Memaparkan catatan dengan label bola sepak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bola sepak. Papar semua catatan

Rundingan Rekod Dunia £105 Juta Untuk Pogba Hampir Selesai

Manchester United kini berada di ambang persetujuan untuk membayar £105 juta rekod dunia bagi mendapatkan khidmat pemain Paul Pogba.

Rundingan Rekod Dunia £105 Juta Untuk Pogba Hampir Selesai

Rundingan dengan kelab Juventus dan ejen Pogba, Mino Raiola, dijangka siap hujung minggu ini, dedah SunSport.

Pemain tengah berusia 23 tahun itu akan menandatangani lima tahun perjanjian bernilai £202 ribu seminggu apabila dia menamatkan percutiannya di Amerika Syarikat.

Raiola telah menghabiskan beberapa hari lalu untuk berunding dengan pengurus Manchester United, Jose Mourinho berhubung terma-terma peribadi untuk mendapatkan pemain antarabangsa Perancis itu.

Sekiranya dipersetujui, ia bukan sahaja akan melengkapkan perpindahan Pogba, tetapi juga akan mengatasi rekod pemain termahal sebelum ini iaitu £86 juta yang dibayar Real Madrid untuk mendapatkan Gareth Bale pada tahun 2013.

Pogba dikatakan boleh terbang ke Manchester paling awal Selasa ini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.-mstar

Louis Van Gaal Bakal Kemudi Belgium

Persatuan Bola Sepak Belgium (KBVB) sedang mempertimbang untuk melantik seorang jurulatih berpengalaman di peringkat antarabangsa bagi menggantikan Marc Wilmots yang merupakan pengendali skuad kebangsaan negara tersebut.

Louis Van Gaal Bakal Kemudi Belgium

Setakat ini, bekas jurulatih Manchester United, Louis Van Gaal antara yang dikaitkan dengan jawatan tersebut, lapor Daily Mail.

Skuad yang menduduki rangking kedua dunia itu memulakan pencarian jurulatih selepas Wilmots dipecat kerana gagal dalam saingan Euro 2016.

Pengarah Teknikal KBVB,  Chris van Puyvelde berkata, pihaknya mencari jurulatih yang mempunyai potensi besar di peringkat antarabangsa kerana akan melatih generasi istimewa negara berkenaan.

"Pelantikan jurulatih ini adalah proses terbuka. Saya jangka emel akan dipenuhi oleh permohonan. Kita akan proses semuanya.

"Kami mahukan calon berpengalaman yang telah mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa. Dia perlu mengamalkan permainan bola sepak moden.

"Kami mempunyai generasi istimewa dan dia akan diberikan kuasa untuk membuat penentuan," katanya.-mstar

Chelsea Sedang Bawa N'Golo Kante Ke Stamford Bridge

Chelsea dijangka mengikat pemain Leicester, N'golo Kante bernilai £30 juta dalam tempoh terdekat.

Chelsea Sedang Bawa N'Golo Kante Ke Stamford Bridge

Daily Mirror melaporkan, Kante kini sedang melengkapkan pemeriksaan perubatan selepas Chelsea bersetuju membayar gaji sebanyak £120,000 seminggu.

Berikutan itu, pengumuman rasmi mengenai kehadiran pemain tengah tersebut ke Stamford Bridge akan dibuat dalam tempoh 24 jam.

Perpindahan itu selesai selepas pengendali Leicester, Claudio Ranieri meminta Kante memustuskan sendiri keputusan untuk berhijrah atau kekal.

Pemain Perancis berusia 25 tahun itu kemudian memberitahu jurulatihnya untuk menyertai Chelsea walaupun terlepas beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Pengendali Chelsea, Antonio Conte pada Khamis mendedahan bahawa pihaknya sedang berusaha membawa masuk pemain baharu musim ini selepas Michy Batshuayi dari Marseille.-mstar

Ramai Lagi Mahu Bersara Daripada Skuad Kebangsaan

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang membuat keputusan untuk bersara daripada mewakili skuad kebangsaan berdasarkan kehendak mereka sendiri.

Ramai Lagi Mahu Bersara Daripada Skuad Kebangsaan

Titah baginda, pemain terbabit membuat keputusan itu bukan kerana tidak suka dan sayang kepada Malaysia, tetapi sudah letih menyertai kem latihan yang tidak memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.

Malah, titah baginda, terdapat ramai lagi pemain kebangsaan yang mahu mengambil tindakan yang sama seperti pemain JDT lakukan tetapi terlalu takut dengan pengurusan mereka.

“Kelab kami telah mengadakan mesyuarat untuk menyuarakan kebimbangan kami mengenai kelemahan tugas dan pentadbiran dalam FAM. Sejurus selepas mesyuarat, beberapa pemain datang dan memberitahu hasrat mereka untuk bersara (daripada skuad kebangsaan)

“Saya memberi pendapat saya akan menyokong keputusan mereka. Sebahagian daripada mereka meminta saya membantu mengumumkannya melalui laman rasmi JDT. Mereka tidak mahu mengumumkannya melalui media dan akaun media sosial sendiri kerana terdapat ramai peminat bola sepak tidak bertanggungjawab sentiasa akan menyalahkan mereka. Saya bersetuju dan mengarahkan pegawai di kelab kami mengendalikannya,” titah baginda dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab JDT menyeru supaya peminat bola sepak di seluruh negara terutama penyokong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggunakan otak masing-masing untuk memahami keputusan empat pemain terbabit.

Titah baginda, pemain terbabit terpaksa bermain untuk sebuah organisasi yang tidak pernah mengambil hal ehwal kebajikan mereka dan tidak berbuat apa-apa apabila rakan-rakan mereka tidak menerima gaji dari kelab masing-masing.

Baginda bertitah, mereka juga terpaksa bermain untuk seorang pemimpin yang tidak pernah menghadiri sebarang latihan atau pun mesyuarat dan tidak mengetahui nama serta kewujudan mereka.

“Mereka terpaksa juga bermain untuk sebuah organisasi yang tidak ambil kisah apabila mereka mengalami kecederaan. Mudah bagi anda untuk memberi komen dan mengkritik. Tetapi jika anda berada di tempat mereka, saya rasa anda juga akan melakukan perkara yang sama,” titah baginda lagi.

Tunku Ismail bertitah, pemain terbabit telah mencuba pelbagai cara yang profesional untuk mengendalikan perkara itu seperti merujuk kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) dan juga menyuarakan masalah mereka kepada jurulatih serta pegawai FAM tetapi diabaikan oleh FAM.

“Seperkara terakhir, mereka sebelum ini menuduh saya membunuh bola sepak Malaysia. Jawapan saya kepada mereka adalah, “jika semua perubahan positif ini dianggap membunuh, saya akan terus membunuhnya”.

“Bagaimanapun, satu dunia tahu saya tidak membunuh bola sepak Malaysia dan memberi pengiktirafan yang saya telah menaikkan nama bola sepak Malaysia dengan pencapaian JDT dan prasarana JDT,” titah baginda.

Justeru, baginda memberi jaminan akan melakukan apa sahaja untuk membunuh korupsi dalam FAM dan mereka-mereka yang terlibat kerana Malaysia memerlukan `orang bola sepak’ dan jurulatih profesional, bukan ahli perniagaan.

Mynewshub.cc hari ini melaporkan dua lagi pemain bola sepak negara daripada pasukan JDT iaitu Amirul Hadi Zainal dan S.Kunanlan mengumumkan bersara daripada skuad kebangsaan.

Pemain JDT, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abdul Abdul Radzak sebelum ini turut membuat pengumuman yang sama.-MYNEWSHUB

Martin Skrtel Berhijrah Ke Kelab Turki Fenerbahce

Pemain pertahanan Liverpool, Martin Skrtel tiba di Istanbul pada Rabu untuk melengkapkan perpindahannya ke kelab gergasi Turki, Fenerbahce dengan harga perpindahan sebanyak £5 juta.


Martin Skrtel Berhijrah Ke Kelab Turki Fenerbahce

Skrtel, 31, yang berasal dari Slovakia telah bermain dengan Liverpool selama lapan musim selepas menyertai dari kelab Rusia, Zenit Saint Petersburg pada 2008.

Walaupun Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyedari yang mereka kekurangan pemain pertahanan buat masa ini tetapi beliau tidak mahu menghalang Skrtel daripada menyambung kariernya di kelab baru.

Ketibaan Skrtel di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul telah disambut bagaikan wira baru oleh penyokong-penyokong fanatik Fenerbahce.

Pemain itu juga telah diserbu oleh para pemberita Turki.

Skrtel terus dibawa ke ibu pejabat kelab Istanbul itu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan kecergasan sebelum perpindahannya dapat disahkan.

"Saya tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira untuk bermain dengan kelab gergasi ini. Semua orang tahu bagaimana penyokong-penyokong kelab ini menunjukkan kesetiaan mereka.

"Sebelum ke sini saya telah bercakap dengan Miroslav Stoch (rakan senegaranya yang bermain dengan Fenerbahce) dan dia telah menyakinkan saya bahawa ini adalah destinasi saya yang seterusnya selepas Liverpool," ujar Skrtel.

Sepanjang lapan musim bersama Liverpool, Skrtel telah bermain sebanyak 320 kali mewakili kelab tersebut dan menjaringkan 18 gol.

Ini termasuklah gol yang dijaringkannya dalam perlawanan akhir Piala Liga 2012 yang menyaksikan Liverpool menewaskan Cardiff.

Pada musim yang sama, Skrtel telah memenangi anugerah pemain terbaik Liverpool.-mstar

Man City Semakin Hampir Dapatkan Penyerang Jerman

Penyerang Schalke berusia 20 tahun dan Manchester City mencapai persetujuan mengenai terma kontrak yang akan membawa pemain tersebut ke Liga Perdana Inggeris.


Man City Semakin Hampir Dapatkan Penyerang Jerman

Akhbar Jerman, Bild melaporkan, City setakat ini belum melakukan bidaan untuk mendapatkan Leroy Sane namun sedia menawarkan sebanyak £46 juta.

Harga tersebut dikatakan mampu memenuhi hasrat Pengarah Schalke, Heidel yang mahukan sekurang-kurangnya £40 juta untuk pemain Jerman berusia 20 tahun itu.

Bagaimanapun jika Schalke mengekalkan pemain berkenaan sehingga musim depan, Sane dapat menebus kontraknya pada nilai £31.3 juta sahaja.

Sane yang sedang bercuti di Los Angeles selepas Euro didakwa memberitahu rakannya bahawa wakil City telah memuat perbincangan mengenai perpindahan berkenaan.

Berikutan itu, Sane turut mendakwa telah bersedia untuk meninggalkan Schalke bagi berada di bawah kendalian Pep Guardiola di City.-mstar

Umtiti Ikat Kontrak Lima Tahun Bersama Barcelona

Samuel Umtiti akhirnya bertukar haluan dari  Lyon ke Barcelona dengan kontrak lima tahun bersama kelab juara Liga Sepanyol itu.


Umtiti Ikat Kontrak Lima Tahun Bersama Barcelona

Barcelona mengikat pemain pertahanan Perancis berusia 22 tahun itu dengan nilai perpindahan 21 juta pound.

Umtiti sebelum ini berada bersama pasukan Perancis dalam aksi Euro 2016 yang turut bermain ketika aksi menang ke atas Jerman dalam saingan separuh akhir serta final tewas kepada Portugal.

Umtiti Ikat Kontrak Lima Tahun Bersama Barcelona

Dia mencatat kap pertama antarabangsa ketika Perancis mencatat kemenangan 5-2 ke atas Iceland dalam aksi suku akhir.

Selain itu, Barca turut menyediakan klausa pelepasan bernilai 50 juta pound sekiranya ada kelab lain yang menaruh minat kepada pemain Perancis ini sekaligus menjadikan Umtiti antara pemain berharga.-mstar

Mourinho Akan Bawa Fabregas Ke Man United

Jose Mourinho sedia menjadikan Cesc Fabregas sebagai pemain tengah baharu Manchester United sebelum Liga Perdana Inggeris musim ini bermula.

Mourinho Akan Bawa Fabregas Ke Man United

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Portugal itu sedang menunggu keputusan pengendali baru Chelsea sama ada akan mengekalkan Fabregas atau tidak.

Conte ketika ini dikatakan sedang berusaha membawa masuk pemain Roma, Radja Nainggolan, Jao Mario (Sporting Lisbon) dan Andre Gomes (Valencia) sebagai pemain tengah.

Kehadiran pemain-pemain berkenaan yang diyakini dapat membentuk barisan pemain tengah lebih baik dan ianya akan membuatkan Fabregas tidak diperlukan lagi.

Fabregas yang menyertai Chelsea dari Barcelona dengan yuran perpindahan sebanyak £27 juta tidak menjadi pilihan untuk kekal kerana kurang kreatif serta gagal membantu kelab tersebut pada musim lalu.

Pemain Sepanyol itu juga dilapor mempunyai hubungan rapat dengan Mourinho.

Jika Fabregas berhijrah ke United bermakna dia telah mewakili tiga daripada kelab gergasi di Liga Perdana Inggeris selepas Chelsea dan Arsenal.-mstar

Arsene Wenger Berminat Jadi Pengurus England

Pengurus kelab ternama Arsenal, Arsene Wenger dikatakan bersedia untuk menggantikan Roy Hodgson yang meletakkan jawatannya baru-baru ini.

Arsene Wenger Berminat Jadi Pengurus England

Roy meletakkan jawatan selepas skuad England gagal mara ke pusingan separuh akhir kejohanan Euro 2016 apabila tewas mengejut kepada Iceland 1-2.

Wenger yang berasal dari Perancis dikatakan berminat namun hanya akan menerimanya selepas kontraknya dengan Arsenal berakhir tahun hadapan.

“Bolehkah saya menjadi pengurus England? Mengapa tidak? Saya tidak akan menolaknya meskipun saya berpuas hati dengan kedudukan saya di Arsenal.

“Kontrak saya dengan Arsenal namun masih ada lagi setahun dan saya sudah lama berkhidmat dengan kelab itu.

“Saya amat menghormati kontrak saya dengan Arsenal dan akan terus berbuat demikian. Secara jujur, saya belum tahu rancangan saya selepas kontrak saya tamat kelak,” katanya.

Panel seramai tiga orang dari Persatuan Bola Sepak England sudah pun mula sibuk mencari pengganti Hodgson sejak bulan lalu.

Menurut laporan media antarabangsa, pengurus Sunderland, Sam Allardyce mungkin akan ditemu bual bagi jawatan tersebut minggu ini.

Turut disenarai ialah jurulatih pasukan kebangsaan Amerika Syarikat, Jurgen Klinsmann yang turut dikaitkan dengan jawatan ‘panas’ itu. – MYNEWSHUB

Suara Merdu Adik Angkat Ronaldo Baca Al-Quran

Bukan sahaja mempunyai bakat dalam menggelecek bola, namun adik angkat bintang bola sepak terkenal Real Madrid, Cristiano Ronaldo iaitu Martunis mempunyai suara yang merdu dalam melantunkan ayat suci al-Quran menjadi viral di laman sosial minggu lalu.

Suara Merdu Adik Angkat Ronaldo Baca Al-Quran

Martunis, 19 tahun, menerima pujian melambung daripada netizen selepas video dia bertadarus dimuat naik ke akaun Instagram.

Martunis yang kini menyertai akademi bola sepak Sporting Lisbon di Portugal, meluangkan sedikit masa untuk membaca al-Quran lantas berkongsi video itu dengan rakan-rakan Instagramnya iaitu martunis_ronaldo.

Kelab itu sebenarnya merupakan kelab pertama yang pernah disertai Ronaldo ketika baharu memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional.

“Waktunya bertadarus,” tulisnya.

A video posted by مرتنس سربنى (@martunis_ronaldo) on



Rata-rata netizen yang melihat video berkenaan terpesona dengan kelunakkan dan kemerduan suara Martunis mengalunkan ayat-ayat suci itu, selain memujinya masih mengekalkan identiti sebagai seorang Muslim walaupun berada di negara orang.

Martunis pernah menjadi bualan hangat media sewaktu berumur tujuh tahun apabila kisah sedihnya menjadi mangsa tsunami pada 2004 yang mana dia ditemui terdampar di pantai dengan menyarung jersi Portugal mendapat liputan meluas.

Difahamkan, sewaktu tsunami melanda Indonesia waktu itu, dia bersama rakan-rakannya sedang bermain bola sepak.

Suara Merdu Adik Angkat Ronaldo Baca Al-Quran

Alangkah bertuahnya Martunis apabila kisah pilunya itu sampai ke pengetahuan Ronaldo lalu pemain sensasi itu menjadikannya sebagai adik angkat.

Selain itu, Ronaldo juga dilaporkan membantu membina semula kediaman Martunis di Banda Aceh yang musnah dalam tragedi tsunami itu. – MYNEWSHUB

Giggs Akhirnya Tinggalkan Old Trafford

Ryan Giggs menamatkan karier selama 29 tahun bersama Manchester United apabila mencapai penyelesaian dengan kelab Inggeris itu.


Giggs Akhirnya Tinggalkan Old Trafford

Kenyataan rasmi berhubung pengesahan pemergian Giggs akan dikeluarkan dalam masa terdekat, lapor BBC pada Jumaat.

Bekas pemain dan jurulatih berusia 42 tahun dari Wales itu masih mempunyai baki setahun bersama kelab itu.

Giggs pernah bekerja di bawah pengendali David Moyes dan Louis van Gaal.

Namun di bawah pengendali baru, Jose Mourinho, Giggs gagal mencapai persetujuan dalam peranan barunya di Old Trafford.

Berikutan itu dia memutuskan untuk meninggalkan United.

Giggs menyertai United ketika berusia 14 tahun dan sudah beraksi sebanyak 963 kali untuk kelab itu.

Antara pencapaian terbaiknya adalah membantu United menjuarai 13 gelaran Liga Perdana Inggeris dan dua Liga Juara-Juara sebelum bersara sebagai pemain pada tahun 2014.

Sebelum ini namanya disebut-sebut sebagai pengendali United, tetapi kini impian itu terpaksa di teruskan bersama kelab lain.-mstar

Neymar Kekal Di Nou Camp Hingga 2021

Neymar Jr menandatangani kontrak baharu selama lima tahun bersama Barcelona. Bintang Brazil itu mengesahkan berita tersebut dengan memuatnaik gambarnya di laman Twitter pada awal pagi Jumaat.

Neymar Kekal Di Nou Camp Hingga 2021

"Saya amat gembira kerana berpeluang meneruskan impian saya bersama Barcelona," kata Neymar.

Barcelona kemudiannya mengesahkan kontrak baharu itu telah ditandatangani dengan menyaksikan penyerang prolifik tersebut akan kekal di Camp Nou sehingga 2021.

Klausa pelepasan pemain berusia 24 tahun itu ditetapkan pada 167 juta pound meningkat kepada 186 juta pound pada tahun kedua perjanjian dan seterusnya dan 209 juta pound.

Neymar turut diintai Manchester United dan Paris St Germain (PSG).

Dia menjaringkan 55 gol dalam 93 perlawanan La Liga sejak berhijrah dari Santos dengan bayaran perpindahan bernilai 48.6 juta pound pada 2013.-mstar

Wales Pasukan Kedua Layak Ke Separuh Akhir Euro 2016

Pengurus Chris Coleman melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meletak Wales dalam empat kelompok terbaik selepas menyingkirkan pilihan Belgium 3-1 pada aksi suku akhir Euro 2016 di Lille  awal pagi Sabtu.


Wales Pasukan Kedua Layak Ke Separuh Akhir Euro 2016

Radja Nainggolan membuka jaringan awal untuk Belgium, namun dua gol hasil tandukan  dari Ashley Williams dan Hal Robson-Kanu memberi semangat luar biasa untuk Wales menambah gol ketiga menerusi Sam Vokes.

Kemenangan tiga gol berbalas satu itu sudah lebih daripada cukup untuk membawa Wales mara ke separuh akhir buat kali pertama dalam aksi
Kejohanan utama dunia.

Wales tidak layak bersaing dalam kejohanan akhir utama sejak Piala Dunia 1958, namun kemenangan ini telah menjadi saksi untuk sejarah sukan bola Britain.

"Jangan takut untuk 'bermimpi'. Kerana empat tahun lalu saya sangat jauh dari tempat sekarang dan dari situ kamu boleh lihat apa yang terjadi sekarang.

"Jika kamu kerja kuat dan tidak takut untuk  bermimpi , tidak takut untuk gagal (kerana semua orang gagal) , saya sendiri lebih banyak gagal berbanding kejayaan, tetapi saya tidak takut dengan kegagalan.

"Saya memberitahu perkara itu sebelum kami mula sepak. Kami berada di sini bukan untuk bergembira, kami ke sini untuk bersaing.

"Kami tahu seperti ada sesuatu yang ditawarkan. Pasukan mempunyai pemain-pemain yang bagus dan mereka cepat bertindak untuk mencapai apa yang dimahukan dan ianya satu pentanda yang baik," jelas Coleman.

Wales bakal berdepan dengan Portugal pada aksi separuh akhir selepas ini sekaligus menyaksikan dua penyerang Real Madrid, Gareth Bale-Cristiano Ronaldo    dalam merebut tempat ke aksi akhir.


Senarai pemain:

Wales (3-4-2-1): Hennessey, Chester, A Williams, Davies, Gunter, Allen , Ledley (King 78 mins), Taylor, Bale, Ramsey (Collins 90); Robson-Kanu (Vokes 80)

Pemain simpanan: Fon Williams, George Williams, Edwards, Richards, Cotterill, Jonathan Williams, Vaughan, Church, Ward

Pengurus: Chris Coleman

Belgium (4-2-3-1): Courtois; Meunier , Alderweireld, Denayer, J Lukaku (Mertens), Nainggolan, Witsel, Carrasco (Fellaini) De Bruyne,  Hazard, R Lukaku

Pengurus: Marc Wilmots

Simpanan: Mignolet, Origi,Kabasele, Dembele, Benteke, Ciman, Gillet

Pengadil:Damir Skomina (Slovenia).-mstar

Ibrahimovic Sah Jadi Pemain Baharu Mourinho

Zlatan Ibrahimovic memberitahu bahawa dia sedia untuk mencipta lebih banyak kenangan indah di England  sebaik sahaja Manchester United mengesahkan kehadiran pemain tersebut.

Ibrahimovic Sah Jadi Pemain Baharu Mourinho

Pemain berusia 34 tahun itu menjadi pemain kedua di bawah pengurusan baharu Jose Mourinho pada Jumaat dan mengakui dia amat teruja untuk menyertai United.

Sementara itu, Mourinho yang pernah bekerjasama dengan penyerang itu ketika menguruskan Inter Milan berkata, pemain terbaharunya itu tidak perlu diperkenalkan, dan menambah: "Statistik 'bercakap' untuk mereka.'

Ibrahimovic yang gembira dengan peluang yang ditawarkan telah menandatangani kontrak perjanjian selama setahun di Old Trafford bernilai 200,000 pound  (RM1,064,366 juta) seminggu.

"Saya sangat gembira dapat menyertai Manchester United dan bersedia untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana," jelasnya.

"Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Jose Mourinho sekali lagi. Beliau  seorang pengurus yang menakjubkan dan saya sedia berdepan dengan cabaran baharu yang menarik nanti.

"Setakat ini saya  berpuas hati dengan karier saya bersama kenangan yang hebat. Kini saya mahu  mencipta lebih banyak kenangan indah di England, "jelas Ibrahimovic.

Dalam pada itu, Mourinho yakin Ibrahimovic boleh membawa United melakukan sesuatu yang hebat musim depan dan menganggapnya sebagai  salah seorang pemain terbaik.

"Ibra adalah salah seorang penyerang terbaik dunia dan dia sentiasa memberi aksi seratus peratus.

"Dia telah memenangi banyak kejuaraan liga kejuaraan dan kini berpeluang bermain dengan liga terbaik dunia malah saya yakin dia akan menggunakan peluang ini dengan bekerja keras membantu pasukan meraih gelaran.

"Saya juga yakin dengan bakatnya yang ada, dia akan memberi kegembiraan kepada penyokong-penyokong di Old Trafford musim depan dan pengalamannya bakal berguna untuk membantu peningkatan pemain-pemain muda dalam skuad ini.

Selain itu, Manchester United membuat pengesahan tersebut menerusi akaun Twitter rasmi kelab dengan menyiarkan rakaman video dengan kapsyen: "Are you ready? It's #ZlatanTime.'

Rakaman tersebut menunjukkan penyerang itu berada dalam suasana gelap sebelum berjalan menuju ke arah lebih terang sekaligus menampakkan dirinya sambil tersenyum.

Ibra yang telah membuat keputusan bersara dari aksi antarabangsa selepas Sweden tersingkir dalam saingan kalah mati 16 pasukan Euro 2016  minggu lalu sememangnya merancang untuk ke Old Trafford apabila tidak menyambung kontraknya bersama Paris Saint-Germain selepas mengetahui Mourinho bakal menguruskan United.



FAKTA KARIER ZLATAN IBRAHIMOVIC:

Tarikh lahir : October 3, 1981 ( 34)

Kelab:

1999-01 Malmo –  47 perlawanan, 18 gol

2001-04 Ajax –  110 perlawanan, 48 gol

2004-06 Juventus – 92 perlawanan,  26 gol

2006-09 Inter Milan – 117 perlawanan, 66 gol

2009-10 Barcelona – 46 perlawanan, 22 gol

2010-12 AC Milan –  85 perlawanan, 56 gol

2012-16 PSG – 180 perlawanan, 156 gol

2001-16 Sweden –  116 perlawanan,  62 gol

JUMLAH: 793 perlawanan,  454 gol



KEJAYAAN:

Eredivisie (2002, 2004), Piala KNVB (2002), Serie A (2007, 2008, 2009, 2011), Piala Super Itali (2006, 2008, 2011) La Liga (2010), Piala Super Sepanyol (2009, 2010), UEFA Super Cup (2009), Piala Kelab-Kelab Dunia FIFA  (2009), Ligue 1 (2013, 2014, 2015, 2016), Coupe de France (2015, 2016), Coupe de la Ligue (2014, 2015, 2016), Trophee des Champions (2013, 2014, 2015).-mstar

Pendedahan Zlatan Ibrahimovic yang Mengejutkan

Zlatan Ibrahimovic mendedahkan dia akan menyertai Manchester United biarpun kelab Liga Perdana Inggeris itu belum memberi sebarang pengesahan.

Pendedahan Ibrahimovic Yang Mengejutkan

Penyerang Sweden mengumumkan perkara tersebut di laman instagram miliknya pada Khamis dengan menyatakan dia akan ke Old Trafford selepas meninggalkan Paris Saint-Germain akhir bulan lalu.

Pengakuan Ibrahimovic itu bakal mengesahkan laporan sebelum ini mengenai perpindahannya ke United sejak beberapa bulan lalu.

"Time to let the world know," . "My next destination is @manchesterunited. #iamcoming," tulisnya di laman instagram.

Pengakuan Ibrahimovic itu bakal mengesahkan laporan sebelum ini mengenai perpindahannya ke United sejak beberapa bulan lalu.

Malah sekiranya pendedahan Ibra ini disahkan kelab, dia bakal menjadi pemain terbaharu ke United di bawah pengurusan Jose Mourinho sekaligus dianggap sebagai penyatuan semula kedua-dua pihak selepas pernah bekerjasama sebelum ini.

Ibrahimovic meninggalkan PSG selepas kontraknya 2015-2016 berakhir dengan rekod menjuarai Liga 1 sepanjang empat musim di Perancis.

Selain itu, Ibra dianggap 'ayam tambatan' untuk negaranya telah membuat keputusan menggantung but dalam aksi antarabangsa selepas Sweden terkeluar daripada saingan Euro 2016.-mstar

Del Bosque Letak Jawatan Pengurus Sepanyol

Vincete del Bosque meletak jawatan sebagai pengurus Sepanyol selepas mengemudi skuad kebangsaan itu selama lapan tahun.


Del Bosque Letak Jawatan Pengurus Sepanyol

Keputusan pengurus berusia 65 tahun itu sudah diramal selepas Sepanyol tersingkir pada pusingan 16 pasukan terbaik Euro 2016 selepas tewas 2-0 kepada Itali di Stade de France, Paris, awal pagi Selasa lalu.

Aksi hambar Sepanyol di Perancis sekali lagi mengulangi kegagalan bekas juara Euro 2012 itu pada aksi Piala Dunia 2014 di Brazil apabila tewas di peringkat sama.

Kekalahan pada Piala Dunia 2014 itu menyaksikan Sepanyol muncul pasukan pertama tersingkir daripada kejohanan utama tersebut.

Del Bosque mengumumkan keputusan tersebut menerusi sebuah stesen radio Sepanyol pada petang Khamis.

Bekas Pengurus Real Madrid itu menggantikan Luis Aragones sebagai Pengurus Sepanyol pada Julai 2008, seminggu selepas La Roja menewaskan Jerman 1-0 pada Euro 2008.

Beliau mengemudi Sepanyol memenangi kesemua 10 perlawanan peringkat kumpulan aksi kelayakan Piala Dunia 2010 yang turut dibarisi pasukan Bosnia Herzegovina, Tukri dan Belgium.

Del Bosque berada di puncak kariernya apabila berjaya membantu Sepanyol mempertahankan kejuaraan Euro selepas menundukkan Itali 4-0 pada aksi final 2012.

Namur prestasi tidak menentu pasukan itu pada aksi Piala Dunia 2014 dan Euro 2016 mengugat kedudukan Del Bosque yang mendorong kepada peletakannya sebagai pengurus pasukan tersebut.-mstar

Portugal Pasukan Pertama Mara Ke Separuh Akhir

Portugal muncul pasukan pertama melangkah ke pusingan separuh akhir Euro 2016 selepas menundukkan Portugal  5-3 menerusi penentuan penalti di Marseille, awal pagi Jumaat.

Portugal Mara Ke Separuh Akhir

Keputusan kekal 1-1 pada masa tambahan dan memaksa pasukan juara ditentukan menerusi sepakan penalti.

Cristiano Ronaldo dan Robert Lewandowski masing-masing berjaya menyempurnakan penalti pertama buat kedua-dua pasukan itu.

Portugal mendahului dengan 4-3 selepas sepakan pemain Poland, Jakub Blaszczykowski terkena palang.

Ricardo Quaresma melengkapkan penalti kelima Portugal apabila sepakannya gagal ditampan penjaga gol, Lukasz Fabianski.

Kemenangan itu membolehkan Portugal mara ke kelompok empat pasukan terbaik dengan bertemu sama ada Wales atau Belgium.

Lewandowski akhirnya berjaya menamatkan kemarau golnya pada kejohanan itu selepas membuka jaringan awal untuk Poland pada minit kedua selepas merembat masuk hantaran Kamil Grosicki.

Namun rakan baharunya di Bayern Munich, Renato Sanches meranapkan impian Poland untuk terus menguasai perlawanan apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-32.

Ronaldo turut gagal menambah koleksi golnya selepas terlepas peluang di hadapan gol ketika perlawanan berbaki lima minit sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.-mstar

Nolito Akhirnya Sertai Manchester City

Penyerang Sepanyol, Nolito menjadi pemain kedua dibawa masuk Pep Guardiola ke Manchester City pada musim panas ini dengan nilai perpindahan sebanyak 13.8 juta pound (RM73.4 juta).

Nolito Akhirnya Sertai Manchester City

Pemain berusia 29 tahun itu akan menyertai Ilkay Gundogan yang tiba di Etihad dari Borussia Dortmund pada Jun lalu.

"Saya akan cuba membantu City menang lebih banyak perlawanan. Saya akan melakukan apa sahaja yang disuruh pengurus, cuba melakukan yang terbaik dan apa sahaja yang boleh untuk mengulangi prestasi terbaik saya bersama pelbagai kelab," katanya.

Nolito mempamerkan aksi cemerlang bersama Sepanyol pada Euro 2016 apabila menjaringkan gol ketika pasukan itu menundukkan Turki 3-0 sebelum tersingkir di tangan Itali pada kelompok 16 pasukan terbaik.

Guardiola menurunkan Nolito buat pertamanya bersama Barcelona pada 2010 walaupun dia meluangkan sepenuh masanya bersama skuad Barcelona B.-mstar

Sadio Mane Sertai Liverpool,Ketiga Termahal Liverpool

Sadio Mane telah melengkapkan perpindahannya ke Liverpool dengan kontrak bernilai £30 juta (RM163 juta).

Sadio Mane Sertai Liverpool,Ketiga Termahal Liverpool

Penyerang Southampton itu menandatangani kontrak selama lima tahun dan akan memakai jersi nombor 19.


Pembelian Mane menjadi yang ketiga termahal bagi Liverpool selepas Andy Carroll (RM190 juta) dan Christian Benteke (RM176 juta).

"Hari ini adalah hari yang hebat dan saya sangat gembira menandatangani (kontrak) bersama salah satu kelab terbesar di Eropah," kata Mane di laman web Liverpool.

"Ia satu kelab yang sudah memenangi banyak trofi dan mempunyai sejarah yang hebat.

"Sekarang saya tidak sabar untuk bertemu semua pegawai dan rakan sepasukan serta memulakan musim ini," kata Mane.-mstar

Manchester United Makin Hampir Dapatkan Henrikh Mkhitaryan

Usaha Jose Mourinho untuk mendapatkan khidmat Henrikh Mkhitaryan kini semakin hampir selepas pasukan Borussia Dortmund mengaku menerima tawaran yang 'lebih baik' untuk pemain tengah itu.

Manchester United Makin Hampir Dapatkan Henrikh Mkhitaryan

Mourinho dilihat terdesak khususnya ketika United berusaha untuk mencipta penyerang terbaik.

Situasi rundingan telah berubah berbanding beberapa hari lalu terutamanya selepas ejen pemain berusia 27 tahun berkenaan iaitu Mino Raiola mengadakan perbincangan dengan kelab Bundesliga tersebut minggu lepas dalam usaha untuk memaksa perpindahan.

Yurannya adalah dipercayai sekitar £26million, dengan warga Armenia itu hanya mempunyai baki kontrak semasa selama setahun dan Dortmund seolah-olah kini bersedia untuk menjual Mkhitaryan.

Manchester United Makin Hampir Dapatkan Henrikh Mkhitaryan

Bercakap mengenai pemain yang memakai jersi nombor 10 itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke mengakui pada Selasa bahawa keadaan berubah.

"Keadaan kini yang berbeza," katanya kepada Sport Bild.

"Manchester telah membuat tawaran yang lebih baik. Dalam keadaan seperti ini selalu ada banyak perkara yang berbeza yang perlu dipertimbangkan dan akhirnya pada satu ketika kita perlu membuat keputusan.

"Dan memandangkan kita kembali berada dalam latihan pada Isnin, kami akan membuat keputusan pada hujung minggu. Saya telah menghubungi pihak berkenaan dan kami akan menimbang perkara ini pada hujung minggu. Dan kemudian pihak lembaga akan membuat keputusan itu... pastinya pada hujung minggu," katanya.

Dortmund kembali untuk latihan pra-musim pada Isnin depan sementara Mourinho dijangka memulakan kehidupan sebagai pengurus United pada Rabu.

Mourinho berharap untuk mendapatkan pemain baharu sebelum akhir bulan depan. -mstar