnya pada Januari akan datang," kata Perez.-mstar

Penjenayah Tak Mahu Kevin Ditemui - Abang

Abang kepada Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais percaya seseorang sanggup bersusah payah untuk memastikan adiknya itu tidak akan dijumpai.


Penjenayah Tak Mahu Kevin Ditemui - Abang

Datuk Richard Morais turut tertanya-tanya mengapa ada orang yang sanggup bersusah payah membakar sebuah kereta yang ditemui di Hutan Melintang dan memadamkan nombor casis dan enjin kereta tersebut, jika memang kereta itu milik Kevin.

Beliau merujuk kepada sebuah kereta yang ditemui di dalam Hutan Melintang yang disahkan model Proton Perdana.

Namun, kereta tersebut masih belum disahkan milik Kevin.

"Terdapat kes tembakan dan semua dilaporkan dalam berita tetapi kehilangan adik saya sesuatu yang amat pelik.

"Mengapa ada orang sanggup memadam nombor casis dan enjin tersebut," soalnya pada Khamis.

Richard berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk mengesan adiknya itu.

"Saya yakin mereka akan menemui adik saya," kata Richard.

Beliau berkata sehingga hari ini masih belum menerima sebarang maklumat daripada polis mengenai kehilangan adiknya itu.

Kevin hilang pada Jumaat lalu selepas meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta untuk ke pejabanya di Putrajaya.

Beliau dilihat kali terakhir memandu sebuah kereta Proton Perdana kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Pada Rabu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, rakaman CCTV dari jalan utama di bandar ke Hutan Melintang menunjukkan bahawa Morais dipercayai telah diculik.

"Itulah petunjuk terkini yang kita dapat. Kita akan memberikan maklumat lebih terperinci apabila petunjuk baru muncul," katanya.

Beliau juga mengecam mereka yang menyebarkan khabar angin bahawa mayat Morais telah ditemui di Sungai Klang.

Katanya, polis sudah merakamkan keterangan daripada 10 individu untuk membantu siasatan tersebut.

Menurut saksi, sebuah kenderaan besar dilihat memecut laju meninggalkan kawasan tersebut sebaik sahaja letupan kedengaran.

Pekerja di ladang berdekatan mendakwa terlihat tiga kereta memecut laju di jalan sempit itu sambil membunyikan hon dan memancarkan lampu tinggi dari kereta mereka.-mstar

Antonio Banderas Mahu Jadi Pereka Fesyen

Aktor terkenal Antonio Banderas ingin bergelar pereka fesyen selepas dia mengikuti kursus dalam bidang itu di London.


Antonio Banderas Mahu Jadi Pereka Fesyen

Daily Mail melaporkan, Antonio, 55, mengambil kursus jangka pendek di Fashion School of Central St Martins, London dan berkongsi gambar berada di kelas di laman Instagram miliknya.

Sebelum ini antara bintang terkenal yang pernah menghadiri kursus ditempat sama adalah John Galliano, Stella McCartney dan Alexander McQueen.

Antonio dalam satu kenyataan memberitahu, penglibatannya dalam bidang fesyen telah menjadi impiannya sejak sekian lama.

"Saya masih berlakon tetapi pada tahap ini saya ingin melakukan sesuatu yang saya minat dan ia adalah fesyen," katanya.

Bintang filem The Mask of Zorro itu sebelum ini melancarkan labelnya iaitu Antonio Banderas Designs yang turut berkolaborasi nama-nama besar dalam industri fesyen.-mstar

Wanita Digelar Jururawat Paling Seksi

Selepas munculnya kisah doktor lelaki paling kacak di laman sosial instagram baru-baru ini, kini giliran ‘pembantunya’ itu pula mendapat perhatian seluruh dunia.


Wanita Digelar Jururawat Paling Seksi

Seorang wanita tempatan yang mendakwa dirinya bekerja sebagai jururawat di New York, Amerika Syarikat ini mungkin layak digelar sebagai jururawat paling seksi di dunia.


Kaiycie Palmers yang bertugas di unit rawatan rapi di sebuah hospital di bandar raya Big Apple itu telah menjadi sensasi internet kerana gambar-gambarnya yang seksi dan ‘mantap’ di laman instagram.

Kini dia sudah memiliki jumlah pengikut seramai lebih 167,000 orang di laman sosialnya itu. Mungkin selepas ini dia boleh digandingkan dengan Doktor Mike yang sebelum ini juga mendapat perhatian masyarakat seluruh dunia.

Jom sama-sama kita tengok gambar seksi jururawat ini di bawah dan bayangkanlah bagaimana reaksi pesakit di hospital khasnya golongan lelaki ketika dilayan wanita itu! – mynewshub

Wanita Digelar Jururawat Paling Seksi










Jutawan Berhati Mulia, Ingin Beli Pulau Untuk Pelarian Syria

Seorang jutawan Mesir, Naquib Sawiri mengumumkan keinginannya untuk membeli sebuah pulau sama ada di Greece atau Itali bagi membantu ratusan ribu pelarian Syria untuk memulakan kehidupan baru di sana.


Jutawan Berhati Mulia, Ingin Beli Pulau Untuk Pelarian Syria

Jutawan telekomukasi itu mengumumkan hasrat mulianya itu menerusi laman Twitter baru-baru ini.


Jutawan Berhati Mulia, Ingin Beli Pulau Untuk Pelarian Syria

Greece atau Itali menjual sebuah pulau kepada saya. Kemudian, saya akan membangunkan pulau tersebut dan memberikan pekerjaan kepada pelarian. Negara baharu akan diwujudkan untuk mereka,” katanya.

Begitulah tweet yang dilakukan oleh jutawan ini beberapa hari lepas yang mana telah mendapat perhatian ramai netizen.

Menerusi temubual bersama AFP pula, Naquib mengesahkan idea beliau dan dilihat amat serius serta dikatakan mampu untuk melaksanakannya.

“Mereka mempunyai berpuluh-puluh buah pulau yang tidak berpenduduk dan itu sudah boleh menampung ratusan ribu pelarian,” jelasnya.

Menariknya, pulau yang akan dibeli itu bakal dinamakan bersempena kanak-kanak lelaki Syria 3 tahun, Aylan Kurdi yang mati lemas ketika bot yang dinaiki karam di perairan Turkey di mana kejadian menyayatkan hati itu turut mengorbankan ibu dan abang Aylan.

Menurut Naguib juga, untuk sementara waktu rumah perlindungan sementara akan dibina untuk pelarian yang kemudiannya mereka akan diberikan peluang pekerjaan untuk membina rumah, sekolah, universiti dan hospital.


Jutawan Berhati Mulia, Ingin Beli Pulau Untuk Pelarian Syria

Sekiranya keadaan kembali pulih di Syria, para pelarian ini boleh memilih untuk kembali ke tanahair mereka.

Jutawan ini juga berjanji jika cadangan beliau ini berjaya dilaksanakan, para pelarian akan dilayan sebagai manusia, bukannya pelarian.-Mynewshub

Putera Ali Kembali Bersaing Rebut Jawatan Presiden Fifa

Putera Ali Al Hussein dari Jordon mengesahkan akan kembali bersaing untuk jawatan presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas tewas kepada Sepp Blatter Mei lalu.


Putera Ali Kembali Bersaing Rebut Jawatan Presiden Fifa

Putera Ali,39, mengumumkan pencalonannya bagi merebut jawatan no.1 badan induk bola sepak dunia itu di Amman pada Rabu.

"Biar saya jelaskan, saya mahu menamatkan apa yang kita mulakan. Saya telah berfikir panjang dan bukan mudah untuk memulakan langkah ini, malah ia dikongsi bersama masyarakat di seluruh dunia yang memberi harapan dan impian mereka," jelasnya.

Perebutan jawatan ini dilihat sengit apabila Putera Ali menjadi calon ketiga selepas Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (Uefa), Michel Platini dan bekas naib presiden Asia, Chung Mong-Joon dari Korea Selatan yang turut bertanding.

Kerusi presiden Fifa kembali menjadi tumpuan apabila  Sepp Blatter,79, yang memegang jawatan ini buat penggal kelima bakal berundur secara rasmi pada Februari depan ekoran skandal rasuah yang melanda badan bola sepak dunia itu baru-baru ini.

Pada Mei lalu, Putera Ali tewas 133-73 kepada Blatter.

Dalam pada itu, Putera Ali dijangka tidak menghadapi masalah berdepan dengan Chung apabila berjaya mengambil alih jawatan Timbalan Presiden Asia dan berada dalam senarai jawatankuasa eksekutif Fifa pada 2011 sekaligus menamatkan rekod 17 tahun Korea memegang jawatan tersebut.-mstar

Cristiano Ronaldo Perkenal Minyak Wangi Legacy

Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo tampil memperkenalkan minyak wangi keluarannya yang diberi nama Legacy.


Cristiano Ronaldo Perkenal Minyak Wangi Legacy

Pemain Real Madrid itu melancarkan minyak wangi tersebut pada Rabu disamping model yang melambangkan keistimewaan lelaki.

Ronaldo turut berkongsi video pendek mengenai minyak wangi Legacy di instragram miliknya.

Pemain skuad Portugal itu turut berharap Legacy mampu memberi aroma yang akan membantunya menjaringkan gol pertama untuk musim ini.

Cristiano Ronaldo Perkenal Minyak Wangi Legacy

Bekas pemain Manchester United itu masih gagal menggegarkan jaring lawan pada musim ini dengan permulaan Real Madrid yang agak hambar.

Malah dia turut gagal membantu Portugal ketika bertemu Albania baru-baru ini.-mstar